VOIZ malaysia

MPL: Kemenangan pertama buat KL Dragons

MPL: Kemenangan pertama buat KL Dragons

by Okt 13, 2017

KL Dragons merekodkan kemenangan pertama dalam perlawanan sulung dalam Liga Profesional Malaysia (MPL) bola keranjang dengan 14 mata, 81-67.

Pada awalnya, Farmco Touch Up yang diwar-warkan mempunyai kelebihan berbanding pasukan Dragons yang baru sahaja melengkapkan pasukan mereka seminggu lalu tumpas dalam tangan lawan.

Sekembalinya liga profesional bola keranjang di arena kebangsaan, perlawanan pertama sejurus selepas Sukan Sea yang lalu mula melihat langkah baru dalam pembangunan sukan ini.

Penolong jurulatih Dragons Adrian Wong menyifatkan kemenangan ini suatu dorongan yang cukup memberangsangkan untuk perlawanan pertama mereka.

“Kita beraksi cukup baik dan tidak memberikan tekanan kepada pemain Dragons. Mereka memberikan pertahanan dan juga serangan yang mantap.

“Sukar untuk kita mengawal Sam (Deguara), kita agak bernasib baik dapat mengurangkan pungutan mata beliau. Pertahanan kita belum memadai tetapi pemain kita memberikan yang terbaik,” kata Wong.

Wong juga memberitahu beberapa pemain muda menunjukkan potensi yang baik dan berpeluang dipilih dalam barisan pemain untuk Asean Basketball League (ABL).

Daniel Eves dan Kyle Matthew Toth menjaringkan 30 dan 18 mata untuk Dragons, ketua pasukan John Ng dan Addy Tung menyumbangkan 10 dan 8 mata.

Untuk Farmco pula, Samuel Deguara mendahului dengan 24 mata, 17 rebounds dan 5 block manakala Chris Kuete mendapat 21 mata dan 12 rebound.

Farmco Touch Up memberikan saingan yang agak sengit, terutamanya pemain import Samuel Deguara dari Malta dengan ketinggian 2.26 meter menguasai perimeter dalaman. Seiring dengan pemain veteran Malaysia, Guganeswaran Batumalai yang juga pernah menyarung jersi Dragons sebelum persaraan beliau pada tahun 2014.

Walaupun berdepan Farmco yang mempunyai kelebihan ketinggian berbanding KL Dragons, kembalinya John Ng sebagai ketua pasukan Dragons juga menyerikan liga kali ini dan mengejar penguasaan kembali pada 5 minit pertama, 11-8.

Samuel Deguara tetap utuh di perimeter dalam dengan jaringan 7 mata dan mengakhiri suku pertama hasil jaringan pemain muda Malaysia Loh Ken Yen pada saat akhir. Farmco mendahului Dragons sebanyak 4 mata, 14-18.

Kalau Dragons ketinggalan pada awalnya, mereka kembali menguasai suku kedua dan membenamkan 7 mata pada dua minit pertama daripada Daniel Eves dan Kyle Toth. Tidak kurang hebatnya gandingan Syahrul Rosli dan Phan Wee Chen yang turut memberikan kawalan bola yang mantap di gelanggang.

Daniel Eves terus memberikan aksi yang baik dengan jaringan luar perimeter, lantas menjaringkan lima kali jaringan 3 mata dalam suku ini. Dragons jauh meninggalkan Farmco yang sukar mencari jaringan dari dalam, mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan enam mata, 45-39. Dragons memungut 31 mata dalam sukuk kedua, Farmco hanya mendapat 21.

Dragons memperbaharui peratusan mata dari 22.7 ke 43.9 peratus manakala Farmco pula dengan 43 peratus. Farmco semakin ketinggalan dalam suku kedua akibat turnover yang banyak 7, memberikan banyak peluang kepada Dragons.

Farmco terus ketinggalan mata dalam suku ketiga setelah Daniel Eves menjaringkan mata pada tiga minit akhir. Walaupun Dragons memperlahankan ritma perlawanan, mereka masih menguasai gelanggang dengan baik dan mengakhiri suku ini dengan 64-57.

Ketinggian bukan halangan untuk Addy

Walaupun serba kekurangan dengan ketinggian beliau berbanding ramai pemain lain, Addy Tung yang pernah beraksi bersama Westports Malaysia Dragons pada 2015, beliau turut memberikan aksi yang mantap menandingi pemain lain.

“Kita harus bersedia bermula pada awalnya. Kemenangan ini hasil usaha bersama sebagai satu kumpulan, agak menakjubkan juga kita dapat mengalahkan Farmco.

“Saya tidak terkata-kata dan peluang bermain dengan masa yang lebih banyak dalam liga ini memberikan semangat untuk mengalahkan pihak lawan,” kata pemain yang berusia 28 tahun itu.

KL Dragons akan bertemu Verve Club esok pada 8.30 malam.

Gambar dan artikel oleh Norman Goh

Exit mobile version