Apakah cara atau teknik yang lebih efektif untuk menembusi suara hati dan menukarkan tabiat buruk seseorang? Apakah bentuk ragam pengajaran yang kita perlu laksanakan supaya ajaran agama kita lebih efektif menghadapi cabaran dunia moden. Soalan-soalan ini merupakan topik pertikaian antara puak yang berlainan pendapat walaupun seagama.

Kebanyakkan ajaran agama mengalakkan fikiran rasional. Pemikiran rasional hanya menggunakan otak kiri. Jika seseorang itu pintar, informasi senang difahami dan dilafazkan tetapi informasi ini tidak semestinya boleh mengubah tabiat buruk seseorang.

Buat tujuan itu, agama-agama dunia ini mengamalkan beberapa teknik yang dikongsi antara agama, bezanya ialah bahasa yang digunakan dan agama yang memikat hati.

Teknik bersujud melakukan sembahyang, berlutut serta kepala ke lantai, tangan “anjali” ataupun tangan bersembah dan lain-lain tindakan semasa sembahyang tiada banyak perbezaan antara agama kerana manusia mempunyai tangan, kaki dan badan untuk menunjukkan kesetiaan dan merendahkan hati kepada ajaran agama.

Agama Hinduisme, Kristian dan Buddhisme melutut ke arah patung manakala agama Islam melutut ke arah Mekah. Kita mesti faham patung itu adalah satu simbolisme, melambangkan nilai-nilai yang diperolehi dalam ajaran, sebagai contoh, untuk penganut menukarkan pandangan serta hati ke arah kemuliaan ajaran itu.

Ada juga ramai yang tidak faham agama sendiri dan melakukan perbuatan yang tiada kena mengena dengan ajaran agamanya. Contoh yang paling ketara ialah melutut dan bersembah ke patung Buddha atau Kuan Yin dan mengoncangkan satu set nombor yang diingini untuk membeli nombor loteri. Salah tafsir juga berlaku dalam kalangan orang Islam di mana ada orang pernah berkata rasisme dibenarkan dalam Islam.

Dalam setiap agama terdapat banyak perbezaan pandangan, tafsiran serta perlaksanaan, bak pepatah Melayu “banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”. Ini satu kebenaran yang sering diabaikan oleh mereka yang memegang kuasa. Mereka bertindak kononnya mereka boleh mengawal pandangan serta kepercayaan seseorang melalui paksaan atau hukuman.

Apabila kita memahami apa yang perlu dikerjakan itu ada di dalam hati kita, maka autonomi hanya di tangan orang itu. Tiada lain yang faham isi hatinya. Yang berkuasa boleh memaksakan pakaian seragam, cara sembahyang seragam, mesti hadiri waktu sembahyang, kurikulum yang sama ataupun pertunjukkan gerak budi luaran yang seragam, tetapi dalam hati, setiap insan memahami dan menafsirkan ajaran agama dengan penuh kepelbagaian.

Walaupun adanya beribu-ribu jenis penafsiran, ragam dan cara meluahkan pandangan berasingan sesorang terhadap agamanya, tetapi manusia mempunyai sistem deria yang sama.

Manusia hanya boleh meluahkan kebaktian kepada agamanya melalui tangapan pancaindera. Dari alunan azan ke dikir Gregorian agama Kristian ataupun suara nyanyian tekak Tibetan, kesemuanya menggunakan suara manusia. Ini kerana dengan menggunakan suara, manusia dapat bernafas dengan lebih mendalam ke paru-paru. Dengan terdengarnya nyanyian suara merdu itu juga menyebabkan hati manusia berasa lega serta tenteram.

Sejak turun temurun, pelbagai agama faham adanya kaitan memanjangkan pernafasan dengan ketenteraman hati. Kajian sains menggunakan Megnectic Resonance Imaging (MRI) ke atas otak manusia dan alat pengukur denyutan jantung yang terkini boleh membuktikan kaitan bernafas yang lebih panjang/dalam dengan ketenteraman hati.

Teknik-teknik ini sudah lama ditiru oleh para psikologi apabila kita mahu mententeramkan hati seseorang.

Pelbagai teknik pernafasan juga terdapat di dalam seni kung fu, silat, chi kung dan yoga. Malah gerak gaya silat ada banyak persamaan dengan kung fu jika kita melihatnya dengan teliti. Sedikit perbezaan ialah silat menggunakan
pendirian yang lebih lebar dan kurang lompat-melompat manakala jenis kung fu di utara China banyak lompatan. Ini kerana keadaan alam, sawah padi dan banyak hujan di Asia Tenggara.

Kepelbagaian itu juga datang daripada pendidik seni tersebut. Ada mahaguru mengajar seni itu untuk mempertahankan diri, ada mahaguru yang mengajar murid menjadi pembuli. Masalahnya ada orang yang berkata silatlah yang terhebat dan ada yang kata kung fu yang terbaik. Yang baik dan tak baik sebenarnya di tangan pengamalnya.

Begitu juga nasib agama. Contohnya mengapa ramai orang bukan Islam menghormati allahyarham tok guru Nik Aziz? Sama dengan mendiang Nelson Mandela dan juga Dalai Lama. Mengapa orang yang beragama lain menghormati individu-individu ini? Ini kerana individu yang mempraktikkan agama mempunyai sifat univeral dimana agamanya juga cuba menghasilkan watak yang mulia.

Kehebatan sesuatu agama disanjung oleh pengamalnya. Sama juga sesuatu agama boleh dicemari oleh individu atau kumpulan seperti Klu Klux Klan di Amerika, pelampau Hinduisme di India, pelampau Buddhisme di Myanmar ataupun IS di Asia Tengah.

Peralatan yang sama

Kita lihat penggunaan tasbih umpamanya, Taoisme, Hinduisme, Buddhisme, Kristian dan Islam menggunakan tasbih. Semuanya mengunakan tasbih serta melafazkan ayat-ayat suci yang berbeza kerana agama yang berbeza dan pengunaan bahasa yang berbeza.

Bahasa yang berbeza ada kebaikan kepada pengguna yang melafazkan ayat suci kerana ia boleh menembuskan erti ayat ke dalam hatinya supaya penganut itu boleh memahaminya dengan lebih mendalam.

Apakah fungsi tasbih? Dengan menyentuhkan biji-biji tasbih serta melafaz ayat suci, perhatian kita beralih ke dalam hati. Biasanya apabila kita mengulang berkali-kali sesuatu ayat, perbuatan ini meredakan fikiran dan tekanan kerana hati kita beralih ke ayat-ayat suci atau biji-biji tasbih ataupun pernafasan. Perbuatan ini mengalakkan intuisi ataupun penggunaan otak kanan.

Meluangkan masa lebih panjang dengan perbuatan ini boleh memperolehi ketenteraman hati. Bila kita mengalami ketenteraman hati ataupun melembutkan hati, jika kita mengerjakan hati kita dengan betul, dengan izin Tuhan kita memperolehi kekuatan serta ketabahan hati untuk menukar tabiat buruk.

Suatu ketika saya pernah menziarahi sabuah kedai di bas stesyen lama Kuala Lumpur, di mana terdapat kedai-kedai khas untuk pengikut agama Islam. Saya ingin membeli tasbih, tetapi penjual barangan di kedai itu berkata barang-barang ini hanya untuk orang Islam sahaja. Saya mempertikaikan kenyataan itu lalu berkata semua agama di dunia ini menggunakan tasbih.

Tasbih adalah satu barangan yang digunakan untuk kita mententeramkan hati, tidak kira apa jua agama manusia itu, semua manusia boleh menggunakan barangan itu.

Kebanyakkan pengikut agama hanya tahu melafazkan ayat suci agamanya sendiri atau mengerjakan suruhan agama tetapi susah menterjemahkan erti ayat dan melaksanakan perubahan hati yang diperlukan untuk menjadi seorang insan yang baik. Ayat-ayat itu pedoman hidup supaya kita dapat bertindak dengan positif mengikut ajaran agama.

Gerakan yoga “surya namaskar”, bersolat dengan alunan bacaan Al-Quran dan pernafasan jenis Tai Chi/Chi Kung semuanya adalah persiapan melembutkan hati manusia supaya dapat mengerjakan hati dengan tepat.

Soalan yang penting ialah adakah teknik agama berdaya membimbing kita menukar tabiat buruk ataupun pemikiran negatif kita supaya nilai-nilai yang murni boleh dipraktikan, seperti hidup dengan aman, bahagia dan saling tolong menolong antara satu sama lain tidak kira kaum ataupun agama.

Masalah antara agama di tangan pengikutnya. Jika penganut faham apa yang perlu dikerjakan ialah hati sendiri, maka masalah luaran yang kita sering ambil berat itu nampak sia-sia sahaja. Malangnya pihak berkuasa terlalu mengambil berat dengan keaadan luaran sampaikan kita tidak sedar bahawa tindakan kita sendiri bercanggah dengan ajaran agama.

Kandungan dan konteks

Keadaan ini samalah dengan semua agama dimana teksnya ditulis sekurang-kurangnya lebih 1500 tahun lalu. Pancasila ajaran dasar moral Buddha adalah seperti berikut:

1) Aku bertekad melatih diri untuk menghindari pembunuhan.

2) Aku bertekad melatih diri untuk tidak mengambil sesuatu yang tidak diberikan (mencuri).

3) Aku bertekad melatih diri untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak tertib atau tidak sopan (hubungan luar nikah).

4) Aku bertekad untuk melatih diri menghindari ucapan yang tidak benar (berbohong), omong kosong, berdusta dan fitnah.

5) Aku bertekad untuk melatih diri menghindari segala makanan dan minuman yang mampu mengurangkan kewarasan, melemahkan pertimbangan, memabukkan dan melalaikan (termasuklah yang menyebabkan ketagihan seperti rokok atau arak).

Jika seseorang itu ingin lebih mendalami agama Buddhisme, maka dia perlu meningkatkan lagi disiplinnya kepada 8 dasar. Tiga dasar tambahan adalah:

6) Aku bertekad melatih diri menghindari makanan setelah tengah hari (berpuasa dari tengah hari ke subuh, dan hanya dibolehkan meminum air dan jus sahaja, dan bukan susu atau sup).

7) Aku bertekad melatih diri menghindari tarian, nyanyian, bermain muzik, hiburan, perhiasan bunga-bungaan untuk diri, wangian, dan mencantikkan diri dengan kosmetik.

8) Aku bertekad melatih diri menghindari daripada tidur atau berehat di tempat yang tinggi dan besar atau mewah.

Adakah mana-mana 8 dasar agama Buddhisme ini bercanggah dengan agama Islam? Dasar-dasar ini bertujuan untuk mengalih perhatian kita ke arah kesucian hati. Yang perlu dikerjakan itu di dalam hati.

Jika kita lihat dasar yang ke-8 ini, ia sudah hilang ertinya dalam konteks zaman moden ini. Di zaman Gautama Buddha, 2558 tahun dahulu, hanya orang kaya yang menggunakan tempat duduk dan tempat tidur yang tinggi.

Maka jika kita ingin menafsirkannya dalam konteks zaman kini, ia bermaksud kehidupan yang sederhana atau yang menyenangkan hati.

Jika seorang kaya hidup di abad ini mengikut ketat syarat ke-8, iaitu tidur dan duduk yang di tempat yang rendah tetapi masih menggunakan jet peribadi dan jam tangan Rolex, adakah itu betul mengikut semangat syarat ke-8 itu?

Begitu juga halnya dalam Islam. Di zaman Nabi Muhammad (S.A.W), keperluan 4 orang saksi untuk melaksanakan keadilan dalam perundangan. Jika kita mengikut ketat apa yang di tulis lebih dari 1437 tahun lalu, kita perlu fahami intipati ayat yang ditulis itu. Pandangan penulis ialah jika ada teknologi baru yang boleh digunakan untuk mengendalikan penghakiman yang tepat serta adil, kita mesti mengadaptasinya.

Misalnya dalam kes rogol, sekiranya teknologi “perbandingan DNA” adalah paling tepat, maka untuk melaksanakan keadilan penggunaan “perbandingan DNA” mesti diamalkan. Jika kita kata mesti ada 4 orang saksi kerana itulah yang tertulis, ini menunjukkan kedegilan/kekerasan hati ataupun kekurangan fahaman seseorang itu apabila menterjemahkan isi kandungan teks dengan keadaan moden.

Seorang wanita warga Australia yang berkerja di Arab Saudi dirogol oleh 3 orang lelaki rakan sekerja. Selepas insiden itu, wanita pergi membuat laporan polis. Oleh kerana tiada 4 orang saksi, wanita itu didakwa khalwat dan dihukum penjara beberapa bulan oleh mahkamah. Adakah itu keadilan? Mengapa pihak berkuasa Arab Saudi tidak menggunakan teknologi?

Adaptasi adalah perkara yang biasa kerana manusia saling menukar pandangan sejak turun temurun lagi. Sebagai contoh semasa mengerjakan haji di Mekah, pakaian kain putih yang dipakai seakan dengan pakaian orang India. Orang Arab tidak memakai kain putih yang mendedahkan bahu kanan begitu. Penganut agama Buddhisme semasa bermeditasi di kuil juga memakai kain putih yang seakan dengan pakaian orang Islam yang mengerjakan haji di Mekah.

Masalah seperti troli halal, dobi mesra Islam sahaja, orang Islam tidak boleh gunting rambut dari orang bukan Islam timbul di masa kini adalah kerana pengikut agama tidak tahu atau faham bahawa semua agama memerlukan kita mengalih perhatian kita ke dalam hati sendiri.

Maka menyempurnakan keadaan di luar dari hati adalah masalah terbesar penganut agama di dunia. Ini akan menimbulkan masalah pandangan di mana “orang lain yang bermasalah, bukannya kita”.

292 views