Tidak dinafikan filem Dangal menjadi satu daripada filem paling digemari peminat di Malaysia sejak ia mula ditayangkan di pawagam akhir tahun lalu.

Ia bukanlah sesuatu yang aneh. Dangal menampilkan pelakon tidak asing lagi – Aamir Khan – dan bercerita tentang sesuatu yang menarik serta luar biasa, iaitu dunia gusti profesional.

UTV Motion Pictures

Amaran spoiler!

“Dangal” – kuasa wanita atau penindasan baru lelaki?

by Hiburan, Suara

Berdasarkan cerita benar, drama bercorak biografi ini menampilkan perjalanan hidup juara gusti kebangsaan, Mahavir Singh Phogat (Aamir Khan) melatih dua anak perempuannya menjadi pemenang pingat emas dan perak pada Sukan Komanwel 2010.

Filem itu mendapat banyak pujian kerana mempromosi kesaksamaan gender, terutama di India yang masih mengharamkan seseorang memeriksa jantina janin.

Larangan itu dibuat kerana kerajaan mahu mengelakkan amalan menggugurkan kandungan kerana kebanyakan penduduk negara itu lebih mengharapkan kelahiran anak lelaki berbanding perempuan.

Namun sama ada ia benar-benar mencabar budaya dominasi lelaki ke atas wanita masih terbuka untuk diperdebatkan.

Dangal bermula dengan impian Mahavir memiliki seorang anak lelaki yang boleh dilatihnya menjadi penggusti kelas dunia, sekali gus merealisasikan impiannya membawa pingat emas untuk India di kejohanan antarabangsa.

Bimbang masa depan, jodoh

Harapan Mahavir – yang sebelum itu meninggalkan gusti kerana ia tidak menjanjikan pendapatan yang memadai bagi menyara keluarga – kemudian ‘padam’ apabila seorang demi seorang anak yang dilahirnya isterinya, Daya Shobha Kaur (Sakshi Tanwar), adalah perempuan.

Takdir Mahavir kemudian bertukar selepas dua anak pertamanya – Geeta dan Babita – membelasah dua budak lelaki di kampung mereka.

Demi meneruskan impian emasnya, Mahavir mengetepikan segala cakap-cakap penduduk serta budaya setempat dan mempersiapkan kedua-dua gadis suntinya menjadi atlet dalam sukan yang biasanya dikuasai lelaki.

Geeta dan Babita terpaksa bangun tidur seawal 5 pagi setiap hari untuk meningkatkan stamina dan kekuatan fizikal, berseluar pendek dan akhirnya rambut mereka dipotong menjadi seolah-olah budak lelaki.

Babak itu secara langsung mencabar kelaziman gender bagi masyarakat luar bandar di India.

Contoh lain dapat dilihat apabila Daya Shobha menyatakan kebimbangannya terhadap masa depan serta jodoh anak mereka.

Bagi mengatasi ketakutan itu Mahavir sebaliknya menyatakan, penglibatan Geeta dan Babita tidak merosakkan peluang mereka untuk bertemu jodoh.

Bagi Mahavir, biarlah Geeta dan Babita memilih sendiri lelaki yang akan dikahwini, bukan sebaliknya seperti yang menjadi norma semasa masyarakat India.

Apabila Daya Shobha meragui kemampuan anak-anaknya menjadi penggusti, Mahavir bertanya: “Jadi, kamu rasa anak-anak kita tak sebagus budak lelaki?”

Kritikan Dangal terhadap budaya semasa itu paling ketara dipaparkan pada babak perkahwinan seorang remaja perempuan yang dihadiri Geeta dan Babita.

Pada adegan itu pengantin perempuan memperkatakan betapa pasangan adik-beradik itu bertuah kerana memiliki bapa yang berusaha memberikan makna kepada hidup mereka

Tidak seperti Mahavir, kata remaja itu, ibu bapanya melihat anak perempuan tidak lebih daripada sekadar beban yang perlu diserahkan kepada lelaki.

Namun, seseorang boleh melihat sebenarnya bapa pengantin itu dan Mahavir sebenarnya berada pada sisi sama.

Mahavir – yang mempunyai kata putus bagi setiap perkara dalam keluarga mereka – memaksa Geeta dan Babita tunduk kepada impiannya memenangi pingat emas bagi India.

Pandai warnakan kuku

Ia tidak banyak bezanya dengan seorang bapa memaksa anak perempuan berkahwin. Apa yang membezakan mereka ialah motif Mahavir lebih mudah diterima mengikut perspektif moden.

Babak dengan pengantin itu membawa perubahan pada anak perempuan Mahavir yang akhirnya bersetuju dengan impian bapa mereka.

Penonton kemudian dibawa beberapa tahun ke depan untuk menyaksikan Geeta menjadi juara gusti kebangsaan. Kejayaan itu membolehkan dia meninggalkan rejim latihan Mahavir untuk menyertai Institut Sukan Kebangsaan.

Di situ kuasa Mahavir sebagai bapa dicabar oleh kukasa lebih besar – iaitu negara – yang diwakili institusi sukan serta jurulatih yang serta-merta memperlekehkan teknik si bapa di depan Geeta sendiri.

Tindakan menyertai institusi sukan itu juga memberi ruang kepada Geeta mengepakkan sayapnya lebih daripada sekadar atlet gusti.

Di situ dia mula belajar menyimpan rambut panjang, mewarnakan kuku, membeli-belah dan menonton wayang dengan rakan-rakannya.

Perlahan-lahan dia membuat keputusan mengetepikan ajaran Mahavir yang dianggapnya “lemah” dan menerima didikan jurulatih kebangsaan.

Ia akhirnya bertukar menjadi perseteruan antara Geeta dan Mahavir. Ketika pulang ke kampung Geeta mengalahkan bapanya di gelanggang gusti ketika si bapa itu sebenarnya semakin berusia.

Reaksi kepada perbuatan Geeta itu dianggap sebagai “pemberontakan” terhadap kuasa dominasi si bapa yang kemudian digambarkan akhirnya terhukum sewajarnya.

Dalam babak berikutnya Geeta digambarkan gagal memenangi sebarang kejuaraan antarabangsa, manakala si adik – Babita – tetap memberi keyakinan kepada bapa mereka, dan sebagai balasan, muncul menjadi juara kebangsaan.

Hanya selepas Geeta berubah dan kembali kepada wataknya sebagai anak yang taat, ‘sumpahan’ itu berakhir.

Ketika adegan memilukan antara Mahavir yang menasihati Geeta supaya menjadi contoh untuk semua kanak-kanak perempuan di India, sekali lagi penonton dibawa kepada mesej feminisme dalam Dangal.

Namun malangnya, kesudahan filem itu membawa penonton kembali kepada persoalan dominasi berlebihan lelaki.

Sebanyak mana Dangal cuba mencabar stereotaip dan peranan gender dalam masyarakat India, akhirnya, filem itu adalah kisah bagaimana Mahavir memenangi pingat emasnya untuk India melalui anak perempuannya.

Dalam keadaan ini, Geeta dan Babita sebagai wanita, menjadi alat untuk bapa mereka – seorang lelaki – untuk mencapai kemuliaannya.

Selepas Geeta memenangi pingat emas melalui perlawanan mencemaskan (sinematografi dan lakonan babak ini memang cemerlang, malah ada seseorang duduk di hujung kerusi penonton tanpa disedari) dia mencari bapanya di seluruh stadium.

Dalam adegan kemuncak, Geeta memberian pingat emasnya kepada Mahavir. Dan dia buat kali pertama dalam hidupnya, si bapa berkata: “Syabas.”

Jika anda menonton, apa yang anda lihat? Adakah anda melihat seorang ayah yang mencipta masa depan yang cerah untuk anak perempuannya, atau adakah anda melihat seorang anak perempuan yang akhirnya memenuhi impian ditunggu-tunggu ayahnya sekian lama?

Adakah Dangal benar-benar menggalakkan kesaksamaan jantina dan mencabar nilai-nilai tradisional masyarakat India, atau ia hanya menunjukkan satu bentuk baru penindasan gender di bawah nama kemuliaan negara?

1,575 views