MPL: Farmco benamkan Verve untuk tempat kedua liga

by Okt 23, 2017Sukan0 comments

Farmco Touch Up lengkapkan misi mereka ke pusingan separuh akhir selepas membenamkan Verve Club 24 mata, 90-66.

Kurangnya seorang pemain import yang tidak turut serta dalam perlawanan menentukan tempat kedua dalam MPL dan juga perbezaan ketinggian pemain memberikan cabaran untuk Verve.

Hanya dengan Chadrack Lufile yang beraksi untuk Verve, awal suku pertama mudah didominasi Farmco dengan penguasaan Samuel Deguara di perimeter dalam. Gandingan Deguara dan pergerakan pantas Chris Kuete melenyapkan peluang Verve untuk menembusi pertahanan Farmco.

Kuete dan Deguara mudah menjaringkan 13 mata dalam suku pertama dengan kelebihan 10 mata untuk Farmco, 23-13.

Sungguhpun kekurangan pemain yang tinggi saiznya, Verve cuba mengatasinya dengan percubaan jaringan dari luar perimeter tetapi tidak memadai dengan peratusan jaringan yang hanya sekadar 23 peratus (5 daripada 22 percubaan) berbanding Farmco dengan 55 peratus (11 daripada 20 percubaan).

Prestasi Verve semakin merudum dalam suku kedua dan tidak mampu mengekang Farmco yang terus mengutip jaringan demi jaringan. Farmco mudah menjarakkan dominasi dari 10 mata ke 21 mata pada akhir separuh masa pertama, 47-26.

Walaupun Farmco sudah dijangka mendominasi perlawanan ini sejak dari awal lagi, Verve tetap cuba untuk menyaingi mereka. Bagaikan hawa pantang kerendahan, nafsu pantang kekurangan; Verve tidak ingin mengalah walau serba kekurangan.

Verve sudah ketinggalan sebanyak 23 mata pada akhir suku ketiga kepada Farmco, 70-42.

Prestasi pemain import Chadrack Lufile yang kurang memuaskan dalam perlawanan tidak banyak membantu untuk menangani serangan daripada Deguara dan Kuete. Ketiadaan Daniel Camps dalam perlawanan ini banyak mempengaruhi strategi pertahanan. Camps terpaksa direhatkan atas sebab kurang sihat.

Sehinggalah minit ketiga suku terakhir, pemain utama Farmco digantikan barisan pemain muda, antaranya Foo Ting Jun yang pernah mewakili skuad kebangsaan junior. Verve sudah jauh ketinggalan sebanyak 34 mata, 81-47.

Farmco akhirnya melenyapkan peluang Verve untuk kedudukan kedua liga dan terus layak ke pusingan separuh akhir minggu depan.

Verve Club pula perlu berdepan dengan pasukan tercorot dalam liga, Kings Pinas Asia yang diuar-uarkan akan menampilkan beberapa pemain baru dan dua pemain import.

Farmco Touch Up akan beraksi dalam pusingan separuh akhir minggu depan pada 28 Oktober, 6.30PM.

3,080 views