Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memperkenalkan kotak kuning baharu di penjuru atas kanan pada bil elektrik. Kotak kuning ini diperkenalkan untuk memudahkan pengguna mengetahui status pembayaran secara lebih mudah. Status pembayaran bil elektrik bulanan akan dikemas kini di kotak kuning tersebut. Tiada lagi notis pemotongan yang berasingan akan dikeluarkan oleh pihak TNB.
Kotak kuning menunjukkan dua (2) jenis informasi yang merujuk kepada status bil. Sekiranya bil bulanan dibayar sebelum tempoh 30 hari dari tarikh bil, kotak kuning akan menunjukkan mesej ‘TERIMA KASIH Kerana Membayar Dalam Tempoh 30 Hari’.
Di sebaliknya, tunggakan bil elektrik yang tidak dijelaskan akan menunjukkan mesej ‘Bayaran Tertunggak NOTIS PEMOTONGAN DI BAWAH’ di dalam kotak kuning. Di ruangan bawah bil elektrik yang sama, ‘Notis Pemotongan Bekalan Elektrik’ yang dipapar akan menyatakan jumlah bil tunggakan dan pengguna diminta menjelaskan tunggakan sebelum tempoh akhir yang tertera.
Pendekatan TNB yang baru ini membolehkan pengguna mengetahui informasi berkenaan status pembayaran bil secara langsung dan lebih ringkas. Pengguna wajar menyemak dan merujuk mesej di dalam kotak kuning sebagai peringatan untuk bayaran tepat pada masa supaya menikmati perkhidmatan yang berterusan. Pelaksanaan kotak kuning pada bil elektrik telah bermula secara berperingkat di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Putrajaya mulai November tahun ini dan akan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara pada hujung tahun, Disember ini. Untuk keterangan lebih lanjut, sila layari www.tnb.com.my
36,482 views