Semua orang tahu bahawa kolesterol tinggi merupakan petanda kepada keadaan yang kurang baik (atau masih ada yang tidak tahu?). Risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok banyak meningkat disebabkan oleh kolesterol tinggi. Namun, tidak ramai tahu atau sedar bahawa apa yang perlu dilakukan selepas mengetahui bahawa mereka mempunyai kolesterol yang tinggi.

Mari lihat apa perkara utama yang boleh anda lakukan untuk menurunkan kadar kolesterol.

1. Berhenti merokok

Asap rokok yang masuk ke dalam badan mampu merosakkan saluran darah, menjadikan ia sempit dan meningkatkan kecenderungan berlaku darah beku. Ia juga akan meningkatkan kadar kolesterol jahat LDL serta menurunkan bacaan kolesterol baik HDL. Bukan itu sahaja, risiko penyakit seperti kanser paru-paru juga meningkat.

Berhenti merokok bukanlah mudah lebih-lebih lagi jika dilakukan sendirian. Oleh itu, dapatkan bantuan daripada ahli profesional di pusat-pusat kesihatan.

2. Ambil pemakanan yang sihat

Faktor kolesterol tinggi disebabkan genetik dan keluarga mungkin berada di luar kawalan anda. Namun, apa yang masuk ke dalam perut anda sudah tentu boleh dikawal.

Anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan makanan yang tinggi lemak haiwan dan kolesterol seperti:

  • Daging merah – lembu dan kambing.
  • Susu lemak penuh.
  • Organ dalaman – hati, limpa, paru-paru.
  • Kuning telur serta produk berasaskannya – kek, biskut.
  • Mentega, keju dan minyak kelapa sawit.

Selain mengurangkan makanan di atas, anda perlu banyak mengambil makanan seperti:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran (anda mungkin ingin berubah menjadi vegetarian).
  • Bijirin oat.
  • Tauhu.
  • Kekacang tanpa garam – pistachio, badam, walnut, gajus.

3. Senaman dan aktiviti fizikal

Secara mudah, senaman dan aktiviti fizikal dapat meningkatkan kadar kolesterol baik HDL serta mengurangkan kadar kolesterol jahat LDL. HDL berperanan untuk membersihkan badan anda daripada kolesterol bahaya serta menyelenggara kerosakan yang ada pada saluran darah.

Tambahan pula, ia datang dengan manfaat lain seperti mengurangkan stres serta merendahkan risiko diabetes dan penyakit jantung.

4. Kurangkan berat badan

Kolesterol tinggi tidak semestinya berlaku bersama berat badan berlebihan. Ada juga mereka yang mempunyai berat badan normal tetapi mengandungi kadar kolesterol yang tinggi.

Jika berat badan anda berlebihan, menurunkannya adalah langkah yang bijak dan penting. Lemak dalam badan adalah satu komponen yang aktif secara metabolik, iaitu ia boleh mengganggu proses metabolisme seperti mengurangkan kesan insulin ke atas sel dan merembeskan faktor-faktor yang meningkatkan risiko kepada penyakit kardiovaskular.

5. Ubat (statins)

Ini adalah langkah terakhir yang perlu diambil jika semua yang di atas masih tidak mampu mengawal atau menurunkan kadar kolesterol anda. Ia juga mungkin diberikan oleh doktor kepada mereka yang disahkan menghidap darah tinggi, penyakit jantung dan diabetes.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: 

12,422 views