MPL: Verve rekod jaringan terbanyak dalam liga, Kings kecundang lagi

by Okt 20, 2017Sukan0 comments

Satu-satunya wakil dari Filipina, Kings Pinas Asia kecundang lagi dalam perlawanan pertama minggu ini dalam Malaysia Pro League (MPL) dibelasah teruk oleh Verve Club sebanyak 93 mata, 145-52.

Verve Club juga memecahkan rekod jaringan terbanyak dalam liga bola keranjang ini dengan jaringan 145 mata, mengatasi Farmco Touch Up minggu lalu sebanyak 126 mata.

Lee Chean Chung dari Verve Club mendapat jaringan dengan 27 mata termasuk 7 jaringan tiga mata manakala Chadrack Lufile dan Daniel Camps menjaringkan 28 dan 15 mata masing-masing

Verve Club menampilkan dua pemain baru dalam barisannya; termasuk seorang pemain veteran yang baru beraksi dalam Sukan Sea yang lalu, Soo Eng Heng.

Soo juga adalah seorang pegawai polis berpangkat sarjan dan berkhidmat di daerah Klang, Selangor.

Benjamin Sim juga menyertai barisan pemain baru Verve Club minggu ini dan beliau juga merupakan bekas pemain kebangsaan junior pada tahun 2009-2011 sebelum melanjutkan pelajaran ke Melbourne.

Sim kini merupakan seorang akauntan di Kuala Lumpur.

Pemain terbaru Verve Club, Benjamin Sim menunjukkan kebolehannya seawal suku pertama apabila digantikan masuk ke gelanggang, cepat mendapatkan tiga assist kepada Chadrack Lufile dan Daniel Camps menjaringkan bola.

Lee Chean Chung ungguli jaringan dalam suku pertama dengan lima jaringan tiga mata dan satu fast-break, merekodkan 17 mata. Verve Club menguasai suku pertama dengan mudah, mengatasi Kings dengan 17 mata, 30-13.

Tidak sampai tiga minit dalam suku kedua, Kings cuba perbaiki corak permainan mereka dan cepat menjaringkan 9 mata berbanding 7 mata oleh Verve, 37-22.

Verve terus menguasai gelanggang pada akhir separuh masa pertama dengan 22 mata, 59-37.

Dengan hanya lapan pemain sahaja dalam barisan pasukan Kings, mereka sukar mendapatkan mana-mana kemenangan setakat ini dalam liga ini. Kings terus dibelasah Verve dalam suku ketiga dengan hanya 10 mata jaringan berbanding 34 mata oleh pasukan lawan.

Kings terus ketinggalan sebanyak 48 mata, 93-47 pada akhir suku ketiga.

Kings tidak lagi mampu mempertahankan gelanggang dalam suku keempat dan terpaksa akur dengan kekuatan Verve Club yang menjaringkan 52 mata berbanding Kings yang mendapat 5 mata sahaja pada akhir perlawanan.

Verve Club akan bertemu PRG Eagles esok pada 4.30PM yang berlangsung di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Kings Pinas Asia pula akan bertemu KL Dragons BA pada 6.30PM manakala Penang Stallions dan Farmco Touch Up pada 8.30PM.

305 views