Pencemaran udara mengakibatkan pelbagai penyakit utama dan dan kes kematian global. Terbaru, terdapat satu kajian yang mendedahkan 3.2 juta kes baru diabetes jenis 2 pada tahun 2016 adalah disebabkan pencemaran udara.

Bahan zarah kecil (PM 2.5) diketahui dapat meningkatkan risiko penyakit jantung, penyakit paru-paru, penyakit buah pinggang dan penyakit tidak berjangkit (NCDs) lain. Para pengkaji kini menyatakan terdapat bukti kukuh mengenai kaitan di antara pencemaran udara dan penyakit diabetes jenis 2.

Walaupun terdapat kajian terdahulu mengenai kaitan di antara penyakit tersebut dan pencemaran udara, kajian terbaru daripada Amerika Syarikat tersebut menjadi kajian rintis pertama yang bersifat kuantitatif dengan memberi dapatan bahawa dengan menyedut udara yang tercemar dapat meningkatkan risiko 1 daripada 7 atau 14 peratus kes diabetes jenis 2 pada tahun 2016.

Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Lancet Planetary Health, mendapati terdapat peningkatan risiko terhadap diabetes walaupun pada kadar pencemaran udara yang selamat sepertimana yang diaudit oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). “Kajian kami mendapati terdapat kaitan signifikan di antara pencemaran udara dan diabetes di peringkat global,” memetik kata-kata Ziyad Al-Aly, salah seorang ahli kajian tersebut dan penolong professor dalam bidang perubatan di Washington University.

“Kami mendapati terdapat peningkatan risiko, walaupun pada tahap pencemaran udara yang terkawal berdasarkan standard Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA) dan WHO. Ini sangat mustahak kerana terdapat kumpulan pelobi industri yang menyatakan tahap pencemaran sedia ada sekarang terlalu ketat dan penanda aras harus diturun sedikit. Manakala bukti yang kami dapati pula menyatakan sebaliknya, penanda aras tahap pencemaran udara sekarang tidak mencukupi dan perlu diketatkan lagi.”

Penyakit yang semakin berkembang

Diabetes merupakan penyakit yang berkembang pesat — terdapat lebih kurang 422 juta orang telah didiagnosis dengan penyakit diabetes pada tahun 2014. Peningkatan ini sangat ketara berbanding 108 juta orang pada tahun 1980, menyaksikan negara-negara pendapatan rendah dan pertengahan mengalami peningkatan yang dramatik.

Penyakit diabetes jenis 2 adalah sering dihidapi, yang berlaku apabila badan gagal menghasilkan insulin secukupnya untuk memastikan tahap glukosa dalam darah berada pada tahap normal, atau kemungkinan besar insulin tidak berfungsi sebaiknya.

Obesiti, diet yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal merupakan faktor risiko utama terhadap diabetes jenis 2. Pencemaran udara dianggap mencetuskan keradangan dan mengurangkan pengeluaran insulin.

Untuk kajian tersebut, pengkaji daripada Washington University School of Medicine dan Veterans Affairs St. Louis Healthcare System di Missouri membuat analisis terhadap kesan pencemaran udara ke atas 1.7 juta veteran tentera Amerika yang tidak mempunyai sejarah diabetes dengan memantau keadaan kesihatan mereka secara purata untuk 8 tahun dan 6 bulan.

Mereka membangunkan model untuk menilai risiko diabetes dan data yang digunakan dari kajian Beban Penyakit Global untuk membantu menganggarkan kes diabetes tahunan dan kerugian tahun-tahun kehidupan sihat akibat pencemaran udara.

Pengkaji menganggarkan bahawa pencemaran udara secara global menyumbang kepada 3.2 juta kes baru diabetes dan kehilangan 8.2 juta tahun hidup yang sihat akibat pencemaran pada tahun 2016.

Secara keseluruhan, kajian tersebut turut mendapati negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana pencemaran udara adalah satu masalah yang menekan — mempunyai risiko diabetes akibat pencemaran udara lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat dan negara-negara kaya lain.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Oleh: Shahrul Izwan Naser

1,375 views