Strok? Jangan keliru dengan tanda-tanda berikut

Strok? Jangan keliru dengan tanda-tanda berikut

Strok merupakan salah satu punca kematian utama di Malaysia dan juga di peringkat global. Gaya hidup moden yang kurang aktif serta pemakanan yang tinggi lemak adalah antara penyebab kepada bilangan kes yang tinggi.
Keadaan kesihatan ini perlu dicegah sebelum serangan berlaku. Hal ini demikian kerana apabila serangan telah berlaku, proses pemulihan memakan masa yang lama dan sesetengah pesakit mungkin tidak akan pulih seperti normal.

Terdapat beberapa keadaan kesihatan yang mungkin kelihatan seperti strok tetapi sebenarnya tidak.

1. Sawan

Sawan berlaku apabila aktiviti elektrik dalam otak terganggu. Jadi, pelbagai jenis simptom boleh berlaku. Antara simptom-simptom tersebut, sebahagiannya kelihatan seperti strok. Hal ini termasuk kebas, rasa semut-semut serta lemah pada lengan dan kaki.

Selepas serangan sawan, anda boleh mengalami Tood’s paralysis di mana sebahagian atau keseluruhan badan menjadi lemah.

2. Migrain

Meskipun rasa sakit kepala daripada serangan migrain itu sendiri sudah cukup membuatkan anda ke hospital, ia bukan sekadar itu sahaja. Migrain juga mungkin berlaku bersama-sama gangguan penglihatan, serta rasa semut-semut dan kebas pada lengan dan kaki. Percakapan juga mungkin terganggu.

3. Kadar gula darah rendah atau tinggi

Gangguan pada kadar gula boleh memberikan keadaan seperti strok. Kewarasan boleh terganggu. Badan juga akan berada dalam keadaan tidak stabil dan menghadapi kesukaran untuk bergerak. Mata pula menjadi kabur dan badan menjadi lemah.

4. Bell’s palsy

Keadaan ini berlaku disebabkan kecederaan pada urat saraf yang mengawal otot muka. Kesannya, sebahagian daripada muka akan menjadi lumpuh, mata tertutup, mulut senget dan percakapan terjejas. Biasanya, ia akan kembali normal selepas beberapa minggu. Kadangkala, rawatan tertentu mungkin diperlukan seperti steroid dan terapi otot muka.

5. Multiple sclerosis

Ia adalah sejenis penyakit autoimun di mana sistem ketahanan badan menyerang sel-sel urat saraf (neuron) dalam otak dan urat saraf tunjang. Simptom yang mungkin berlaku adalah pelbagai termasuk kebas, rasa semut-semut, lumpuh kaki dan lengan serta gangguan penglihatan. Ia mungkin kelihatan seperti strok.

Apa pun mungkin keadaannya, sila dapatkan bantuan perubatan dengan segera di pusat kesihatan berdekatan anda.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: 

Cegah malnutrisi kanak-kanak dengan penyusuan susu ibu

Cegah malnutrisi kanak-kanak dengan penyusuan susu ibu

Penyusuan susu ibu diketahui dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan dan kematian dalam kalangan bayi. Mengikut kajian, bayi yang diberikan susu ibu sejak lahir kurang menghidap penyakit pada tahun pertama hayat mereka. Malah, bayi yang menyusu badan juga kurang berisiko mendapat penyakit seperti cirit-birit, pneumonia, bronchitis, sembelit, jangkitan saluran kencing, ekzema dan masalah malnutrisi.

Malnutrisi atau kekurangan zat makanan adalah masalah yang lazim dialami oleh kanak-kanak. Namun, kebanyakan ibu bapa kurang sedar akan bahaya malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan nutrisi dianggarkan berkait dengan 2.7 juta kematian kanak-kanak setahun atau 45 peratus daripada semua penyebab kematian kanak-kanak. Melihat kepada angka ini, tentunya ibu bapa perlu membuka mata dan mencari jalan bagi menangani masalah malnutrisi yang semakin pincang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimana penyusuan susu ibu boleh membendung malnutrisi kanak-kanak?

WHO dan Tabung Kanak-kanak Negara (UNICEF) menganggarkan lebih 800 ribu nyawa kanak-kanak di bawah usia lima tahun dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya penyusuan susu ibu diberikan secara optimal. Hal ini kerana, pemberian pemakanan yang optimal amat penting semasa dua tahun pertama hayat kanak-kanak bagi mengurangkan morbiditi dan kematian, mengurangkan risiko penyakit kronik, serta menggalakkan perkembangan dan tumbesaran yang sihat.

Konsultansi Pakar WHO telah mempertimbangkan bukti-bukti saintifik dan membuat kesimpulan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi bayi sejak lahir sehingga 6 bulan memberi pelbagai faedah kepada bayi dan ibu. Pertubuhan ini juga menyarankan supaya penyusuan pertama dijalankan dalam tempoh satu jam pertama selepas bayi dilahirkan. Pengenalan kepada makanan pejal bermula semasa usia bayi enam bulan namun, amat disarankan supaya ibu meneruskan pemberian susu badan kepada si manja sehingga usia bayi dua tahun.

Apa yang ada dalam susu ibu?

Bermula lahir sehingga usia bayi enam bulan, ibu perlu menyusukan bayi secara eksklusif kerana susu ibu sudah cukup lengkap dan menepati keperluan nutrisi bayi. Eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu badan sahaja dan tidak diberikan makanan atau minuman lain termasuk air. Penyusuan eksklusif ini memberi banyak manfaat kepada bayi dan ibu, termasuklah menyediakan perlindungan kepada jangkitan gastrousus.

Ibu baru bersalin disarankan untuk mula menyusukan bayi dalam tempoh satu jam selepas kelahiran bayi. Hal ini kerana, susu pertama yang keluar pada ibu adalah yang terbaik untuk si manja. Susu yang dikenali sebagai kolostrum ini telah mula dihasilkan pada hujung tempoh kehamilan dan merupakan makanan yang sempurna untuk bayi kerana mempunyai 400 jenis nutrien, hormon dan kuasa untuk melawan penyakit. Malah, susu semula jadi ini juga mempunyai pelbagai ramuan penting untuk kesihatan bayi yang tidak boleh diperolehi dari mana-mana susu formula yang terdapat di pasaran. Penyusuan awal ini dapat melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan dan mengurangkan risiko kematian bayi baru lahir. Risiko kematian ini boleh terjadi disebabkan cirit-birit dan jangkitan lain yang boleh berlaku kepada bayi yang tidak diberikan susu badan sepenuhnya ataupun yang tidak diberikan susu ibu langsung.

Susu ibu juga merupakan sumber penting tenaga dan nutrien bagi bayi yang berusia 6-23 bulan. Susu ibu menawarkan separuh atau lebih tenaga yang diperlukan oleh bayi berusia 6-12 bulan, dan satu pertiga keperluan tenaga untuk bayi 12-24 bulan. Susu ibu ini juga menjadi sumber kritikal tenaga dan nutrien semasa sakit, dan mengurangkan kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Justeru, pemberian susu ibu yang optimum merupakan pencegahan awal kepada masalah malnutrisi kanak-kanak, selain memberikan kesan positif sepanjang hayat terhadap kanak-kanak dan ibu.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: 

Membesarkan anak sindrom down

Membesarkan anak sindrom down

Jangan rasa terasing jika anda mempunyai anak Sindrom Down. Di Malaysia, ia berlaku dalam setiap 1 daripada 950 kelahiran, lebih kurang sekitar 30,000 bayi. Anda bukan keseorangan. Sindrom ini merupakan antara gangguan genetik paling kerap berlaku di dunia.

Tiada siapa yang boleh menafikan cabaran dalam membesarkan anak istimewa ini. Namun, ia adalah tidak mustahil. Mari kita lihat panduan atau tip yang boleh dipelajari dalam membesarkan anak Sindrom Down.

1. Itu adalah anak anda

Anda bukannya melahirkan bayi “Sindrom Down”, tetapi anak anda sendiri. Bayi tersebut adalah insan luar biasa yang akan menjadi teman dan tempat anda mencurahkan kasih sayang. Anda tidak perlu untuk menyanyangi Sindrom Down untuk menyanyangi anak anda. Cukuplah dengan fakta bahawa itu adalah anak anda untuk melahirkan rasa cinta dan jangan hiraukan label yang diberikan.

2. Anak anda akan membesar seperti bayi lain

Perkara paling penting adalah tidak membandingkan anak anda dengan anak-anak lain yang sebaya dengannya. Anak anda membesar dengan caranya tersendiri yang unik. Perbezaan tersebut adalah normal baginya.

Fokuskan pada apa yang telah berjaya dilakukan olehnya. Memang sedikit lambat tapi akhirnya dia akan mencapainya juga.

3. Terdapat banyak bantuan dan kemudahan

Jangan bimbang. Banyak cara yang tersedia untuk membantu anak anda. Sesetengah sekolah awam menyediakan kelas pendidikan khas untuk anak-anak istimewa. Selain itu, terdapat juga Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terletak di daerah-daerah seluruh negara.

Banyak juga komuniti yang berkongsi dan membela nasib penghidap sindrom Down. Ini termasuk:

4. Cari kecantikan pada anak anda

Buang jauh-jauh stereotaip anda terhadap anak Sindrom Down. Mereka sebenarnya sangat cantik dan comel serta menghiburkan hati. Senyumannya yang manis mampu menghilangkan keletihan anda. Jari pendeknya begitu comel dan lembut apabila dipegang. Anda hanya perlu cari kecantikan tersebut.

5. Jadikan kekecewaan sebagai motivasi untuk memperbaiki cara didikan anda

Sudah tentu akan ada episod putus asa dan kecewa apabila segalanya seolah-olah tidak menjadi. Berbanding terus dihumban rasa kecewa, jadikan ia sebagai motivasi untuk lebih kreatif dalam mendidik mereka. Cuba tingkatkan ilmu dan skil anda melalui pembacaan, kursus dan latihan.

6. Diagnosis tersebut bukanlah segala-galanya dalam hidup

Hidup ini jauh lebih luas. Ada masa anda gembira dan tersenyum, ada masa juga anda bersedih dan menangis. Semua itu mungkin tidak ada kaitan pun dengan diagnosis, ujian atau isu tentang anak anda. Jangan biarkan hidup anda dikuasai oleh kata-kata orang. Anda akan menemui terlalu banyak sebab untuk terus bergembira dengan apa yang anda miliki.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: 

 

Pencemaran udara sebabkan 1 dalam 7 kes baru diabetes

Pencemaran udara sebabkan 1 dalam 7 kes baru diabetes

Pencemaran udara mengakibatkan pelbagai penyakit utama dan dan kes kematian global. Terbaru, terdapat satu kajian yang mendedahkan 3.2 juta kes baru diabetes jenis 2 pada tahun 2016 adalah disebabkan pencemaran udara.

Bahan zarah kecil (PM 2.5) diketahui dapat meningkatkan risiko penyakit jantung, penyakit paru-paru, penyakit buah pinggang dan penyakit tidak berjangkit (NCDs) lain. Para pengkaji kini menyatakan terdapat bukti kukuh mengenai kaitan di antara pencemaran udara dan penyakit diabetes jenis 2.

Walaupun terdapat kajian terdahulu mengenai kaitan di antara penyakit tersebut dan pencemaran udara, kajian terbaru daripada Amerika Syarikat tersebut menjadi kajian rintis pertama yang bersifat kuantitatif dengan memberi dapatan bahawa dengan menyedut udara yang tercemar dapat meningkatkan risiko 1 daripada 7 atau 14 peratus kes diabetes jenis 2 pada tahun 2016.

Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Lancet Planetary Health, mendapati terdapat peningkatan risiko terhadap diabetes walaupun pada kadar pencemaran udara yang selamat sepertimana yang diaudit oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). “Kajian kami mendapati terdapat kaitan signifikan di antara pencemaran udara dan diabetes di peringkat global,” memetik kata-kata Ziyad Al-Aly, salah seorang ahli kajian tersebut dan penolong professor dalam bidang perubatan di Washington University.

“Kami mendapati terdapat peningkatan risiko, walaupun pada tahap pencemaran udara yang terkawal berdasarkan standard Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA) dan WHO. Ini sangat mustahak kerana terdapat kumpulan pelobi industri yang menyatakan tahap pencemaran sedia ada sekarang terlalu ketat dan penanda aras harus diturun sedikit. Manakala bukti yang kami dapati pula menyatakan sebaliknya, penanda aras tahap pencemaran udara sekarang tidak mencukupi dan perlu diketatkan lagi.”

Penyakit yang semakin berkembang

Diabetes merupakan penyakit yang berkembang pesat — terdapat lebih kurang 422 juta orang telah didiagnosis dengan penyakit diabetes pada tahun 2014. Peningkatan ini sangat ketara berbanding 108 juta orang pada tahun 1980, menyaksikan negara-negara pendapatan rendah dan pertengahan mengalami peningkatan yang dramatik.

Penyakit diabetes jenis 2 adalah sering dihidapi, yang berlaku apabila badan gagal menghasilkan insulin secukupnya untuk memastikan tahap glukosa dalam darah berada pada tahap normal, atau kemungkinan besar insulin tidak berfungsi sebaiknya.

Obesiti, diet yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal merupakan faktor risiko utama terhadap diabetes jenis 2. Pencemaran udara dianggap mencetuskan keradangan dan mengurangkan pengeluaran insulin.

Untuk kajian tersebut, pengkaji daripada Washington University School of Medicine dan Veterans Affairs St. Louis Healthcare System di Missouri membuat analisis terhadap kesan pencemaran udara ke atas 1.7 juta veteran tentera Amerika yang tidak mempunyai sejarah diabetes dengan memantau keadaan kesihatan mereka secara purata untuk 8 tahun dan 6 bulan.

Mereka membangunkan model untuk menilai risiko diabetes dan data yang digunakan dari kajian Beban Penyakit Global untuk membantu menganggarkan kes diabetes tahunan dan kerugian tahun-tahun kehidupan sihat akibat pencemaran udara.

Pengkaji menganggarkan bahawa pencemaran udara secara global menyumbang kepada 3.2 juta kes baru diabetes dan kehilangan 8.2 juta tahun hidup yang sihat akibat pencemaran pada tahun 2016.

Secara keseluruhan, kajian tersebut turut mendapati negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana pencemaran udara adalah satu masalah yang menekan — mempunyai risiko diabetes akibat pencemaran udara lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat dan negara-negara kaya lain.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Oleh: Shahrul Izwan Naser

Benarkah orang kidal lebih bijak?

Benarkah orang kidal lebih bijak?

Kidal adalah penggunaan tangan kiri yang lebih dominan berbanding tangan kanan untuk melakukan aktiviti harian terutamanya menulis. Ia juga dipercayai membabitkan hanya 10 peratus dalam populasi dunia. Bagaimana pun, 13 Ogos setiap tahun adalah hari sambutan orang kidal sedunia dan ia diberi nama Left Handers Day.

Mitos dan Fakta Mengenai Orang Kidal

 

Mitos: Orang kidal lebih bijak

Idea bahawa orang kidal yang lebih pintar berbanding seseorang yang dominan menggunakan tangan kanan adalah mitos.

Pada 2015, penyelidik Belanda menggabungkan hasil daripada lebih daripada 30 kajian terdahulu yang melibatkan lebih dari setengah juta orang dan tidak menemui hubungan antara kidal dan kemampuan lisan, dan kelebihan kecil untuk pengendali kanan dari segi kemampuan spatial.

Menurut Science Fokus, satu lagi kajian baru-baru ini berdasarkan data daripada puluhan ribu orang sebenarnya mendapati bahawa tangan kiri adalah lebih biasa dalam kalangan orang dengan IQ yang sangat rendah berbanding kalangan orang yang mempunyai IQ biasa.

Mitos: Orang kidal lebih kreatif

Terdapat beberapa perkara yang semua orang yang kreatif mempunyai persamaan, orang kidal bukan salah satu daripadanya. Hubungan antara tangan kiri dan kreativiti adalah mitos lama yang mungkin hanya sekadar mitos.

Satu kajian pada 1995 mendapati lelaki kidal cenderung berfikir lebih kreatif apabila menyelesaikan masalah. Walau bagaimanapun, tiada perbezaan dalam pemikiran antara wanita menggunakan tangan kanan dan kiri.

Mitos: Orang kidal cenderung menjadi pemimpin

Enam dari 12 presiden Amerika Syarikat yang terakhir adalah orang kidal, tetapi itu hanya dianggap sebagai trivia presiden, bukan kelayakan untuk pekerjaan itu. Tiada bukti ilmiah yang kukuh bahawa tangan mempunyai kaitan dengan kemahiran kepimpinan mereka.

Menurut Ketua Psikologi di Mount Sinai-Beth Israel, Dr Elizabeth Ochoa berkata, sesetengah asas bagi pemerhatian antara kepimpinan dan kidal datang daripada pemerhatian angka sejarah. Ekstrapolasi (proses menggunakan logik atau fakta bagi menganggarkan kemungkinan berlakunya sesuatu pada masa depan) adalah sesuatu yang biasa antara individu-individu yang dipilih dan berjaya, salah satunya tangan kidal mereka.

Fakta: Orang kidal lebih ramai mempunyai masalah tidur

Tidak setiap rehat malam adalah suatu yang aman. Ini adalah cara tidur yang pelik yang  mempengaruhi tubuh anda. Kajian kecil dalam jurnal Chest memantau pergerakan anggota berirama dari tangan kanan dan tangan kiri semasa mereka tidur. Penyelidik mendapati bahawa 94 peratus tidur orang kidal mempunyai pergerakan anggota badan yang boleh menjadi petunjuk gangguan pergerakan anggota berkala berbanding hanya 69 peratus pergerakan orang tangan kanan.

Fakta: Orang kidal cenderung mengalami gangguan kesihatan mental yang serius

Menurut kajian dari Universiti Yale, antara orang yang mengalami penyakit mental adalah mereka yang mengalami gangguan psikotik seperti skizofrenia lebih cenderung berlaku pada orang kidal berbanding mereka yang mengalami gangguan mood seperti depresi atau gangguan bipolar. Ini adalah tanda-tanda gangguan bipolar yang paling mungkin anda abaikan.

Penyelidik mengkaji sekumpulan kecil individu pesakit luar dari klinik psikiatri dan mendapati 40 peratus daripada mereka yang mengalami skizofrenia atau gangguan schizoaffective adalah kidal. Penyelidik sangat berminat untuk meneroka hubungan antara ciri-ciri psikosis (seperti halusinasi atau khayalan) dan kidal, mereka percaya jawapannya mungkin terletak pada bahagian kiri otak yang cenderung menggunakannya lebih banyak.

Penulis Jadon Webb berkata, penemuan biomarker seperti ini sememangnya membolehkan kita mengenal pasti dan membezakan gangguan mental lebih awal, dan mungkin satu hari ada rawatan khusus dalam cara yang lebih berkesan.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Oleh: Farah Aziz

Daripada Kanak-kanak Autisme kepada Genius

Daripada Kanak-kanak Autisme kepada Genius

Apabila menyebut tentang kanak-kanak autisme, perkara pertama yang terbayang di benak pastilah kesukaran mereka menyesuaikan diri dengan norma hidup seharian. Percaya atau tidak, terdapat tokoh autisme yang berjaya dalam kerjaya mereka, menepikan segala rintangan dan cabaran yang mereka hadapi daripada zaman kanak-kanak hingga dewasa. Proses pembelajaran dan pengajaran untuk kanak-kanak autisme sememangnya sangat mencabar, tetapi tidak mustahil pendidikan mampu mengubah, bahkan melahirkan genius dalam kalangan kanak-kanak autisme.

Si kanak-kanak autisme yang genius

Dr Temple Grandin daripada Boston, Massachusetts merupakan seorang tokoh ternama dalam bidang penternakan haiwan di Amerika Syarikat. Beliau yang menghidap autisme, mempunyai kesulitan bercakap dan tidak gemar disentuh ketika kecil. Walaupun disarankan doktor agar dimasukkan ke dalam institusi jagaan, ibunya nekad membesarkan Grandin agar mendapat pendidikan seperti orang lain.

Dengan sokongan daripada ibunya dan bimbingan mentor di sekolah, beliau menamatkan pendidikan dengan jayanya dan mencipta kerjaya sebagai seorang pakar haiwan dan rujukan keibubapaan untuk kanak-kanak autistik. Sewaktu menghadiri kolej, disebabkan tekanan yang dialaminya sendiri, beliau mencipta ‘mesin peluk’ yang membantu menenangkan individu dengan autisme yang terlebih sensitif kepada ransangan deria. Uniknya, idea tersebut datang apabila beliau melihat bagaimana lembu menjadi lebih tenang apabila dimasukkan ke dalam kandang pemeriksaan.

Pengenalan beliau dengan haiwan ternakan bermula dengan cuti musim panas yang dihabiskannya di ladang penternakan kepunyaan ibu saudaranya. Di kawasan peternakan itu, beliau mula berkembang minat pada lembu. Daripada pemerhatiannya, beliau mendapati bahawa cara beliau ‘befikir secara visual’ sama seperti haiwan ternakan tersebut.

Bagaimana kanak-kanak autisme melihat dunia

Menurut beliau, sebagai seorang autistik, beliau melihat dunia seperti kebanyakan haiwan: tempat menakutkan tanpa dapat membaca emosi orang lain dan fikiran hanya dalam bentuk visual dan bukannya kata-kata. Persamaan antara cara beliau dan haiwan mencerap persekitaran membantu beliau memahami keadaan haiwan. Menurut beliau lagi, beliau tidak berfikir dalam bentuk perkataan dan bahasa, tetapi dalam bentuk deria ransangan. Segala sentuhan, bau, visual menjadi memori yang dikategorikan. Demikian juga pemerhatian beliau kepada haiwan. Sebagai contohnya beliau mendapati sewaktu lembu diberikan vaksin, ada sesetengahnya meronta manakala ada yang tenang. Setelah diselidik, beliau mendapati lembu yang panik menjadi takut disebabkan melihat bayang-bayang.

Tambah beliau lagi, haiwan mempunyai emosi. Tetapi rasa takut cenderung menjadi salah satu emosi paling utama. Beliau juga percaya bahawa haiwan juga mempunyai bakat tertentu. Seperti burung yang berhijrah dengan hanya mengingati laluannya kerana memori berdasarkan deria. Segala apa yang dilihat dan dihidu sepanjang perjalanan membentuk memori yang diingati mereka.

Inovasi penternakan haiwan yang beretika

Pemerhatian dan kajian telilti yang dilakukan beliau akhirnya membolehkannya membuat penambahbaikan dalam industri ternakan, dan pada tahun 1975 selepas mendapat ijazah sarjana, beliau menubuhkan syarikat Grandin Livestock Handling Systems. Sepanjang kariernya, Grandin memulakan perubahan besar dalam industri ternakan seperti merancang pelbagai inovasi pada pusat ternakan yang membantu mengurangkan tekanan pada haiwan sebelum disembelih.

Disebabkan jasa beliau, industri penternakan haiwan di Amerika Syarikat tidak lagi sekadar melibatkan cowboy yang melayan haiwan dengan kasar tanpa memahami dan bersimpati dengan keadaan haiwan tersebut. Kisah hidup beliau juga menjadi inspirasi kepada filem Temple Grandin. Beliau membuktikan bahawa perbezaan bukan bermakna kekurangan.

 

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: Helma Hassan