MPL: PRG Eagles raih kemenangan pertama yang besar

by Okt 20, 2017Sukan0 comments

PRG Eagles kutip kemenangan pertama selepas mengalahkan Penang Stallions sebanyak 70 mata, 126-56.

Dalam aksi yang agak hambar minggu lalu apabila tumpas dalam tangan dua pasukan teratas, Farmco Touch Up dan KL Dragons BA, Eagles memberi nafas baru untuk perlawanan yang lebih baik minggu ini.

Patrick Sanders dari Eagles mendahului kutipan mata dengan 26 mata, 9 rebound dan 5 assist manakala Anthony McClain dan Heng Yee Tong pula mendapat 21 dan 14 mata masing-masing.

Walaupun Eagles dicabar pada awal suku pertama yang hanya mendahului Stallions dengan 3 mata (31-28), gandingan dua pemain import Eagles Anthony McClain dan Patrick Sanders menguasai keseluruhan suku kedua dan Stallions hanya setakat mendapat 12 mata.

PRG Eagles tamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 24 mata berbanding Penang Stallions, 64-40.

 

Patrick Sanders (Eagles) terus menggasak Stallions masuk ke suku ketiga dan membenamkan pasukan lawan dengan jaringan tiga mata bertubi-tubi.

Pada tiga minit terakhir dalam suku tersebut, Sanders telah mendapat 8 kali jaringan tiga mata daripada 11 percubaan. Eagles terus mengawal mudah gelanggang dengan mendahului Stallions sebanyak 45 mata, 91-46 sejurus selepas barisan pemain Eagles ditukarkan dengan pemain tempatan.

Lim Yang Jie (Stallions) terpaksa direhatkan selepas mendapat lima foul dan Heng Yee Tong (Eagles) menamatkan suku ketiga dengan kelebihan 51 mata, 100-49. Stallions hanya mendapat 9 mata jaringan berbanding Eagles yang menjaringkan 36 mata.

Stallions cuba perbaiki suku ketiga dan Eagles terus mendapatkan lebih banyak jaringan mendekati perbezaan mata sebanyak 60 mata dalam suku keempat. Kurangnya pengalaman dalam liga bola keranjang ini untuk Stallions ketara tetapi peluang beraksi dalam liga ini baik untuk pembangunan secara amnya.

Gambar dan artikel oleh Norman Goh

209 views