Shila: Elak jika mudarat, sokong kalau manfaat

Al-Abror Mohd Yusuf | 22 Feb 2017

Pedulilah apa yang dipolemikkan orang ramai, bagi Shila Amzah, dia tetap dengan pendiriannya bahawa apa saja yang membawa kebaikan, ia wajar diberi peluang.

Shila penyanyi Melayu yang bertapak di China sebelum isu “China” menjadi agak sensitif dalam politik di Malaysia. Ia sekadar menambah kebimbangan terhadap kecurigaan antara kaum di sini.

Namun Shila ada pandangan tersendiri.

“Sesiapa saja yang boleh bawa kebaikan, faedah dan manfaat kepada rakyat dan negara, kita patut sokong.”

Shila berkunjung ke pejabat portal ini di Petaling Jaya baru-baru ini.

Penyanyi yang mempunyai ramai peminat di kalangan orang Cina di seluruh dunia itu memberitahu dia juga berpendapat semua orang ada pilihan.

“Kalau kita berdepan dengan dua mudarat, kita pilihlah mudarat yang lebih kecil.”

Shila memang agak berhati-hati menjawab soalan yang diajukan kepadanya. Biasalah, sebagai artis biasanya mereka jarang mengulas mengenai politik atau perkembangan semasa di luar dunia hiburan.

Tapi itulah. Tempat yang dikunjunginya ialah Malaysiakini.

Usah saling menyalahkan

Dan Shila sebenarnya tidak menghampakan. Dia bersikap terbuka dan bersedia berkongsi pandangan secara dewasa.

Ditanya bagaimana pandagannya selepas bergiat aktif di China, Shila enggan keterlaluan. Merendah diri, Shila berkata, dia baru lima tahun di negara Tembok Besar itu.

“Lima tahun belum cukup untuk saya menceritakan realiti di China,” katanya yang mula mencipta nama di peringkat antarabagsa melalui pertandingan Asian Wave d China pada 2012.

Tahun lalu pula dia menghasilkan album The Journey.

Daripada saling menyalahkan antara satu sama lain, kata Shila, 26, lebih baik semua pihak berusaha memperbaiki diri masing-masing.

“Jadilah orang yang lebih baik, perbaiki diri sendiri dan bersama-sama kita jadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.”

Sementara itu mengenai perancangan masa depannya, Shila berkata, dia mengidamkan membina kerjaya di Jepun dan Korea Selatan pula.

Katanya, biarlah artis lain jika mereka mahu memandang ke Barat.

Alasan Shila, muzik di negara impiannya – terutama Korea Selatan – mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia.

Sama seperti strateginya menambat hati peminat China, muzik K-pop juga diyakini dapat melebarkan lagi ’empayar’ Shila – bukan saja di Korea Selatan malah di negara lain secara tidak langsung.

Begitu pun Shila tetap tidak lupa untuk memperkenalkan Malaysia. Malah susuk dirinya sendiri ketika beraksi di atas pentas adalah mewakil negara.

“Bagi saya, sebelum kita nak orang suka kepada negara kita, elok kita buat sesuatu yang membolehkan mereka suka.”

Kongsikan

519 views