Di Sebalik Sumber Elektrik Yang Kita Gunakan

by Ogo 25, 2017Branded Content, Gaya hidup0 comments

Sewaktu kita menggunakan alat-alat elektronik seperti telefon pintar dan komputer, pernahkah kita terfikir dari mana datangnya tenaga elektrik untuk menghidupkan alat-alat tersebut?

Arang batu, gas asli termasuk gas asli cecair (LNG) dan hidro merupakan sumber-sumber yang penting dalam penjanaan tenaga elektrik. Pada 10 tahun yang lalu, dua pertiga daripada sumber-sumber tersebut berasal daripada gas asli untuk penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia. Bekalan gas asli diperolehi dari perairan pantai timur Semenanjung Malaysia dan diimport dari seluruh dunia dalam bentuk LNG. Kos pembelian gas dan gas asli cecair melibatkan RM8.8 bilion setahun bagi memastikan bekalan elektrik yang mencukupi untuk pengguna.

Namun, pergantungan yang terlalu banyak kepada satu sumber penjanaan membawa risiko tinggi kepada bekalan tenaga elektrik apabila bekalan bahan api terganggu. Kenaikan harga dan kestabilan bekalan gas asli merupakan cabaran utama kepada sektor tenaga.

Sebagai langkah untuk memastikan bekalan tenaga elektrik negara yang lebih stabil dan cekap dari segi kos penjanaan, kerajaan mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan sumber bahan api secara seimbang di antara gas asli termasuk LNG dan arang batu.

Kos penjanaan daripada sumber arang batu yang lebih rendah telah meningkatkan sumbangannya kepada 51% pada tahun 2016 berbanding dengan 27% pada tahun 2007 dalam komposisi bahan api sebagai usaha mengurangkan pergantungan terlalu tinggi kepada gas asli.

Kini, dengan kuantiti arang batu yang sama, stesen janakuasa berupaya meningkatkan penghasilan tenaga yang lebih tinggi dengan kecekapan teknologi Ultra-supercritical (USC). Teknologi USC turut mematuhi piawaian alam sekitar yang mesra alam demi persekitaran dan kesejahteraan rakyat.

Arang batu yang digunakan di stesen janakuasa adalah 100% diimport dan ia tertakluk kepada perubahan harga bahan api serta kadar tukaran mata wang asing. Oleh demikian, penghasilan tenaga elektrik di stesen janakuasa arang batu perlu dioptimumkan supaya tenaga elektrik dijana dengan lebih efisien supaya menjaminkan kos penjanaan elektrik sentiasa dikawal pada paras terendah.

Untuk mengatasi kesan penyusutan bahan api fosil tidak boleh diperbaharui seperti arang batu, minyak, dan gas asli, syarikat-syarikat janakuasa di seluruh dunia beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk menjana tenaga elektrik.

Sumber RE terdiri daripada hidro, solar, biomass dan biogas. Biomass dan biogas merupakan sumber yang berupaya menggantikan bahan api fosil. Manakala, solar dan hidro merupakan sumber semulajadi yang digunakan untuk menjana tenaga. Kesan rumah hijau akibat perlepasan karbon dioksida dapat dikurangkan melalui penjanaan tenaga daripada RE dan mewujudkan persekitaran yang lebih bersih.

6,739 views