Naik MRT memang jimat tapi tidak ramai orang naik
Sejak perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama laluan Sg Buloh-Semantan memulakan sistem bayaran berkuat kuasa 17 Januari lalu, ada di kalangan pengguna berpandangan caj yang dikenakan amat munasabah dan berpatutan.
Secara purata, mereka mengganggarkan sebanyak RM30-RM60 sebulan diperuntukkan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut, sama ada ke tempat kerja mahupun ke kolej.
Tinjauan KiniTV mendapati ada di antara pengguna mengambil langkah berjimat dengan menggunakan MRT untuk ke lokasi yang ditujui, berbanding dengan menggunakan kenderaan sendiri.
Namun, ada juga yang berpandangan masih tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan itu sejak caj bayaran dikenakan dua hari lalu.
Perkhidmatan fasa pertama MRT antara stesen Sungai Buloh-Semantan melibatkan 12 stesen sejauh 21 kilometer meliputi stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.
Pengguna dikenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90 bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai dan antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah sistem tanpa tunai bermula hari ini.
Pelajar, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU) ditawarkan diskaun 50 peratus.
Bagi fasa kedua, MRT SBK Line yang melibatkan laluan 30 kilometer untuk 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 31 Julai ini.
Penumpang boleh mendapatkan butiran lanjut mengenai struktur tambang MRT dengan melayari laman sesawang myrapid.com.my.
Kongsi