Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (National Community Basketball League – NCBL) yang dianjurkan oleh MVP Marketing bakal bermula pada 6 Januari 2018 hingga 13 Mei 2018.

Liga yang lebih popular dengan nama NCBL akan dipertandingkan di Stadium Bola Keranjang SJKC Kwong Hon, Sungai Besi untuk peringkat awal liga dan semua perlawanan akhir setiap bahagian akan diadakan di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Penaja utama NCBL 2018 ialah Pusat Pakaian Hari Hari, salah satu peneraju utama dalam indusri pakaian di Malaysia. Pusat Pakaian Hari Hari telah memberikan penajaan tunai sebanyak RM25.000 untuk liga ini berserta T-shirt rasmi untuk semua pegawai dan petugas NCBL 2018.

Penaja bersama termasuklah Molten, Supersport, Gatorade, Kelab Bola Keranjang MVP dan Barbero Barbershop.

Penyertaan untuk NCBL 2018 ialah sebanyak 100 pasukan. Ia dibahagikan kepada 5 divisyen iaitu divisyen 1 hingga 4 adalah bagi ketegori lelaki dan satu divisyen untuk wanita yang dinamakan WNCBL.

Penaung NCBL, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam kenyataannya merakamkan rasa gembira dengan peningkatan penyertaan pasukan bagi NCBL 2018.

Di samping menggalakkan lebih ramai kaum bukan Cina bergiat dalam sukan bola keranjang, beliau mengharapkan NCBL akan menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan sukan bola keranjang di Malaysia dan akan menjadi pentas perlawanan untuk pemain memperbaiki corak permainan untuk mereka bermain di peringkat lebih tinggi.

Dalam sidang media tersebut, Khairul Anuar Jailani selaku Pengarah NCBL berkata bahawa segala matlamat NCBL untuk melahirkan lebih banyak pasukan serta lebih ramai pemain-pemain bukan Cina bergiat dalam sukan ini akan tercapai dan dapat melahirkan pemain-pemain berkualiti.

Pasukan yang bakal menjuarai liga ini akan menerima hadiah seperti berikut;

Juara bagi divisyen 1 akan menerima hadiah wang tunai sebanyak Rm5,000; tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM1,000.00.

Untuk Divisyen 2, 3, 4 dan WNCBL ialah RM1,500 untuk juara, RM1,000.00 untuk tempat kedua dan RM500.00 untuk tempat ketiga. Hadiah untuk kecemerlangan individu juga disediakan untuk kategori Pemain Terbaik, Pertahanan Terbaik dan Penjaring Terbanyak. Kesemua pemenang juga akan menerima barang-barang penaja, piala dan pingat.

13,622 views