Penyusuan susu ibu diketahui dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan dan kematian dalam kalangan bayi. Mengikut kajian, bayi yang diberikan susu ibu sejak lahir kurang menghidap penyakit pada tahun pertama hayat mereka. Malah, bayi yang menyusu badan juga kurang berisiko mendapat penyakit seperti cirit-birit, pneumonia, bronchitis, sembelit, jangkitan saluran kencing, ekzema dan masalah malnutrisi.

Malnutrisi atau kekurangan zat makanan adalah masalah yang lazim dialami oleh kanak-kanak. Namun, kebanyakan ibu bapa kurang sedar akan bahaya malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan nutrisi dianggarkan berkait dengan 2.7 juta kematian kanak-kanak setahun atau 45 peratus daripada semua penyebab kematian kanak-kanak. Melihat kepada angka ini, tentunya ibu bapa perlu membuka mata dan mencari jalan bagi menangani masalah malnutrisi yang semakin pincang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimana penyusuan susu ibu boleh membendung malnutrisi kanak-kanak?

WHO dan Tabung Kanak-kanak Negara (UNICEF) menganggarkan lebih 800 ribu nyawa kanak-kanak di bawah usia lima tahun dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya penyusuan susu ibu diberikan secara optimal. Hal ini kerana, pemberian pemakanan yang optimal amat penting semasa dua tahun pertama hayat kanak-kanak bagi mengurangkan morbiditi dan kematian, mengurangkan risiko penyakit kronik, serta menggalakkan perkembangan dan tumbesaran yang sihat.

Konsultansi Pakar WHO telah mempertimbangkan bukti-bukti saintifik dan membuat kesimpulan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi bayi sejak lahir sehingga 6 bulan memberi pelbagai faedah kepada bayi dan ibu. Pertubuhan ini juga menyarankan supaya penyusuan pertama dijalankan dalam tempoh satu jam pertama selepas bayi dilahirkan. Pengenalan kepada makanan pejal bermula semasa usia bayi enam bulan namun, amat disarankan supaya ibu meneruskan pemberian susu badan kepada si manja sehingga usia bayi dua tahun.

Apa yang ada dalam susu ibu?

Bermula lahir sehingga usia bayi enam bulan, ibu perlu menyusukan bayi secara eksklusif kerana susu ibu sudah cukup lengkap dan menepati keperluan nutrisi bayi. Eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu badan sahaja dan tidak diberikan makanan atau minuman lain termasuk air. Penyusuan eksklusif ini memberi banyak manfaat kepada bayi dan ibu, termasuklah menyediakan perlindungan kepada jangkitan gastrousus.

Ibu baru bersalin disarankan untuk mula menyusukan bayi dalam tempoh satu jam selepas kelahiran bayi. Hal ini kerana, susu pertama yang keluar pada ibu adalah yang terbaik untuk si manja. Susu yang dikenali sebagai kolostrum ini telah mula dihasilkan pada hujung tempoh kehamilan dan merupakan makanan yang sempurna untuk bayi kerana mempunyai 400 jenis nutrien, hormon dan kuasa untuk melawan penyakit. Malah, susu semula jadi ini juga mempunyai pelbagai ramuan penting untuk kesihatan bayi yang tidak boleh diperolehi dari mana-mana susu formula yang terdapat di pasaran. Penyusuan awal ini dapat melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan dan mengurangkan risiko kematian bayi baru lahir. Risiko kematian ini boleh terjadi disebabkan cirit-birit dan jangkitan lain yang boleh berlaku kepada bayi yang tidak diberikan susu badan sepenuhnya ataupun yang tidak diberikan susu ibu langsung.

Susu ibu juga merupakan sumber penting tenaga dan nutrien bagi bayi yang berusia 6-23 bulan. Susu ibu menawarkan separuh atau lebih tenaga yang diperlukan oleh bayi berusia 6-12 bulan, dan satu pertiga keperluan tenaga untuk bayi 12-24 bulan. Susu ibu ini juga menjadi sumber kritikal tenaga dan nutrien semasa sakit, dan mengurangkan kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Justeru, pemberian susu ibu yang optimum merupakan pencegahan awal kepada masalah malnutrisi kanak-kanak, selain memberikan kesan positif sepanjang hayat terhadap kanak-kanak dan ibu.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: 

995 views