KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengambil inisiatif untuk membaik pulih 164 kolam takungan perkhidmatan dan 55 rumah pam secara berperingkat dari 2017 hingga 2026.

Permintaan untuk air terawat telah meningkat dengan pembangunan pesat di negeri Selangor dan untuk memastikan kestabilan bekalan air dalam rangkaian pengagihan, fasiliti yang tidak digunakan telah dibaik pulih.

Fasiliti-fasiliti ini tidak digunakan kerana telah mengalami kerosakan akibat dari faktor usia yang telah usang, kebocoran yang serius, tangki berkarat, vandalisma dan kecurian peralatan kritikal sehingga menyebabkan ianya tidak dapat berfungsi.

Air Selangor telah mengenalpasti semua fasiliti yang tidak digunakan dan menyediakan pelan membaik pulih fasiliti-fasiliti ini untuk menyediakan simpanan air tambahan.

Sehingga Disember 2018, Air Selangor telah melaksanakan kerja-kerja membaik pulih 35 kolam takungan perkhidmatan dan rumah pam yang tidak digunakan untuk meningkatkan simpanan air terawat di dalam rangkaian pengagihan.

Sebanyak 147.341 juta liter sehari (JLH) telah ditambah dalam sistem pengagihan pada 2018 dengan pembaikpulihan fasiliti-fasiliti air tersebut.

Usaha membaik pulih ini akan membantu menjamin kelestarian bekalan air, terutamanya di kawasan tekanan air rendah, di mana permintaan sentiasa tinggi. Ini juga akan menyediakan lebih banyak simpanan air terawat semasa gangguan air disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan atau kecemasan. Secara ringkas, tempoh gangguan air untuk pelanggan dapat dikurangkan kerana kolam takungan ini bertindak sebagai bekalan rizab untuk premis-premis di kawasan sekitar.

Sejak 2017, Air Selangor telah memperuntukkan kira-kira RM30.6 juta untuk membaik pulih fasiliti-fasiliti ini dengan dana daripada Kerajaan Negeri serta dana dalaman daripada Air Selangor. Pada 2019, Air Selangor merancang untuk membaik pulih kira-kira 45 kolam takungan dan rumah pam yang tidak digunakan. Ini adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang diambil oleh Air Selangor untuk menambahbaik perkhidmatan bekalan air kepada pelanggannya.

Antara aset baharu yang dibaikpulih adalah kolam takungan

Panel kawalan operasi pam dan motor

8,366 views