Yuna: Wanita harus berani kejar cita-cita

Nadia Azam | 8 Mar 2017

Usah risaukan kritikan kalau hendak berjaya kerana seorang wanita mampu mengubah kehidupan berbekalkan percaya kepada diri.

Sebagai penyanyi yang sedang menempa nama di persada antarabangsa, Yuna mungkin tidak terlepas daripada mengalami pengalaman sama.

Justeru, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai menggalakkan wanita agar tidak tunduk kepada cemuhan yang sekadar bertujuan untuk melemahkan mereka.

“Saya mahu wanita masa kini berani untuk mengejar cita- cita tanpa risaukan kritikan orang lain,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini.

Pesanan Yuna itu ditujukan khas buat golongan wanita sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada hari ini.

Menurut penyanyi Crush itu, wanita perlu menjadi insan yang sentiasa positif selain kuat dalam mendepani sebarang cabaran.

Oleh itu, katanya jangan jadi seorang yang mudah terpengaruh dengan perkara membawa keburukan.

“Wanita sememangnya istimewa kerana kita dikurniakan sifat kasih sayang dan sabar. Jadi jangan jadikan dunia luar berikan kesan negatif kepada sifat ini dan tukar kita menjadi seorang yang negatif,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Yuna dijemput sebagai selebriti untuk menjayakan kempen Mercedes-Benz sempena Hari Wanita Sedunia.

Menerusi kempen itu, sebuah filem pendek the Female Bond bertemakan seni dan wanita akan dilancarkan esok.

“Saya menjadi sebahagian daripada kempen hebat dengan @shesmercedes. Saya seronok kerana dapat mengekpresikan keindahan dan kuasa wanita di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Yuna berkata, kini dia sedang bersiap sedia untuk menjayakan Festival Lovelifest yang akan diadakan pada 11 Mac depan.

“Ini merupakan festival pertama YRR events jadi saya harap semuanya akan berjalan dgn lancar dan ramai peminat peminat akan hadir.

“Selain saya, Hujan, Oh Chentaku Masdo, Aizat, OAG, Najwa, dan ramai lagi akan melakukan persembahan di Lovelifest,” katanya.

Kongsikan

751 views