Shah Alam, Sabtu 19 Oktober – Selari dengan usaha kerajaan yang mengangkat Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 ke satu tahap yang tinggi, Sahajidah Hai-O Marketing bergerak seiring dengan mengajak serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan. 

Semenjak lebih 27 tahun penubuhannya, Sahajidah Hai-O Marketing menyediakan platform dan menjadi pemangkin kepada ekosistem keusahawanan dengan menawarkan peluang menjadi usahawan dengan modal yang kecil tetapi menghasilkan pulangan yang memuaskan dengan usaha gigih. Sehingga kini, Sahajidah Hai-O Marketing boleh berasa bangga kerana telah melahirkan lebih 150,000 usahawan yang membantu menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah. 

Pelbagai program pendidikan yang berterusan seperti latihan keusahawanan, kepimpinan, pengetahuan produk, strategi pemasaran dan motivasi diberikan kepada usahawan dengan objektif untuk  membentuk masyarakat berpemikiran dan berbudaya keusahawanan, melahirkan usahawan yang berintegriti, berkualiti dan seimbang, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif.

Majoriti usahawan Sahajidah Hai-O adalah generasi muda yang mempunyai keistimewaan masing-masing terutamanya kemahiran menggunakan teknologi terkini dan strategi pemasaran kontemporari. Iklim ekonomi yang masih lembap di seluruh dunia merangsang golongan muda untuk mencipta peluang pekerjaan dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dan kerjaya sepenuh masa mereka. Selain mempunyai golongan muda sebagai usahawan pemimpin pelapis, bilangan graduan yang menceburi bidang keusahawanan dalam Sahajidah Hai-O Marketing turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

MERAIKAN ULANG TAHUN KE-27 DENGAN PENUH KEMERIAHAN

Menyambut ulang tahun dan meraikan kejayaan usahawan yang mencapai pangkat tertinggi dalam hierarki keusahawanan Sahajidah Hai-O Marketing telah lama menjadi budaya di Sahajidah Hai-O Marketing. Sesi penyampaian anugerah kepada 35 penyandang baharu Crown Diamond Manager (CDM) yang merupakan pemimpin adalah acara kemuncak dalam majlis mega yang secara tradisinya diadakan pada suku ke-4 setiap tahun. Sementara itu, seramai 9 pemimpin usahawan cemerlang dinobatkan sebagai penyandang anugerah CDM Excellence Award dengan 5 penerima anugerah terus mengekalkan kecemerlangan dengan merangkul anugerah berprestij itu sekali lagi pada tahun ini. 

Majlis Ulang Tahun ke-27 dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 7,000 usahawan dari seluruh negara. Acara pelancaran produk terbaharu iaitu Premium Beautiful 360° Thera Pants, Infinence Treatment Serum dan Infinence Men’s Radiation Protection Boxers mengisi program majlis sambutan tersebut. Suasana dewan bertukar menjadi gamat apabila para usahawan dan hadirin teruja dengan kemunculan dan persembahan Khai Bahar yang mendendangkan single popularnya Bayang, Luluh dan Menyesal.

9,986 views