Apakah makna hadiah wang bernilai AS$25,000 (RM112,437) pada seorang pelakon?

Mungkin nilainya jauh lebih besar apabila didermakan kepada golongan memerlukan, seperti dibuktikan aktor AS, Kal Penn, yang menyumbang hadiah dimenanginya kepada pelarian Palestin.

Penn, 39, menjadi pemenang dalam pertandingan MasterChef Celebrityyang ditonton ramai sepanjang program itu berlangsung selama dua jam semalam.

Dia yang pernah muncul dalam banyak filem termasuk Superman Return pada 2006 dan siri Harold & Kumarmengalahkan pelakon siri Son Of Zorn, Cheryl Hines di pusingan akhir.

Derma Penn itu disalurkan melalui agensi bantuan pelarian PBB, UNRWA di AS.

Kata Penn, dia memilih membantu pelarian Palestin kerana sedar nilai yang dapat dimanfaatkan untuk mangsa konflik di Timur Tengah itu.

“Dengan wang AS$25,000 itu, ia boleh menampung kos menyediakan makanan untuk 1,000 pelarian selama setahun,” katanya.

Penn yang turut muncul dalam banyak siri televisyen memberitahu, dia teruja untuk membantu kerja amal di Gaza dan Syria melalui UNRWA.

“Bantuan ini boleh dianggap sebagai talian hayat untuk banyak keluarga yang menderita selama berdekad-dekad hanya untuk memenuhi keperluan asas serta mendapatkan hak mereka,” katanya.

Sebelum memenangi pertandingan itu Penn sempat menulis di Twitter: “Harap saya akan menang! AS$32 boleh menyediakan selimut, tilam dan baju sejuk kepada pelarian di Syria”.

Selain berlakon, Penn juga bertugas sebagai pensyarat pelawat dalam bidang perfileman di University of Pennsylvania.

Dia juga pernah menjadi anggota pentadbiran Presiden Barack Obama pada 2009 namun meletak jawatan pada Jun 2010 untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

539 views