Barangkali kata-kata bestari yang menyarankan kita belajar hingga ke China itu yang dipegang Shila Amzah ketika dia memutuskan untuk meneroka pasaran di negara tembok besar itu.
Dan ternyata langkahnya berbaloi.
Menjadi penyanyi Melayu yang bertudung tidak menghalang Shila membina pengaruh di negara berkenaan, khususnya di Shanghai.
Di sana dia menjadi kegemaran peminat yang mempunyai latar belakang budaya dan bahasa yang berbeza.
Selain mendapat tempat di hati peminat, ada juga pengalaman bermakna diperolehinya. Ia mengajar Shila mengenai kesungguhan, profesionalisme dan etika kerja.
“Cara mereka bekerja, berfikir – memang lain. Suasana itu juga mengajar saya supaya tegas dan keluar dari zon selesa.”
Shila, 26, berkunjung ke pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya baru-baru ini. Ia adalah sebahagian daripada jadual yang diatur sebelum dia terbang semula ke China.
Terkejut dan bimbang
Menurut Shila, pasukan pengurusannya di China mengajarnya supaya tegas dan tidak mengalah ketika berurusan dengan mana-mana pihak jika ia memang berhak.
“Saya dinasihat supaya sentiasa tegas, jika tidak, kepala kita kena ‘pijak’ pula.”
Namun yang menarik ketegasan itu tidak menyebabkan peminat atau penganjur menjauhkan diri. Barangkali itu antara sifat profesionalisme yang diamalkan orang China.
Pernah suatu hari ketika Shila sedang makan, ada peminat mahu merakam gambarnya namun dihalang dengan tegas oleh pegawai pengurusannya.
Mengakui agak terkejut dan bimbang peminat terbabit berkecil hati, Shila memberitahu kakitangan berkenaan, kurang manis peminat diperlakukan begitu.
“Tetapi mereka bertegas untuk mengawal keadaan mengikut keperluan, dan peminat itu pula tidaklah marah atau berkecil hati sebaliknya memahami.”
Semua buat sendiri
Begitu juga apabila Shila memberitahu sebagai seorang muslimah, dia perlu menjaga jarak antara dirinya dengan mana-mana lelaki bukan mahram.
Permintaan itu diterima dengan terbuka. Malah, kata Shila, apabila dia bergambar dengan lelaki lain misalnya, mereka akan menjarakkan diri sehingga pada ketika tertentu, jaraknya memang benar-benar jauh.
Namun apabila bercakap mengenai realiti di Malaysia, Shila segera akur. Keadaan di China tidak boleh dibandingkan dengan negara ini.
Di sini, kata anak sulung penyanyi ND Lala itu, keadaan masih belum sampai ke tahap sebegitu.
Dan untuk tiba ke keadaan sama dialaminya di China ketika ini, masa bertahun-tahun diperlukan.
Sementara itu menceritakan perkembangan terbarunya, Shila berkata, dia sedang menyiapkan album lagu-lagu Melayu yang dijangka dipasarkan tahun ini.
Cuma peminatnya terpaksa menunggu lagi kerana buat masa ini, kata Shila, proses berkenaan baru siap kira-kira 50 peratus.
“Mengambil masa sikit, sebab semua saya buat sendiri.”
Selain mencipta irama dan menulis lirik, Shila sendiri akan menerbitkan album berkenaan. Ia adalah tugasan yang perlu dilaksanakannya selain menguruskan persembahan atau memenuhi undangan di sana sini.
Justeru, dapat difahami mengapa Shila – yang boleh menyanyi dalam 10 bahasa – mengambil masa agak lama.
Kongsikan