Berakhirnya sudah liga bola keranjang Malaysia Pro League (MPL) yang menyaksikan Farmco Touch Up berdepan saingan hebat oleh KL Dragons dalam perlawanan akhir.

Farmco dinobatkan juara selepas mengalahkan Dragons sebanyak lima mata, 83-78 malam tadi.

Kemenangan liga ini lebih bermakna lagi untuk pemain veteran negara, Ooi Ban Sin yang merangkul kejuaraan untuk Farmco pada hari jadinya.

Ketika ditemui wartawan, Ban Sin menyatakan ini adalah kali kedua beliau memenangi kejuaraan liga pada hari jadinya. Kali pertama beliau mengangkat trofi kejuaraan yang jatuh pada hari lahirnya adalah ketika liga bola keranjang kebangsaan 2006.

“Saya sudah berusia 34 tahun dan masih memikirkan pelan pada masa hadapan. Mungkin inilah kali terakhir untuk saya dan sudah mencukupi untuk mengakhiri karier dengan kemenangan ini. Terlalu banyak kecederaan yang saya alami.

“Mungkin saya akan memberi fokus dalam pembangunan sukan sebagai seorang jurulatih. Ramai pemain muda dalam liga ini mempunyai potensi yang baik jika diasah dengan baik,” kata Ban Sin.

Aksi kejar-mengejar di antara dua pasukan dalam perlawanan akhir ini menggamit suasana stadium dan Dragons memberikan permulaan yang baik khususnya melalui jaringan tiga mata.

Pada pertengahan suku pertama, Dragons yang mendahului Farmco 10-12 dengan kesemua empat jaringan tiga mata dari John Ng, Addy Tung, Daniel Eves dan Kyle Toth. Farmco sukar mendapat mata dari perimeter dalam dan Dragons masih menggunakan strategi yang sama pada perlawanan pertama lalu untuk menghadkan jaringan Samuel Deguara.

Dragons terus mendominasi suku pertama dan mengakhirinya dengan kelebihan tiga mata, 15-18 dan disudahi dengan Ooi Ban Sin mendapat satu daripada dua jaringan penalti sejurus tamat suku itu.

Farmco yang kelihatan tidak berpuas hati pada suku awal, terus menyerang Dragons bertubi-tubi pada awal tiga minit suku kedua. Jaringan Deguara dan Chris Kuete meletakkan Farmco kembali di hadapan dengan lima mata, 23-18, tanpa memberikan Dragons sebarang peluang menjaringkan bola.

Dragons terus kecundang tanpa sebarang jaringan dan Farmco mengambil peluang menjaringkan 20 mata berbanding 3 mata dari Dragons pada empat minit terakhir sebelum separuh masa pertama.

Mohd Shadzwan akhirnya memecahkan ‘sumpah’ dengan membuat satu jaringan jump shot, disusuli dengan satu lagi layup oleh Wan Chee Yuen. Namun, Farmco masih selesa mendahului Dragons sebanyak 11 mata pada dua minit terakhir, 39-28.

Harapan Dragons kembali menyerlah sebelum tamat suku kedua dengan dua jaringan tiga mata berturut-turut oleh Phan Wee Chen yang mengurangkat defisit dari 11 mata hingga 5 mata. Farmco masih mendahului Dragons dengan 39-34.

Dalam suku ketiga, Dragons cuba mendapatkan status quo dalam tangan mereka dan akhirnya berjaya mengikat mata pada 57-57 selepas dua jaringan penalti oleh Addy Tun pada dua minit terakhir.

Jaringan tiga mata oleh Guga mengembalikan Farmco di hadapan lagi dengan 60-59 pada akhir suku ketiga.

Farmco menguasai pertengahan awal suku keempat dengan menjaringkan 8 mata berterusan, hasil jaringan tiga mata Ban Sin dan juga dunk daripada Deguara. Pada lima minit akhir perlawanan, Farmco sudah mendahului sebanyak 9 mata, 75-66.

Suku keempat masih sengit di antara dua pasukan final dan pemain veteran Dragons John Ng direhatkan pada dua minit terakhir selepas mendapat lima foul

Farmco masih mendahului sebanyak enam mata, 77-71. Sejurus selepas jump shot oleh Kuete, pemain Dragons Daniel Eves cepat membalas balik dengan jaringan tiga mata, 79-74 pada minit terakhir.

Pergerakan lincah Foong Ming Joe yang berjaya mendapatkan and-one memberikan harapan kembali untuk Dragons, 79-76.

Walaupun Ming Joe mendapatkan rebound kembali, hantaran kepada Wee Chen untuk jaringan tiga mata tidak menjadi pada 30 saat akhir. Ban Sin menjarakkan mata untuk Farmco sebanyak empat mata selepas mendapatkan satu daripada dua jaringan penalti, 80-76.

Perbezaan empat mata bukannya besar terutamanya untuk 30 saat apabila Dragons berpeluang mendapatkan dua peluang posesi untuk jaringan. Nasib tidak menyebelahi Dragons dan dalam percubaan menggunakan kesemua time out, mereka tidak kesampaian untuk menangani Farmco.

Berikut adalah kedudukan keseluruhan pada penghujung MPL:

  1. Farmco Touch Up
  2. KL Dragons Basketball Academy
  3. Verve Club
  4. PRG Eagles
  5. Penang Stallions
  6. Kings Pinas Asia
12,193 views