Apakah SSPN-i Plus?

SSPN-i Plus adalah satu skim atau pelan simpanan yang diwujudkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menggalakkan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak anda. Dengan kata lain, penabungan yang anda buat sekarang akan menyokong pendidikan tinggi anak anda pada masa hadapan. SSPN-i Plus ditambahbaik daripada SSPN-i yang sedia ada dengan menggabungkan penabungan pendidikan dengan perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.

Konsep SSPN-i Plus

SSPN-i Plus mengamalkan konsep simpanan secara komitmen bulanan dan jumlah simpanan adalah bergantung kepada pakej yang dipilih. Ia merupakan satu pelan simpanan yang patuh syariah dengan enam pakej untuk memenuhi keperluan anda. Satu berita yang menggembirakan ialah pakej Intan yang diperkenalkan pada 6 Mei 2016 kini boleh dinikmati dengan hanya RM1 sehari atau RM30 sebulan.

Pakej simpanan

Pada keseluruhannya, SSPN-i Plus menawarkan enam pakej yang berbeza sebagai pilihan kepada pelanggan mengikut kemampuan. Pakej tersebut adalah Intan, Delima, Topas, Zamrud, Nilam and Berlian.

Keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan

Melalui SSPN-i Plus yang dijamin oleh kerajaan ini, anda berpeluang menikmati pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa sehingga RM12,000 setahun.

Siapa yang layak menikmati pelepasan taksiran cukai?

Pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas SSPN-i Plus boleh dinikmati oleh pendeposit (ibu bapa atau ibu bapa angkat atau penjaga yang sah dari segi undang-undang) yang menyimpan dalam akaun SSPN-i Plus untuk penabungan pendidikan tinggi anak mereka. Pengiraannya adalah tertakluk kepada simpanan bersih (simpanan tolak pengeluaran) tahun semasa dengan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM12,000 setahun, iaitu RM6,000 ke atas jumlah simpanan bersih bagi akaun SSPN-i dan tambahan sebanyak RM6,000 lagi bagi sumbangan takaful di bawah kategori pelepasan bagi insurans nyawa dan KWSP. Bagi ibu bapa (suami isteri) yang mempunyai akaun SSPN-i Plus dan memfailkan taksiran cukai secara berasingan, mereka layak menikmati pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 setiap seorang. Tarikh akhir untuk menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan ini adalah 31 Disember 2016. Sila rujuk kepada Seksyen D (Pelepasan) pada Borang LHDN semasa anda memfail cukai pendapatan anda untuk menikmati keistimewaan ini.

Contoh pengiraan simpanan bersih:

Sekiranya anda mempunyai baki simpanan sebanyak RM4,500 pada tahun lalu dan menyimpan RM3,000 dan mengeluarkan RM1,000 tahun ini, simpanan bersih tahun semasa anda adalah RM2,000. Dan simpanan bersih ini akan digunakan untuk pengiraan pelepasan taksiran cukai pendapatan.

  • Baki simpanan tahun lalu = RM4,500
  • Simpanan tahun ini = RM3,000
  • Pengeluaran tahun ini = RM1,000
  • Simpanan bersih tahun semasa = RM3,000 (simpanan) – RM1,000 (pengeluaran) = RM2,000 (simpanan bersih)

Dividen juga dikecualikan cukai!

Satu lagi kelebihan SSPN-i Plus ialah kadar dividen yang kompetitif dan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Siapa yang layak membuka akaun SSPN-i Plus?

Pendeposit SSPN-i Plus mesti merupakan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sehingga mencapai 64 tahun. Penerima manfaat mestilah juga warganegara Malaysia yang berumur 1 hari sehingga mencapai 29 tahun. Penerima manfaat boleh terdiri daripada diri sendiri/ anak/ anak jagaan yang sah. Bagi individu belum berkahwin, anda juga layak membuka akaun diri sendiri dengan syarat umur anda berada dalam kategori 18 – 64 tahun tetapi anda tidak layak menikmati pengecualian taksiran cukai dalam situasi ini. Setiap pendeposit hanya boleh membuka satu akaun SSPN-i Plus untuk setiap penerima manfaat. Walau bagaimanapun, pendeposit yang berbeza boleh membuka akaun SSPN-i Plus bagi penerima manfaat yang sama.

Untuk pertanyaan lanjut:

Sila layari portal rasmi PTPTN

atau hubungi Careline PTPTN di talian

03 – 2193 3000

untuk maklumat lanjut.

8,575 views