Westports Malaysia Dragons tidak kesampaian menundukkan Singapore Slingers dalam perlawanan kedua dalam liga Asean Basketball League (ABL) dan tumpas di tangan pasukan Singapura itu dengan hanya lima mata, 76-81.

Percubaan Dragons kali ini sangat jauh berbeza berbanding dengan perlawanan pertama yang diadakan November lalu di Singapura dan pada ketika itu, Dragons dikalahkan oleh Slingers hampir 20 mata.

Bagi ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas merasakan ini merupakan proses pada hala tuju yang betul untuk pasukan Malaysia.

 

“Jika dibandingkan dengan perlawanan November lalu jika anda masih ingat, apakah yang ada rasakan dari segi perbezaan prestasi Dragons kali ini?”

“Saya sangat mementingkan proses yang perlu dilalui oleh setiap pemain dalam Dragons, dan kami masih antara pemain yang paling muda dalam liga ini. Walaupun keputusan kali ini tidak memadai untuk Dragons tetapi saya tetap yakin, kami akan menjadi lebih gah sepanjang musim ini,” kata Thomas.

Untuk Dragons, Skylar Spencer menjaringkan 19 mata dan 15 rebound, Marcus Melvin mendapat 17 mata dan 11 rebound, manakala pemain tempatan Teo Kok Hou menyumbangkan 12 mata.

Dragons bermula perlawanan dengan serangan demi serangan yang lebih mantap berbanding dulu. Pada awal suku pertama, Slingers merebut penguasaan gelanggang dengan Dragons, namun dengan pertahanan yang lebih efektif, Slingers sukar mencari jejaknya.

Pasukan Malaysia mula meninggalkan jurang mata berbanding Slingers pada penghujungnya dan lontaran tiga mata Teo Kok Hou menamatkan suku pertama dengan perbezaan enam mata, 27-21.

Slingers kembali memimpin serangan balas untuk menguasai separuh masa pertama dalam permulaan suku kedua, menjaringkan 11 mata untuk kembali di hadapan. Namun, Dragons tidak berganjak dan akhiri separuh masa pertama dengan dunk oleh Skylar Spencer, 39-39.

Pada dua minit yang terakhir, Dragons hanya ketinggalan 70-73 selepas jaringan tiga mata oleh Freddie Goldstein. Aksi kejar-mengejar dalam persaingan sengit ini jelas menunjukkan perubahan prestasi yang amat berbeza untuk Dragons.

Walaupun pada 12 saat terakhir apabila Slingers sudah jauh di hadapan dengan 71-79, Dragons tetap tidak berputus asa. Marcus Melvin dan Skylar Spencer berasak-asak mencari posisinya dan berjaya menjaringkan tiga mata dan dua mata, 76-79.

Nasib tidak menyebelahi Dragons kali ini apabila dikalahkan di gelanggang sendiri dalam siri pertama Piala Straits.

Freddie Goldstein hampir mendapat mata tetapi bola yang dilontar hanya sekadar melintasi jaring pada saat terakhir.

“Bagi saya, kelemahan utama kekalahan ini adalah point guard. Termasuklah saya sendiri dan Freddie. Kami tidak mengawal pergerakan bola dengan baik pada pertengahan perlawanan.

“Keseluruhannya, kami telah menjangkaui prestasi dulu tetapi Dragons boleh mengatasi Slingers. Pada Ahad ini, Dragons perlu mengkaji semula kesilapan kali ini dan mencari strategi untuk menghadkan Justin Howard dalam gelanggang,” kata Teo Kok Hou kepada wartawan selepas perlawanan.

Malaysia Dragons akan berangkat ke Singapura pada Ahad ini untuk pertemuan kali ketiga dengan Singapore Slingers pada pukul 4 petang di OCBC Arena.

42 views