Dragons mara ke final, kalahkan Eagles dalam perlawanan sengit

by Okt 29, 2017Sukan0 comments

KL Dragons teruskan persaingannya hingga ke final selepas berjaya mengalahkan PRG Eagles dalam perlawanan separuh akhir dengan empat mata, 90-86.

Perlawanan kali ini cukup sengit dan Eagles sememangnya ingin membalas dendam dalam kekalahan lalu pada pusingan awal tetapi Dragons buktikan kekuatan mereka dengan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan berturut-turut.

Walaupun Dragons memulakan perlawanan agak perlahan, mereka dapat mengembalikan penguasaan dalam pertengahan perlawanan. Aksi yang mantap daripada Addy Tung dan John Ng serta Mohd Shadzwan yang menggamit sorakan penonton di Stadium MABA malam tadi.

Pemain muda Phan Wee Chen dan bekas pemain kebangsaan Wan Chee Yuen juga menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada perlawanan lalu.

Daniel Eves mengungguli jaringan dengan 16 mata, 16 rebound dan 5 assist manakala Addy Tung dan John Ng mendapat 15 dan 13 mata. Kyle Toth menjaringkan 15 mata dalam perlawanan ini.

Dragons bermula dengan kelam-kabut, beri peluang kepada Eagles mendahului awal melalui dua jaringan tiga mata oleh Ma Chee Kheun.

Pada pertengahan suku pertama, Dragons ketinggalan 8 mata di belakang Eagles, 2-10. Selepas panggilan time out, Addy Tung kembalikan harapan untuk Dragons dengan jaringan tiga mata, 5-10.

Sehinggalah saat-saat akhir, Dragons cuba menguasai kembali dan mengikat mata 23-23 melalui jaringan buzzer oleh Wan Chee Yuen.

Dalam suku pertama, Anthony McClain (Eagles) dominasi jaringan dengan 10 mata dan juga Ma Chee Kheun yang mendapatkan dua jaringan tiga mata untuk Eagles.

Babak suku kedua terus sengit untuk kedua-dua pasukan yang cuba mengatasi antara satu sama lain dengan jaringan luar perimeter. Percubaan itu agak berkesan untuk Dragons selepas John Ng mendapat dua jaringan tiga mata berturut-turut pada empat minit pertama suku kedua, 34-33.

Addy Tung sekali lagi menunjukkan aksi atletik beliau walaupun jauh lebih rendah berbanding pemain lain dalam liga ini dan hasil lontarannya kepada Kyle Toth memberikan Dragons kelebihan dua mata dalam pertengahan suku kedua, 39-37.

Dragons masih mendahului Eagles pada separuh masa pertama dengan hanya dua mata, 45-43

Eagles semakin ditinggalkan dalam suku ketiga dan pada pertengahan suku ini, Dragons sudah mendahului dengan 9 mata, 62-53. Jaringan tiga mata bertubi-tubi memberikan kelebihan untuk Dragons mengakhiri suku ketiga dengan lebih baik, 70-62.

Walaupun Dragons mula selesa mendahului Eagles dengan kelebihan 11 mata dalam suku keempat, akibat leka untuk cuba mendapatkan tiga mata, Eagles menghampiri Dragons pada pertengahan sukum 75-73.

Selepas panggilan time out oleh Dragons, mereka kembali di hadapan pada tiga minit terakhir perlawanan, 81-76 tetapi dicabar kembali apabila Peter Sanders (Eagles) mendapat jaringan tiga mata, 81-79.

Pada masa tersebut, Daniel Eves dan Addy Tung sudah mendapat empat foul.

Ryan Liaw mengikat kembali mata pada dua minit terakhir selepas dua jaringan penalti, 81-81.

Bibit-bibit minit terakhir sangat sengit terikat sekali lagi selepas jaringan Wan Chee Yuen dibalas oleh Ryan Liaw pada minit 1:03. Kedua-dua pasukan masih terikat 83-83.

Peluang kembali cerah untuk Dragons apabila Kyle Toth berjaya mendapat dua daripada tiga jaringan penalti, 85-83 pada 50 saat akhir. Sanders kurangkan kelebihan Dragons kepada satu mata sahaja selepas mendapat satu daripada dua jaringan penalti, 85-84 pada 38.9 saat terakhir.

Sanders ‘dihadiahkan’ foul keempatnya dan Daniel Eves mendapat satu daripada dua jaringan penalti untuk Dragons di hadapan dengan dua mata pada 16.8 saat akhir, 86-84. Dalam enam saat, Kyle Toth sekali lagi mendapatkan dua lagi jaringan penalti dan Dragons selesa dengan empat mata, 88-84 pada 10 saat terakhir.

Ryan Liaw cuba sekali lagi untuk membawa perlawanan ini ke masa tambahan dengan jaringan dua mata jump shot tetapi akhirnya tidak kesampaian apabila Addy dihadiahkan dua jaringan penalti untuk menamatkan perlawanan dengan 90-86.

Menurut jurulatih Dragons, Christopher Thomas berkata pasukannya yang cuba memberikan yang terbaik untuk merangkul kejuaraan malam ini.

“Kita perlu menikmati proses ini, sejak dari permulaan liga ini sehinggalah ke garisan penamat. Saya berasa cukup gembira dan seronok untuk menghadapi perlawanan malam ini. Dragons perlu melakukan strategi yang tepat untuk menangani pasukan lawan,” kata Thomas.

KL Dragons akan berentap dengan Farmco Touch Up hari ini pada 8.30 malam ini.

7,502 views