Liga Pro Malaysia kini kembali
Setelah empat tahun tidak kesampaian untuk menganjurkan liga profesional bola keranjang kebangsaan, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kembali dengan Liga Pro Malaysia (MPL) yang bakal berlangsung dari 13 hingga 29 Oktober.
Sebanyak lima pasukan tempatan dan satu dari Filipina akan berentap dalam kejohanan kali ini di Stadium MABA, Kuala Lumpur.
Kelantan Warriors yang berjaya merangkul kejuaraan pada tahun 2013 kini bergabung dengan Bintulu Eagles dalam satu pasukan baru yang dinamakan PRG Eagles. Juara Asean Basketball League (ABL) pada musim 2015-2016, Westports Malaysia Dragons turut serta dengan pasukan KL Dragons Basketball Academy.
Farmco Touch Up (Perak), Verve Club (Kampar, Perak), Penang Stallions dan King Pinas Asia (Filipina) menyiapkan barisan enam pasukan dalam liga ini.
Dalam sidang media yang diadakan semalam, timbalan setiausaha agung MABA Sim Sin Heng menyifatkan liga kebangsaan ini dianjurkan sebagai satu sesi percubaan tahun ini sejurus selepas Sukan Sea baru-baru ini.
“Pada awalnya, kami ingin mengadakan liga ini pada bulan September selepas Sukan Sea pada bulan Ogos tetapi pihak penganjur perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal.
“Walaupun kita berdepan dengan pelbagai cabaran, saya cukup berbangga dengan sokongan padu peminat tempatan Malaysia yang memenuhi stadium semasa Sukan Sea.”
“Malah, ada beberapa peminat yang tidak mendapat tiket untuk perlawanan bola keranjang semasa Sukan Sea memberitahu saya mereka tidak kisah untuk berdiri walaupun tiada tempat duduk,” kata Sim.
Sim memberitahu musim percubaan MPL tahun ini adalah satu persediaan untuk musim yang lebih panjang tahun depan dari bulan Julai hingga September selepas musim ABL yang bakal bermula bulan depan sehingga Mei 2018.
MPL juga bakal menyaksikan kembalinya pemain veteran negara seperti ketua pasukan kebangsaan Guganeswaran Batumalai yang pernah menyarung jersi sebagai kapten Westports Malaysia Dragons. Ooi Ban Sin dan John Ng yang mengumumkan persaraan mereka dua tahun lalu turut kembali untuk beraksi.