Farmco Touch Up akhirnya layak ke perlawanan final liga bola keranjang Malaysia Pro League (MPL) selepas mengalahkan Verve Club dalam perlawanan separuh akhir.

Farmco membenamkan Verve sebanyak 13 mata, 90-77.

Samuel Deguara dari Farmco meneruskan penguasaannya dengan 34 mata, 22 rebound dan 3 block manakala Chris Kuete pula mendapat 27 mata dan 14 rebound.

Untuk Verve pula, Chadrack Lufile mendapat 19 mata dan 17 rebounds manakala Daniel Camps pula mengutip 16 mata dan 7 rebound.

Untuk pemain utama Farmco, Ooi Ban Sin memberitahu bahawa perlawanan ini merupakan satu pengajaran yang baik untuk tidak mengambil pasukan lawan dengan mudah.

“Kemenangan itu tetap satu kemenangan, tidak kira bagaimana kita mendapatkannya. Akan tetapi, kita perlu bermain dengan sepenuh hati dan tidak mengambil mudah terhadap pihak lawan,” kata Ooi.

Ooi mendapat 9 mata, dan 4 steal dalam perlawanan ini.

Verve bermula dengan pantas dan mendahului perlawanan melalui jaringan daripada Daniel Camps dan Chadrack Lufile pada dua minit pertama. Camps mudah menjaringkan lagi untuk Verve dengan aksi dunk sebelum time out, membawa Verve 7-0 di hadapan Farmco.

Selepas masa time out, Farmco kembali menguasai gelanggang dan tidak memberikan sebarang peluang kepada Verve menjaringkan mata. Gandingan Chris Kuete dan Samuel Deguara melonjakkan Farmco pada pertengahan suku. Farmco mendahului Verve dengan empat mata, 11-7.

Walaupun tidak berjaya mendapat sebarang mata daalm dua minit itu, aksi Verve kembali lebih tenang dan efektif. Verve kembali mendahului perlawanan lagi selepas jaringan oleh Benjamin Sim dan Wee Chuan Chin, 13-11.

Farmco lantas mengembalikan penguasaan terutamanya dari jaringan luar perimeter, Guga terus membenamkan Verve dengan jaringan tiga mata. Pada minit terakhir, Farmco mengambil kesempatan pemain tinggi mereka di perimeter dalam melalui Deguara mendapatkan jaringan.

Cubaan Camps untuk mengurangkan defisit Verve melalui percubaan jaringan tiga mata tidak berjaya dan suku pertama berakhir dengan Farmco mendahului selesa sebanyak 9 mata, 24-15.

Farmco memulakan suku kedua dengan serangan bertubi-tubi ke atas Verve, menjaringkan 7-2 untuk menjarakkan pungutan mata. Ritma perlawanan bergerak pantas dan Verve cuba menyaingi Farmco dari percubaan Wee Chuan Chin yang berjaya membenamkan lapan mata sehinggalah pertengahan suku ini.

Farmco masih mendahului 8 mata di hadapan Verve pada lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir, 37-29.

Verve jelas tidak akan mengalah selagi perlawanan berakhir, mereka terus menyerang dan menyaingi Farmco melalui jaringan pemain tempatan mereka, Lee Chien Chung dan Liew Kar Choon. Verve cuba mendekati pungutan mata Farmco pada dua minit akhir dan didahului Farmco sebanyak 5 mata, 42-37.

Satu minit sahaja, percubaan Farmco untuk cuba menggenggam perlawanan ini semakin longgar dan Verve mudah mengurangkan defisit kepada hanya 4 mata daripada Lufile dan Camps pada akhir suku kedua, 45-41.

Verve beberapa kali cuba mendapatkan kembali penguasaan dan mengikat mata pada pertengahan suku selepas Chadrack Lufile menjaringkan jump shot tiga mata. Namun, Farmco cepat mengembalikan penguasaan pada akhir suku dengan kelebihan 9 mata, 70-61. Walaupun Camps mendapat empat foul setakat suku ketiga, mereka masih mampu mengekang serangan Farmco.

Verve cuba mendekati Farmco dan mendapat jaringan demi jaringan daripada Benjamin Sim dan Lee Chien Chung untuk menghidupkan kembali peluang mereka dalam suku keempat. Farmco hanya mendahului Verve dengan dua mata pada lima minit terakhir, 74-72.

Pada masa yang sama, Camps (Verve) terpaksa direhatkan selepas mendapat lima foul. Farmco pula mempunya tiga pemain utama yang juga mendapat empat foul; Wong Chin Yong, Chris Kuete dan Samuel Deguara.

Benjamin Sim mengikat mata untuk Verve selepas jaringan jump shot dua mata, 74-74 tetapi cepat dikembalikan dalam tangan Farmco oleh Ooi Ban Sin yang mendapatkan tiga mata, 77-74.

Chris Kuete mengutip lima foul dalam dua minit terakhir pada ketika Farmco masih mendahului empat mata, 81-77.

Babak-babak pada dua minit akhir semakin sengit dan dengan hanya Samuel Deguara di gelanggang, mereka masih mampu mengutip dua lagi jaringan, 86-77. Peluang Verve untuk layak ke perlawanan final semakin tidak kesampaian sehinggalah tamat perlawanan dengan beberapa percubaan untuk menjaringkan bola.

Verve akan mara ke perlawanan tempat ketiga dan keempat esok.

1,986 views