VOIZ malaysia

Apakah ICPT Dalam Bil Elektrik Anda

Apakah ICPT Dalam Bil Elektrik Anda

Pada 2014, Suruhanjaya Tenaga memperkenalkan Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation, IBR) bagi mengawal selia serta meningkatkan kecekapan industri bekalan elektrik negara. Melalui IBR, asas tarif elektrik ditetapkan setiap tiga tahun dengan mengambil kira kos merangkumi penjanaan, penghantaran dan pembahagian tenaga elektrik. IBR juga membolehkan kerajaan memantau kos pembekalan tenaga elektrik secara lebih berkesan.

Harga bahan api yang merupakan kos terbesar dalam penjanaan tenaga elektrik adalah faktor utama yang menentukan tarif elektrik. Pelepasan Kos Tidak Seimbang (Imbalanced Cost Passed Through, ICPT) adalah satu mekanisme di bawah IBR yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Susulan pengumuman Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili pada 30 Jun lepas mengenai penyelarasan tarif elektrik, RM1.30 bilion akan dibelanjakan untuk subsidi pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai-Disember tahun ini. Kerajaan memutuskan mengekalkan rebat sedia ada sebanyak 1.52 sen/kWj untuk tempoh tersebut.

Kadar purata asas tarif elektrik di Semenanjung Malaysia kekal pada 38.53 sen/kWj sejak 2014. Manakala, penggunaan elektrik yang kurang daripada 300kWj dikecualikan dari surcaj ICPT.

Selain daripada itu, bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan adalah percuma. Kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM150 juta setiap tahun untuk meringankan beban pengguna di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pada 2016, jumlah RM15.1 bilion dibelanjakan untuk penjanaan sebanyak 120,059 GWj (Gigawatt jam) tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan bekalan elektrik 8.45 juta pengguna di Semenanjung Malaysia. Permintaan kepada tenaga elektrik meningkat sejajar pertumbuhan ekonomi negara yang didorongi kepesatan industri, pembangunan prasarana moden, keperluan bisnes negara serta peningkatan mutu dan gaya hidup. Maka, para pengguna perlu memahami faktor kos dan campuran bahan api supaya tenaga elektrik digunakan dengan cekap dan berhemah.

Exit mobile version