MPL: Stallions bukan lawan Farmco, dominasi dari awal

by Okt 21, 2017Sukan0 comments

Farmco Touch Up mengutip satu lagi kemenangan dan membenamkan pasukan muda Penang Stallions sebanyak 51 mata, 71-122.

Farmco semakin mendekati hari terakhir minggu ini sebelum ke pusingan seterusnya minggu depan tetapi mereka perlu melengkapkan satu lagi perlawanan esok dengan Verve Club untuk memastikan tempat kedua dalam Malaysia Pro League (MPL).

Dominasi awal oleh Farmco yang hampir tidak tercabar dalam babak awal perlawanan menjaringkan 12-0 ke atas Stallions. Farmco dengan mudah menguasai suku pertama dengan 36-17, majoritinya disumbangkan oleh Chris Kuete dan Samuel Deguara.

Stallions yang dibarisi pemain muda tidak mengalah walaupun serba kekurangan dengan ketinggian dan pengalaman, cuba memperbaiki persembahan dalam suku sebelum itu. Namun, Farmco yang tampak lebih dominan menjarakkan pendahuluan dari 19 mata ke 29 mata pada akhir separuh masa pertama, 36-67.

Babak seterusnya dalam suku ketiga sehinggalah tamat perlawanan ini, Farmco tidak memberikan sebarang peluang kepada Stallions walalupun diasak beberapa kali dan menyerang dari perimeter luar.

Samuel Deguara sering mencuri perhatian ramai penonton dengan aksi dunk lebih lima kali dalam perlawanan ini.

Ketika ditemui wartawan selepas perlawanan ini, penolong jurulatih Farmco Ng Yi Lai mengharapkan persediaan yang rapi dalam pertemuan dengan Verve Club.

“Dalam perlawanan yang lalu dengan KL Dragons, kita tumpas dalam tangan mereka kerana kurang persediaan yang rapi, terutamanya dari segi mental. Kita tidak boleh mengambil mudah walaupun Farmco punyai kelebihan dari segi ketinggian, kita tetap lengkapkan misi minggu ini dengan kedudukan yang baik,” kata Ng.

Farmco bakal bertemu Verve Club esok untuk menentukan tempat kedua. Kedua-dua pasukan ini kini terikat tiga kemenangan dan satu kekalahan setakat ini sebelum perlawanan penentuan esok.

Berikut adalah keputusan untuk perlawanan hari ini:

  1.  Verve Club vs PRG Eagles (87-84)
  2. Kings Pinas Asia vs KL Dragons Basketball Academy (78-120)
  3. Penang Stallions vs Farmco Touch Up (71-122)
513 views