Walau dikecam, Shikin juara bagi kucing, anjing terbiar

30 March 2017
Walaupun menerima banyak kecaman daripada masyarakat sekeliling, ia tidak mematahkan semangat Norashikin Ahmad untuk terus menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada kira-kira 150 ekor kucing dan 50 anjing terbiar.

Kisah Norashikin, 24 atau lebih dikenali sebagai Shikin mula mendapat perhatian netizen apabila gambarnya menyelamatkan seekor anjing yang terjatuh dalam sebuah longkang, menjadi tular beberapa minggu lalu.

Shikin membina sebuah pusat perlindungan berhampiran rumahnya di Alor Gajah, Melaka dan di situlah dia membelai haiwan-haiwan berkenaan dengan penuh kasih sayang.

Menceritakan rutin hariannya kepada Malaysiakini, Shikin bangun seawal jam 4 pagi untuk membantu ibunya yang berniaga nasi lemak sebelum membersihkan dan memberikan makanan kepada haiwan peliharaannya.

Sepanjang terlibat menjaga haiwan berkenaan sejak tiga tahun lalu, Shikin mengakui menerima pelbagai sindiran dan cemuhan daripada orang kampung. Malah mereka juga cuba memboikot gerai ibunya.

“Dia (orang kampung) kata, Orang Melayu tak boleh pegang anjing sebab haram. Macam mana pegang anjing tapi pegang makanan. Saya cakap dekat mak saya, tak apa. Rezeki bukan mereka yang bagi. Rezeki Tuhan yang bagi, saya tak perlu takut,” katanya.

Menurut Shikin, hubungan dengan ibunya juga pernah tegang pada awalnya sehingga beliau pernah ‘dihalau’ keluar dari rumah. Namun selepas diberi penjelasan oleh kakaknya, ibunya lama kelamaan mula memahami kebaikan yang dilakukan.

Shikin berkata dia menjadikan bapanya sebagai contoh dan inspirasi untuk menyayangi haiwan jalanan.

“Walaupun anjing ke, kucing ke, apa-apa binatang pun kalau kita berkemampuan untuk tolong, kita kena tolong. Itulah pesan ayah saya, jangan kita nampak (haiwan jalanan) tapi kita buat tak reti. Saya pegang apa yang ayah pernah cakap,” katanya dalam satu temu bual dengan KiniTV.

Menurut Shikin, beliau berulang kali mengubahsuai pusat perlindungan tersebut bagi membesarkannya dan menempatkan haiwan-haiwan berkenaan.

Selain kerja-kerja pengubahsuaian dan makanan haiwan yang mencecah kos RM3,000 sebulan, Shikin berkata dia juga perlu menampung kos rawatan haiwan yang tinggi.

Setiap hari, Shikin membawa beberapa ekor kucing dan anjingnya ke klinik haiwan dan jarang mempunyai wang cukup untuk menjelaskan bil rawatan sehingga terpaksa berhutang sebanyak RM10,000.

Mujur, pihak klinik membenarkan beliau melewatkan bayaran secara beransur-ansur.

Shikin menubuhkan Shikin Team Animal Rescue (STAR) di Facebook dan dari situ mendapat sumbangan daripada pencinta haiwan bagi menampung kos rawatan berkenaan.

Islam menekankan kasih sayang

Bagi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Dr Maszlee Malik, Islam adalah agama yang menganjurkan kasih sayang kepada semua makhluk.

Namun beliau kesal kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang kurang menekankan aspek kemanusiaan.

“Dalam masyarakat Melayu Islam, kita kurang menekankan aspek kemanusiaan dan manusiawi. Konsep al-Rahman, al-Rahim yang setiap kali kita baca ketika sembahyang dan makan.

“Malangnya kehidupan umat Islam hari ini kurang al-Rahman dan al- Rahim iaitu sifat pengasih dan penyayang. Atas semut yang kecil pun nabi tak bagi dibunuh, apatah lagi binatang lain,” jelasnya.

Bagaimanapun Dr Maszlee berkata beliau bukanlah mahu menggalakkan orang Melayu membela anjing sewenang-wenangnya, tetapi memadai menerapkan nilai simpati dan perikemanusiaan kepada haiwan.

Katanya, individu yang melakukan usaha dan kebaikan kepada haiwan dengan membuat pusat perlindungan seperti Shikin tidak seharusnya dipandang serong.

“Kita lihat usaha murni dia berdasarkan ajaran Islam yang pernah ditunjukkan. Jadi kena ubah, kembali kepada sejarah umat Islam yang panjang dan kembali kepada ajaran Islam yang pengasih dan penyayang,” katanya.

Selain itu beliau juga menggalakkan golongan berkemampuan memberi sumbangan kepada individu seperti Shikin untuk menguruskan pusat perlindungan haiwannya.

16,780 views