Apabila menyebut tentang kanak-kanak autisme, perkara pertama yang terbayang di benak pastilah kesukaran mereka menyesuaikan diri dengan norma hidup seharian. Percaya atau tidak, terdapat tokoh autisme yang berjaya dalam kerjaya mereka, menepikan segala rintangan dan cabaran yang mereka hadapi daripada zaman kanak-kanak hingga dewasa. Proses pembelajaran dan pengajaran untuk kanak-kanak autisme sememangnya sangat mencabar, tetapi tidak mustahil pendidikan mampu mengubah, bahkan melahirkan genius dalam kalangan kanak-kanak autisme.

Si kanak-kanak autisme yang genius

Dr Temple Grandin daripada Boston, Massachusetts merupakan seorang tokoh ternama dalam bidang penternakan haiwan di Amerika Syarikat. Beliau yang menghidap autisme, mempunyai kesulitan bercakap dan tidak gemar disentuh ketika kecil. Walaupun disarankan doktor agar dimasukkan ke dalam institusi jagaan, ibunya nekad membesarkan Grandin agar mendapat pendidikan seperti orang lain.

Dengan sokongan daripada ibunya dan bimbingan mentor di sekolah, beliau menamatkan pendidikan dengan jayanya dan mencipta kerjaya sebagai seorang pakar haiwan dan rujukan keibubapaan untuk kanak-kanak autistik. Sewaktu menghadiri kolej, disebabkan tekanan yang dialaminya sendiri, beliau mencipta ‘mesin peluk’ yang membantu menenangkan individu dengan autisme yang terlebih sensitif kepada ransangan deria. Uniknya, idea tersebut datang apabila beliau melihat bagaimana lembu menjadi lebih tenang apabila dimasukkan ke dalam kandang pemeriksaan.

Pengenalan beliau dengan haiwan ternakan bermula dengan cuti musim panas yang dihabiskannya di ladang penternakan kepunyaan ibu saudaranya. Di kawasan peternakan itu, beliau mula berkembang minat pada lembu. Daripada pemerhatiannya, beliau mendapati bahawa cara beliau ‘befikir secara visual’ sama seperti haiwan ternakan tersebut.

Bagaimana kanak-kanak autisme melihat dunia

Menurut beliau, sebagai seorang autistik, beliau melihat dunia seperti kebanyakan haiwan: tempat menakutkan tanpa dapat membaca emosi orang lain dan fikiran hanya dalam bentuk visual dan bukannya kata-kata. Persamaan antara cara beliau dan haiwan mencerap persekitaran membantu beliau memahami keadaan haiwan. Menurut beliau lagi, beliau tidak berfikir dalam bentuk perkataan dan bahasa, tetapi dalam bentuk deria ransangan. Segala sentuhan, bau, visual menjadi memori yang dikategorikan. Demikian juga pemerhatian beliau kepada haiwan. Sebagai contohnya beliau mendapati sewaktu lembu diberikan vaksin, ada sesetengahnya meronta manakala ada yang tenang. Setelah diselidik, beliau mendapati lembu yang panik menjadi takut disebabkan melihat bayang-bayang.

Tambah beliau lagi, haiwan mempunyai emosi. Tetapi rasa takut cenderung menjadi salah satu emosi paling utama. Beliau juga percaya bahawa haiwan juga mempunyai bakat tertentu. Seperti burung yang berhijrah dengan hanya mengingati laluannya kerana memori berdasarkan deria. Segala apa yang dilihat dan dihidu sepanjang perjalanan membentuk memori yang diingati mereka.

Inovasi penternakan haiwan yang beretika

Pemerhatian dan kajian telilti yang dilakukan beliau akhirnya membolehkannya membuat penambahbaikan dalam industri ternakan, dan pada tahun 1975 selepas mendapat ijazah sarjana, beliau menubuhkan syarikat Grandin Livestock Handling Systems. Sepanjang kariernya, Grandin memulakan perubahan besar dalam industri ternakan seperti merancang pelbagai inovasi pada pusat ternakan yang membantu mengurangkan tekanan pada haiwan sebelum disembelih.

Disebabkan jasa beliau, industri penternakan haiwan di Amerika Syarikat tidak lagi sekadar melibatkan cowboy yang melayan haiwan dengan kasar tanpa memahami dan bersimpati dengan keadaan haiwan tersebut. Kisah hidup beliau juga menjadi inspirasi kepada filem Temple Grandin. Beliau membuktikan bahawa perbezaan bukan bermakna kekurangan.

 

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: Helma Hassan

The following two tabs change content below.

Hello Doktor

Latest posts by Hello Doktor (see all)

Facebook Comments

3,357 views