Kerajaan dalam Bajet 2019 telah mengumumkan perlaksanaan subsidi bersasar untuk mereka yang berpendapatan rendah khasnya golongan B40. Langkah ini amat dialu-alukan memandangkan ia mampu meringankan beban hidup rakyat jelata yang sentiasa berdepan cabaran inflasi yang tidak berpenghujung.

Mekanisme yang mampu mencegah penyelewengan dan memupuk tabiat perbelanjaan berdisiplin

Namun persoalan utama yang timbul ialah keberkesanan mekanisme perlaksanaannya serta matlamat luhur di sebaliknya. Tidak kiralah bagaimana pemberian subsidi sebegini disalurkan, sama ada melalui pemberian tunai, rebat tunai, kad bulanan, kawalan harga atau bekalan, ia perlu berupaya mencegah penyalahgunaan di samping mencorak tabiat perbelanjaan yang terkawal dan berdisiplin di kalangan rakyat.     

“Walaupun tiada mekanisme yang sempurna disebabkan penglibatan manusia yang sentiasa mencari jalan pintas untuk melakukan penyelewengan, tetapi kita mempunyai undang-undang tertentu untuk mencegahnya. Kita memerlukan penguatkuasaan yang ketat dan berkesan untuk mengelakkan insiden-insiden seperti penjualan dan penyeludupan diesel bersubsidi,” Mohd Azmi Abd Hamid, Ketua Bahagian Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata.  

Beliau juga mengingatkan golongan B40 supaya mengawal corak perbelanjaan mereka kerana satu lagi matlamat penting pemberian subsidi ialah membimbing masyarakat ke arah mengamalkan budaya belanja yang berjimat-cermat.

“Kerajaan sukar mencapai niat tulen sebegini sekiranya golongan berpendapatan rendah tidak mengubah gaya hidup boros mereka. Kewangan kerajaan juga ada limitasinya dan subsidi berlebihan akan turut menyebabkan defisit negara bertambah,” tambah beliau.

Rasionalisasi subsidi perlu digunakan secara bertanggungjawab

Mengulas lanjut tentang isu pemberian subsidi yang hemat, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MER) berkata: “Penjimatan atau rasionalisasi subsidi untuk sector-sektor tertentu perlu dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur atau digunakan secara bertanggungjawab.”

“Selain bertujuan mempengaruhi atau mengubah corak penggunaan pengguna, ia juga mampu menggalakkan pertumbuhan sector-sektor tertentu seperti pengangkutan awam apabila kerajaan melaksanakan penggunaan kad akses bulanan bernilai RM100 bagi perjalanan tanpa had,” sambung beliau.

Dr Zakariah menegaskan bahawa subsidi (termasuk subsidi pukal dan subsidi bersasar) merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting untuk meningkatkan kebajikan golongan yang berpendapatan rendah.

“Ia merupakan polisi herotan pasaran (market distortion policy) untuk merapatkan jurang kaya-miskin dan kewujudan subsidi akan menghasilkan pengagihan kebajikan yang lebih seimbang. Kita tidak boleh bergantung kepada sistem ekonomi bebas sepenuhnya kerana mekanisme harganya sudah terherot dan kita memerlukan subsidi untuk melaraskan ketidakseimbangan sebegini,” jelas beliau.

Subsidi bersasar petrol perlu dipantau sepanjang masa

Seperti yang kita ketahui, subsidi bersasar petrol menjadi topik perbincangan hangat kerana harga minyak yang tinggi akan mencetuskan inflasi di pelbagai sektor terutamanya diesel. Mekanisme perlaksanaannya perlu diteliti dan dihalusi sepanjang masa termasuk pengelulusan kelayakan penerima dan penguatkuasaan.

“Kelayakan berdasarkan jenis kereta dan motosikal berserta kapasiti enjin tertentu merupakan salah satu kriteria yang bijak dan tepat selain merujuk kepada tahap pendapatan pemohon,” komen Dato’ Khairul Annuar Abdul Aziz, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).  

“Kita memerlukan satu sistem yang padu di mana kesemua institusi yang terlibat mampu berintegrasi dan berinteraksi secara lancar tanpa kekangan sama ada daripada pihak kerajaan, pengusaha stesen minyak, badan kewangan ataupun pengguna,” tegas beliau.

Subsidi sejagat perlu dipertahan

Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa, sementara kita melaksanakan subsidi bersasar, subsidi bersifat sejagat (universal) perlu dipelihara atau dipertahankan khasnya bagi sektor pendidikan dan kesihatan.

“Peruntukan untuk universiti, sekolah dan hospital juga perlu diutamakan kerana ia merupakan keperluan asas pembangunan kemanusiaan dan pembinaan negara,” kata beliau dengan memetik contoh negara Jerman yang mengamalkan pendidikan percuma dan Britain yang melegakan rakyatnya dengan perubatan awam percuma.  

Beliau turut menyokong subsidi bersasar kerana is berniat tepat dan baik untuk meringankan bebanan golongan miskin.

“Bagi pihak kerajaan, kepentingan negara secara meluas menjadi pertimbangan utama apabila ingin melaksanakan apa-apa skim subsidi. Ia melibatkan proses perlaksanaan yang rumit dan keberkesanannya juga mengambil masa. Lebih-lebih lagi ia mengambil masa untuk sesuatu sistem menjadi matang jadi rakyat perlu memahaminya dan bersabar,” tegas beliau.

Pada keseluruhannya, pemberian subsidi bersasar bukanlah satu polisi yang baru. Ia merupakan satu modifikasi daripada system yang lama dengan menggabungkan kepintaran teknologi dan kepakaran manusia pada masa yang sama. Ia memerlukan pendekatan yang lebih strategic bagi memastikan keberkesanan yang maksimum dengan penyelewengan yang minimum di samping memupuk corak hidup yang hemat.

9,711 views