Rata-rata anak muda di Malaysia telah dibebani hutang yang banyak termasuk mereka yang baru tamat pengajian di IPTA atau IPTS ekoran daripada pinjaman pendidikan yang mereka mohon ketika belajar, disusuli pula kad kredit dan kereta selepas bekerja. Malah ada yang membuat pinjaman peribadi atas pelbagai sebab tetapi tidak mampu untuk membayarnya.
1. Perkara ini amat membimbangkan kerana terdapat di antara mereka ini yang diisytiharkan muflis dalam usia yang terlalu muda di mana ia memberi kesan buruk bukan sahaja pada diri mereka sendiri tetapi ekonomi negara.
Semua rakyat Malaysia perlu sedar tentang perkara ini. Pengurusan kewangan seharusnya dilakukan dengan bijak untuk mengelakkan diri menjadi sebahagian daripada statistik tersebut.
2. Namun banyak juga faktor lain yang menyebabkan rakyat semakin tersepit dengan bebanan hutang yang tinggi seperti minimum gaji yang rendah di samping kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sebagai contoh, rata-rata graduan berkelulusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang ditawarkan pekerjaan di sektor swasta terutama perkilangan masih mendapat gaji permulaan sekitar RM1,600 dan RM2,200 sebulan sama seperti dua dekad lalu yang mana ketika itu kos sara hidup tidak seperti hari ini.
Bayangkan dengan gaji sebanyak itu mereka terpaksa menanggung kos sara hidup yang meningkat berkali ganda dan bebanan hutang lain yang perlu ditanggung.
3. Selain itu, jumlah graduan yang keluar dari IPTA dan IPTS terlalu ramai setiap tahun, sedangkan pasaran pekerjaan begitu terhad.
Ini menyebaban kadar pengangguran meningkat dan mereka telah terperangkap dengan hutang terutama pinjaman pelajaran sebelum mendapat pekerjaan lagi.
4. Saya ingin mengesa pihak berkuasa mengkaji kebolehpasaran siswazah dalam usaha menyelesaikan masalah gagal membayar pinjaman pelajaran ini. Apa yang kita boleh lihat situasi ketika ini, banyak pekerjaan diberikan kepada warga asing.
5. Saya juga berharap agar segera membebaskan pelajar daripada hutang pendidikan khususnya kerana masa depan mereka masih lagi jauh dan mereka tidak boleh dibiarkan menjalani kehidupan dengan bebanan hutang yang banyak.