Zaman kanak-kanak pereka Pokémon rahsia ilham watak utama

by Jul 18, 2016Hiburan0 comments

Pokémon telah sekali lagi menjadi hangatan global, dan francais ini mungkin layak menerima perhatian tersebut, menjayakan ulang tahunnya yang ke-20. Pada penghujung 90-an, Nintendo telah melancarkan dua permainan video Pokemon, Red dan Blue. Kedua-dua versi tersebut direka hampir sepenuhnya oleh Satoshi Tajiri, pengasas syarikat Game Freak yang menerbitkan majalah hiburan permainan video pada masa itu. Selepas mencadangkan idea kepada Nintendo, Satoshi diberi modal pelaburan, dan terus mereka salah satu ikon paling popular dalam dunia hiburan moden, Pokémon.

Keputusan paling sukar yang pernah saya ambil. Charmander masih pilihan saya!

Apakah yang menjadikan Pokemon begitu menarik?

Realiti kehidupan zaman kanak-kanak

Keseluruhan francais Pokémon diilhamkan oleh Satoshi melalui hidupnya sendiri. Watak yang dikenali sebagai Red dalam permainan Pokemon adalah Satoshi semasa zaman kanak-kanak. Plot permainan dalam Pokémon Red dan Blue bermula dari Pallet Town, dan pemain akan meneruskan perjalanan ke serantau wilayah Kanto berlatar-belakangkan muzik nostalgik dan meneroka dunia imaginasi Satoshi pada masa kecil. Nama ‘Pokémon’ berasal dari ‘Pocket Monsters’ yang  bermaksud raksasa poket, kerana permainan Pokemon pada mulanya diperkenalkan kepada Gameboy, peranti mudah alih yang boleh disimpan di dalam poket. Namun begitu, kisah ini menjadi lebih menarik apabila kita teliti kehidupan Satoshi Tajiri beberapa dekad yang lalu.
Semasa masih kecil, Satoshi kerap menghabiskan masa luar rumah untuk menangkap and mengumpul serangga dan binatang-binatang kecil. Beliau sering tertarik kepada variasi serangga yang ada di kawasan persekitarannya kerana setiap kali beliau berjalan ke tasik, serangga air akan muncul, dan setiap kali beliau mengangkat kayu-kayu kecil, serangga kayu akan muncul. Satoshi akan menangkap serangga-serangga tersebut dan menyimpan mereka di dalam poketnya. Beliau telah berjaya menerapkan elemen explorasi dan penemuan yang sama dalam permainan Pokémon, di mana pemain hanya akan berjumpa dengan Pokémon di dalam semak-samun, gua, dan kolam-kolam air.  Selain watak utama, pemain juga akan berjumpa dengan watak Bug Catcher bermaksud Penangkap Serangga bernama Tajiri. Nama samaran Satoshi semasa kecil adalah “Dr. Bug” bermaksud Doktor Serangga.

Satoshi Tajiri

Satoshi Tajiri

Pereka Pokémon & CEO Game Freak

Variasi karya watak utama sepanjang evolusi permainan Pokémon

Masih ingat watak Bug Catcher?

Inspirasi dan imaginasi

Satoshi dibesarkan di bandaraya Machida, sebahagian besar metropolis Tokyo, dan terletak di bahagian tengah wilayah Kanto di Jepun. Dalam generasi pertama permainan Pokémon, pemain akan berada di sebuah kawasan yang namanya dianggap sebagai Indigo, kerana wujudnya Indigo Plateau, namun Nintendo telah mengumumkan bahawa kawasan itu bernama Kanto. Wilayah Kanto dalam permainan Pokemon ini bukan sahaja sama dari segi sebutan, malah sama dari segi geografi. Pemain akan bermula di Pallet Town, sebuah bandar kecil yang menyerupai bandar Shimoda, tempat asal Satoshi. Pemain juga akan menjelajah ke Celadon, sebuah bandaraya pesat membangun yang menyerupai Shijunku, pusat komersial Tokyo. Gaya hidup di sini agak berbeza, dan Satoshi sentiasa mengingati perubahan yang dialami oleh kampung halamannya. Beliau sedih apabila banyak tempat-tempat yang beliau sering kunjungi untuk menangkap serangga telah digantikan dengan bangunan-bangunan moden.

Wilayah Kanto - Saya juga banyak menghabiskan masa dalam versi digital tempat ini.

Ibu Satoshi merupakan suri rumah pada masa itu, dan bapanya bekerja untuk Nissan. Semasa membesar, terdapat beberapa perbezaan pendapat antara Satoshi dan bapanya. Bapanya mahu Satoshi menjadi seorang juru elektrik, namun beliau tidak gemar bidang tersebut. Beliau juga menghidap penyakit sindrom Asperger, dan para peminat telah membuat spekulasi bahawa penyakit tersebut merupakan punca hobi mengumpul serangga dan ketidak- serasian dengan bapanya. Dalam permainan tersebut, di dalam rumah watak utama, hanya ibunya kelihatan, dan bapanya tiada di rumah. Pemain akan mengalahkan bapanya dalam pertandingan Pokémon selepas beberapa peringkat.

Tiada realiti masa dalam permainan Pokémon, watak utama tidak akan tidur, makan atau berehat. Ini mungkin kerana cara Satoshi bekerja. Beliau gemar berehat selama 12 jam dan bekerja untuk 24 jam seterusnya. Beliau terbiasa dengan bekerja berterusan, dan masih bekerja seperti ini sehingga kini.

Ayah tiada di rumah?

Bandar Shimoda, atau Pallet Town dalam Pokémon. 

Gotta catch 'em all!

Namun begitu, watak utama Pokémon yang lebih dikenali ramai ialah Ash Ketchum. Watak ini muncul dalam program televisyen Pokémon yang menceritakan pengembaraan Ash Ketchum untuk menjadi jurulatih Pokémon terhebat. Nama Ash Ketchum dipetik dari versi Jepun rancangan tersebut, iaitu ‘Satoshi’ juga.

Nama akhir “Ketchum” berasal dari slogan rancangan tersebut iaitu, “Gotta catch ém all!”.

Shigeru Miyamoto

Shigeru Miyamoto

Pereka Super Mario Bros, Nintendo

Kelihatan bersama, Ash Ketchum bersama saingannya, Gary. 

Plot rancangan popular ini yang ditayangkan di serata dunia juga memperkenalkan watak Gary, saingan Ash Ketchum. Gary pula dinamakan sempena Shigeru Miyamoto, pereka permainan video popular, Super Mario Bros. Satoshi menganggap Shigeru sebagai idolanya dan sering meminta nasihat dari Shigeru.

Pengakuan Satoshi

Mungkin masih banyak elemen zaman kanak-kanak Satoshi dalam Pokémon, tetapi Satoshi tidak gemar dengan populariti. Semasa sesi temuramah oleh majalah Time, Satoshi mengakui watak utama dalam Pokémon adalah dirinya sendiri.

TIME: “The main human guy is named Satoshi. That’s your name. Is he your alter ego?”

(Nama watak manusia utama ialah Satoshi. Itu nama anda. Adakah dia ego anda yang berbeza? )

Tajiri: “Basically, he’s me when I was a kid.”

(Sebenarnya, watak itu adalah saya semasa kecil)

Pokémon kini ditayangkan di serata dunia, dalam pelbagai bahasa. Cerita hidup Satoshi akan sentiasa diabadikan dalam kejayaan francais ini. Kehadiran Pokémon Go merupakan anjakan tinggi bagi Nintendo dan Satoshi.

Satoshi masih bekerja di Game Freak  sebagai CEO sehingga hari ini.

“Can you catch 'em all?”

1,354 views