Percubaan kedua bawa tuah pada Samantha Katie James

Norman Goh, 6 April 2017

Berkat semangat yang tidak mudah berputus asa, Samantha Katie James, 23 dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara ratu cantik Miss Universe Malaysia 2017.

Gadis kacukan Cina-Brazil itu mengalahkan 16 finalis lain yang dipilih dari seluruh negara, termasuk dua atlet kebangsaan dalam acara trek dan lawan pedang, Tanalaksiumy Rayer dan Laura Simon.

Dana Low, Ollemadthee Kunasagaran, dan Laura Simon masing-masing mendapat tempat kedua, ketiga dan keempat.

Samantha akan mewakili Malaysia di arena Miss Universe ke-66 yang bakal diadakan tahun depan.

“Saya tidak menyangka akan dapat dinobatkan juara, namun ini merupakan suatu perjalanan yang jauh buat saya sendiri.”

“Saya pernah menyertai Miss Universe ketika berumur 18 tahun tetapi tidak berjaya pada masa itu. Belum lagi bersedia ketika itu. Untuk pertandingan kali ini, saya tahu bahawa saya cukup bersedia,” kata Samantha.

Bangkit lepas 6 tahun

Dalam sesi wawancara selepas acara itu, Samantha juga berkongsi motivasi beliau kembali dalam Miss Universe Malaysia walaupun tidak berjaya enam tahun lalu.

“Apabila saya menetapkan matlamat yang ingin dicapai, saya akan cuba sedaya upaya untuk memenanginya. Walaupun kalah, saya akan terus berusaha.”

Beliau juga mendedahkan pernah bertemu dengan Pia Alonzo Wurtzbach, pemenang Miss Universe 2015 peringkat antarabangsa yang berasal dari Filipina.

“Kami pernah bekerjasama. Beliau pernah menasihati saya untuk terus berjuang dan buat yang sebaik mungkin,” ujar beliau.

Pia sendiri mempunyai pengalaman tiga kali menyertai Binibining Pilipinas, pertandingan ratu cantik Filipina.

Standard Kiran

Sementara itu, pengarah Miss Universe Malaysia, Elaine Daly, yang pernah mewakili Malaysia pada tahun 2003, merakamkan rasa kagumnya terhadap 17 finalis tahun ini.

“Ini merupakan suatu perjalanan yang bermakna untuk mencari wakil Malaysia melalui proses berbulan-bulan. Saya berasa amat gembira dapat bekerjasama dengan Samantha untuk bersedia dalam pertandingan tahun depan,” katanya.

Daly berkata pemenang tahun lalu Kiran Jassal telah menetapkan standard yang agak tinggi untuk pertandingan itu.

Beliau berharap, Samantha juga dapat mencapainya, bahkan mungkin lebih baik lagi.

“Walau apapun, saya selalu memberitahu mereka jika bertanding dalam arena antarabangsa, kita sertainya untuk memenangi pertandingan itu.”

“Kita perlu fokus dan pastikan kemenangan itu,” kata Daly.

VOX Hiburan

Bagaimana cara mohon lesen Finas?

Bagaimana cara mohon lesen Finas?

PANDUANKINI | Semua bentuk penggambaran, termasuk di platform media sosial peribadi, memerlukan lesen dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.Kenyataan menteri itu mencetuskan kritikan dengan pengguna...

Pelakon Ashraf Sinclair meninggal dunia

Pelakon Ashraf Sinclair meninggal dunia

Khabar duka buat penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari apabila suaminya, aktor Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pagi tadi.Berita itu disahkan pengurus Bunga Citra, Doddy.“Ya, benar, serangan jantung,” katanya dipetik Kompas.com.Ashraf, warga...

Abam Bocey sudah tiada

Abam Bocey sudah tiada

Peminat industri hiburan hari ini dikejutkan dengan berita pemergian pelawak Abam Bocey yang meninggal dunia di kediamannya di Gombak pagi tadi.Perkara itu disahkan oleh adiknya Ali Puteh, yang juga merupakan seorang pelawak.“Al-Fatihah abang,” katanya menerusi...

7,268 views