MPL: Dragons ungguli rekod tanpa kalah

by Okt 23, 2017Sukan0 comments

Rekod tanpa kalah, inilah semboyan KL Dragons laungkan setelah mengakhiri siri perlawanan minggu ini dalam Malaysia Pro League (MPL) mengalahkan Penang Stallions sebanyak 16 mata, 91-107.

Daniel Eves dari Dragons hampir merekodkan prestasi double-double dalam perlawanan ini dengan jaringan 39 mata, 21 rebound dan 8 assist.

Beliau yang juga merupakan seorang guru pendidikan jasmani di salah sebuah sekolah antarabangsa Kanada di Kuala Lumpur berasa gembira kerana diberikan peluang untuk bersama Dragons dalam Malaysia Pro League.

“Saya rasa prestasi Dragons agak memuaskan setakat ini dalam MPL. Dalam perlawanan saya langsung tidak memberi perhatian kepada rekod prestasi saya,” kata Eves, 34, ketika ditemui wartawan.

Dragons ketinggalan awal perlawanan hasil jaringan Bautista Jhapz (Stallions) dan walaupun Eves cuba mengurangkan defisit, Jayson Lee membenamkan jaringan tiga mata, 7-2.

Hanya satu jaringan sahaja daripada Dragons, Stallions terus mengasak dan jaringan daripada Ong Wen Hong (Stallions) meletakkan pasukan lawan jauh ketinggalan dalam minit ketiga, 9-2.

Stallions masih mengekalkan pendahuluan walaupun Dragons cuba merampas penguasaan dalam suku pertama. Jaringan buzzer-beater Ong Wen Hong tamatkan suku pertama dengan kelebihan empat mata untuk Stallions, 22-18.

Prestasi Dragons yang kurang memuaskan dalam suku pertama dengan hanya mendapat 6 jaringan daripada 21 percubaan (29 peratus). Walaupun Dragons mempunyai kelebihan menguasai lebih dua per tiga rebounds, mereka tidak dapat menukarkan rebounds itu untuk kutipan mata.

Dragons cuba memperbaiki awal perlawanan dan seawal tiga minit pertama suku kedua, gandingan Izran Edika dan Daniel Eves mengurangkan perbezaan mata kepada dua, 27-25.

Pada minit keempat, jaringan tiga mata dari luar perimeter oleh Kyle Toth, mengembalikan pendahuluan Dragons tetpai cepat dijawab kembali oleh Jayson Lee (Stallions) dengan jaringan tiga mata keempat beliau, 30-28.

Kedua-dua pasukan terus bergasak masuk ke tiga minit terakhir sebelum tamatnya separuh masa pertama. Daniel Eves memacu kembali pendahuluan Dragons menjaringkan tiga mata dan foul-in, mengembalikan Dragons di hadapan Stallions, 37-39.

Babak-babak minit terakhir tidak memihak kepada Stallions yang bergerak terlalu cemas dan memberikan peluang kepada Dragons menjarakkan pungutan jaringan sebelum mengakhiri suku kedua.

Jaringan tiga mata Phan Wee Chen sejurus selepas jaringan penalti Eves menyukarkan Stallions yang cuba mengikat penguasaan Dragons.

Dalam 12 saat terakhir selepas Toth mendapat satu daripada dua jaringan penalti, Jayson (Stallions) gagal untuk cuba membuat jaringan terakhir dan steal daripada Wee Chen mengakhiri separuh masa pertama dengan 37-48.

Dragons tampak lebih dominan dalam suku ketiga dan dalam beberapa babak ketika Stallions cuba mengurangkan jurang mata, ketua pasukan Stallions Jayson Lee mendapat jaringan tiga mata ketujuh beliau pada pertengahan suku, 55-70.

Stallions memberikan saingan yang hebat dalam suku ketiga dan juga menjangkaui jaringan mata  Dragons, 30 mata berbanding 28. Gandingan Bautista dan Jayson melonjakkan Stallions dan mengurangkan penguasaan Dragons pada akhir suku ketiga kepada 9 mata, 67-76.

Eves terus menunjukkan dominasinya di dalam dan luar perimeter, menjaringkan 11 mata untuk Dragons menjarakkan lagi penguasaan ke atas Stallions. Pasukan lawan tidak terdaya lagi mematahkan serangan Dragons dan menamatkan saat akhir perlawanan dengan dua jaringan penalti daripada Dexter Zamora.

KL Dragons bakal berentap minggu depan pada 28 Oktober, 8.30PM dalam perlawanan separuh akhir.

1,377 views