Kini kebebasan membawa lebih daripada seribu erti buat pelakon Tony Eusoff.
Selepas apa yang dilaluinya, harapan Tony kini adalah ingin mengawal masa depan sendiri dengan merealisasikan impian yang pernah suatu ketika dulu dipandang remeh.
Selepas bebas daripada hukuman penjara, kini Tony mempunyai beberapa perancangan yang ingin dicapai dalam tempoh kira-kira lima tahun dari sekarang.
Namun pengalaman juga mengajarnya, untuk menjadi seorang yang berjaya memang bukanlah mudah, malah tiada jalan pintas untuk mengecapi apa yang diidamkan.
“Saya bukan dari golongan senang, banyak rintangan perlu dilalui tetapi semuanya akan diteruskan jika niat itu dirasakan betul dan ikhlas.
“Kalau nak buat duit cara cepat memang banyak namun kaedah itu bukan saja tidak baik, malah tidak halal. Jadi biarlah saya ambil masa lebih lama untuk berjaya.
“Boleh saja mencuri – misalnya – atau mendapatkan sesuatu projek dengan memberi rasuah tetapi ia akan memudaratkan orang lain yang sepatutnya lebih layak mendapat peluang itu,” katanya ketika hadir ke pejabat Malaysiakini baru-baru ini.
Tony atau nama penuhnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 39, gejala rasuah bukanlah perkara baru di negara ini malah wujud dalam segenap bidang.
Pada 12 Mac tahun lalu, pelakon teater P Ramlee The Musical itu ditahan di Tuas, Singapura, ketika memasuki republik itu bagi menjalani penggambaran drama seram The Hush.
Selepas dibicarakan, dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan memiliki dadah terkawal kelas A mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura.
Selepas menjalani hukuman lima bulan 10 hari, Tony dibebaskan dari penjara Singapura pada 1 Oktober kerana berkelakuan baik.
Kata Tony, sebaik melangkah keluar dari penjara, perkara pertama hinggap di fikirannya adalah menyusun strategi bagi meluaskan karier. Untuk itu, Tony ingin mencabar dirinya mencuba sesuatu yang baru.
“Sejak awal berlakon pada 2004, saya sudah pasang impian untuk bergelar penerbit filem atau pementasan teater dan muzikal.
“Namun, pada 10 tahun pertama, semua perancangan sering tertangguh kerana tidak cukup serius, selain sentiasa beranggapan esok masih ada.
“Sekarang saya sudah tak boleh membazir masa lagi.
“Saya ada pilihan sama ada kekal dalam industri seni sepenuh masa atau mencuba bidang baru dengan berniaga.
“Cuma saya perlu bijak membahagi masa kerana ketika walaupun impian berniaga tercapai, saya rasa saya masih perlu teruskan aktiviti berlakon,” katanya.
Share this