Strok merupakan salah satu punca kematian utama di Malaysia dan juga di peringkat global. Gaya hidup moden yang kurang aktif serta pemakanan yang tinggi lemak adalah antara penyebab kepada bilangan kes yang tinggi.
Keadaan kesihatan ini perlu dicegah sebelum serangan berlaku. Hal ini demikian kerana apabila serangan telah berlaku, proses pemulihan memakan masa yang lama dan sesetengah pesakit mungkin tidak akan pulih seperti normal.

Terdapat beberapa keadaan kesihatan yang mungkin kelihatan seperti strok tetapi sebenarnya tidak.

1. Sawan

Sawan berlaku apabila aktiviti elektrik dalam otak terganggu. Jadi, pelbagai jenis simptom boleh berlaku. Antara simptom-simptom tersebut, sebahagiannya kelihatan seperti strok. Hal ini termasuk kebas, rasa semut-semut serta lemah pada lengan dan kaki.

Selepas serangan sawan, anda boleh mengalami Tood’s paralysis di mana sebahagian atau keseluruhan badan menjadi lemah.

2. Migrain

Meskipun rasa sakit kepala daripada serangan migrain itu sendiri sudah cukup membuatkan anda ke hospital, ia bukan sekadar itu sahaja. Migrain juga mungkin berlaku bersama-sama gangguan penglihatan, serta rasa semut-semut dan kebas pada lengan dan kaki. Percakapan juga mungkin terganggu.

3. Kadar gula darah rendah atau tinggi

Gangguan pada kadar gula boleh memberikan keadaan seperti strok. Kewarasan boleh terganggu. Badan juga akan berada dalam keadaan tidak stabil dan menghadapi kesukaran untuk bergerak. Mata pula menjadi kabur dan badan menjadi lemah.

4. Bell’s palsy

Keadaan ini berlaku disebabkan kecederaan pada urat saraf yang mengawal otot muka. Kesannya, sebahagian daripada muka akan menjadi lumpuh, mata tertutup, mulut senget dan percakapan terjejas. Biasanya, ia akan kembali normal selepas beberapa minggu. Kadangkala, rawatan tertentu mungkin diperlukan seperti steroid dan terapi otot muka.

5. Multiple sclerosis

Ia adalah sejenis penyakit autoimun di mana sistem ketahanan badan menyerang sel-sel urat saraf (neuron) dalam otak dan urat saraf tunjang. Simptom yang mungkin berlaku adalah pelbagai termasuk kebas, rasa semut-semut, lumpuh kaki dan lengan serta gangguan penglihatan. Ia mungkin kelihatan seperti strok.

Apa pun mungkin keadaannya, sila dapatkan bantuan perubatan dengan segera di pusat kesihatan berdekatan anda.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: 

4,142 views