Bermacam-macam aktiviti sekeluarga boleh dilakukan sempena cuti akhir tahun sekolah ini. Jika anda teringin mengunjung ke sesuatu tempat yang penuh dengan factor ‘wow’, acara dwi-tahunan bersejarah lebih daripada 90 tahun – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show – MAHA 2018) merupakan pilihan yang bijak.

MAHA 2018 akan berlangsung selama 11 hari dari 22 November hingga 2 December 2018, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) yang seluas 125 hektar.

Bertemakan ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’, MAHA 2018 berikhrar mempertahankan ‘kedaulatan makanan’ sebagai asas kekuatan negara kerana kesinambungan masa depan pengeluaran makanan terletak di dalam tangan kita sendiri. Ia menyiratkan satu generasi baru yang mampu menentukan dan mengawal sumber dan penghasilan bahan-bahan makanan kita sendiri tanpa bergantung kepada pihak-pihak luar.

Berbekalkan reputasi antara expo pertanian dan makanan yang terbesar dan paling lama bertapak di rantau ini, MAHA 2018 dijangka menarik seramai 3.5 juta pengunjung tempatan dan asing termasuk wakil industri dan pihak umum, menurut Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Sasaran-sasaran lain termasuk dagangan dan pemadanan perniagaan bernilai sebanyak RM300 juta dan penglibatan belia melebihi 30%.

Sebanyak 6 kluster pameran, 7 laman pertanian dan 13 pavilion negeri menanti kunjungan anda. Luangkan masa sebanyak yang mungkin untuk menatapi 1,500 gerai jualan dan pameran dengan ruang pameran menjangkaui 40,000 meter persegi. MAHA 2018 bakal menawan hati pengunjung dengan pelbagai tarikan unik, peluang padanan perniagaan, pengenalan agroteknologi, program istimewa sekeluarga dan sesi beramah mesra bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

Dengan ruang pameran 6 kali ganda keluasan padang bola, pameran dalaman MAHA 2018 memaparkan 6 kluster pameran berbeza, iaitu Agro Kulinari, Agro Pelancongan, Agro Belia, Agro Teknologi, Produk Asas Tani dan Jualan, dan Agro Makanan.

Bagi pameran di luar dewan, sejumlah 7 laman pertanian menjanjikan pengalaman ‘hands-on’ istimewa untuk sekeluarga anda. Ia meliputi keluasan sebesar 35 padang bola yang merangkumi Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur, Laman Florikultur, dan Laman Mekanisasi, Automasi dan Teknologi.

MAHA 2018 juga dibarisi 13 pavilion negeri yang menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan makanan mereka masing-masing untuk dinikmati para pengunjung. Jualan bahan-bahan pertanian dan makanan termasuk 501 juadah makanan dari seluruh Negara bakal menyeronokkan deria rasa anda.

Tarikan-tarikan baru tahun ini termasuk Miracle Garden, Kampung Digital Mok Cun, festival kanak-kanak terbesar – LolaBaba, teknologi pertanian terkini, jualan produk-produk industri asas tani (IAT) berkonsepkan hypermarket, kulinari dan sumber rezeki baru.

MAHA 2018 juga mengetengahkan kecanggihan teknologi dan inovasi pertanian (agroteknologi) yang sedang dan bakal mencorak industri agromakanan negara. Antara yang menarik termasuk aplikasi dron dan Internet of Things (IoT) dalam sektor pertanian untuk meningkatkan efisiensi dan produktiviti.

Trade Day@MAHA 2018 menyediakan kemudahan ‘one-stop’ yang menghubungkan usahawan-usahawan Malaysia dengan para pembeli, pelabur dan pengusaha industri untuk mengembangkan jaringan perniagaan mereka sekaligus menjana perniagaan dan menerokai peluang perniagaan baru di Malaysia. Acara ini disokong oleh setiap jabatan dan agensi di bawah Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Ia merangkumi 770 gerai jualan dan 680 pempamer.

Penyertaan sektor swasta dengan kehadiran seperti BERNAS, CIMB, AgroBank, NAFAS, NAZA Corporation Holding, TEKUN Nasional, NESTLE (Malaysia) Berhad, Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) dan Malaysia Airlines akan menambahkan peluang perdagangan, pelaburan, kerjasama dan pemindahan teknologi. Selain menjalin pakatan antarabangsa, MAHA 2018 juga merupakan platform perkongsian idea and pembinaan strategi bagi pengusaha-pengusaha pertanian khasnya pengeksport dan pengimport.

Demi mengurangkan kesesakan lalu lintas, pihak penganjur manasihatkan para pengunjung agar menggunakan sambungan perkhidmatan pengangkutan awam seperti Rapid KL ‘shuttle bus’ yang bakal disediakan di tiga lokasi, iaitu Putrajaya Sentral, IOI City Mall dan Stesen KTM Komuter Serdang. Di dalam kawasan MAEPS, tram, wagon (gerabak khas), ‘tractor with wagon’ dan ‘buggy’ akan disediakan. Perkhidmatan tram mempunyai 31 hentian untuk keselesaan pelawat. Tempat letak kereta dihadkan kepada sebanyak 5,000 ruang di Laman Tiba 1 dan 2,000 di Laman Tiba 2. Walau bagaimanapun pihak penganjur amat menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Perasmian MAHA 2018 akan disempurnakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia. Sila layari https://www.facebook.com/MAHA2018my/ untuk mengikuti perkembangan terbaru.

1,872 views