Kisah Realiti dan Penyamaran Kemunculan Semula Aksi Hong Kong
ULASAN LINE WALKER
oleh Ezli Qamari
Filem drama jenayah Hong Kong sudah tidak sehebat dulu lagi & filem² yang asalnya dari tv selalunya menemui jalan buntu di boxoffice setelah menjalani peralihan ke layar. Bolehkah ‘Line Walker’ mengubah persepsi itu & mengembalikan kegemilangan filem Hong Kong?
Polis penyamar Ding Jie (Charmaine Sheh) menerima mesej sulit dari Blackjack, seorang pengintip polis yang menyamar dalam dunia kongsi gelap. Bersama dengan Inspektor Q (Francis Ng), Ding perlu mencari siapakah pengirim sebenar mesej sulit tersebut sebelum identitinya terbongkar oleh penjahat. Keadaan menjadi lebih rumit dengan kembalinya ketua kongsi gelap Foon Hei Gor (Hui Shiu-Hung) yang memaksa Lam (Nick Cheung) & Shiu (Louis Koo) ke Rio de Janeiro untuk urusan jual beli dadah.
Sebagai seorang yang tidak pernah menonton satu pun episod tv ‘Line Walker’ yang menjadi kegilaan ramai pada tahun 2014, saya memasuki pawagam dengan sedikit info dari bacaan internet & rujukan dari kawan yang pernah menontonnya. Akibat dari menonton sebuah filem dari tv yang gagal beberapa tahun lalu, filem ini ditonton dengan harapan yang sangat tipis.
Suku pertama filem ini memperkenalkan karakter² utamanya & berjaya diselang-seli dengan jenaka yang dibawa dengan baik oleh Charmaine Sheh sebagai Ding Jie yang comel & suka bergurau dalam menjalankan misi. Dengan sekelip mata, tone filem ini berubah menjadi sangat serius & ceritanya berubah 100% ke arah kisah Lam & Shiu. Persahabatan & pengorbanan mereka berdua mula goyah apabila mereka mengesyaki satu sama lain, kita tidak pasti adakah mereka betul² setia ataupun bermain dengan minda masing².
Walaupun kali pertama mengarah filem, Jazz Boon yang dulunya penerbit siri tv ‘Line Walker’ berjaya menarik perhatian penonton ke dalam dunia polis-penjahat membuatkan anda menumpu sepenuh perhatian pada penceritaan. Di tambah pula dengan penulisan mantap Cat Kwan membuatkan anda berdebar² & tertanya² apakah akan terjadi dibabak seterusnya kerana mereka berjaya membuat anda tertekan meneka siapakah polis pengintip & siapakah penjahat.
Pengarah sinematografi Kenny Tse & penyunting filem Azrael Chung juga amat bijak bermain dengan babak drama mahupun aksi & keserasian bekerjasama dengan pengarah aksi Chin Ka-Lok, membuatkan babak pertempuran di Brazil amat mengagumkan & sangat sesuai pada masanya kerana Olimpik 2016 sedang berlangsung di Rio.
Akhir kata, filem ‘Line Walker’ boleh diterima sebagai filem standalone kepada mereka yang tidak menonton siri tv & boleh juga menjadi sekuel kepada peminat sedia ada. Plot filem ini tidak ubah seperti filem² pengintip sebelumnya seperti ‘Infernal Affairs’ tetapi ia berjaya memberi kepuasan yang lama ditagih peminat filem. ‘Line Walker’ sama seperti ‘Cold War 2’ berjaya mengembalikan kegemilangan filem Hong Kong yang semakin pudar kerana terlalu mengikut gaya & perundangan filem China.
Saksikan ‘LINE WALKER’ di pawagam berhampiran mulai 11hb Ogos 2016.