Pendidikan peringkat tinggi mahal kosnya. Ini kerana ia adalah satu bentuk pelaburan pada masa kini demi masa hadapan yang lebih cerah. 

Bermula 1997, melanjutkan pengajian di pendidikan tinggi menjadi lebih mudah dengan kewujudan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566). 

PTPTN membantu pelajar membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Ia sekali gus membantu meluaskan akses pengajian di peringkat pendidikan tinggi kepada semua golongan pelajar. 

Selepas tamat pengajian, ramai individu merasakan pembayaran balik pinjaman pendidikan sebagai satu tanggungjawab yang mencabar. 

Bermula dari 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2019, pihak majikan berpeluang membantu kakitangan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab ini sekali gus menikmati beberapa manfaat langsung sebagai sebuah entiti perniagaan.

Insentif pelepasan cukai

Menerusi Bajet 2019, majikan yang membantu kakitangan mereka untuk membayar hutang PTPTN layak menikmati pelepasan cukai. Majikan yang layak menikmati insentif ini adalah pembayar cukai yang mempunyai perniagaan berdaftar, termasuklah perniagaan tunggal, yang menjalankan perniagaan dan membayar cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Untuk layak mendapat pelepasan ini, majikan berkenaan perlu memenuhi tiga syarat iaitu membuat bayaran hutang PTPTN bagi pihak kakitangan, kakitangan berkenaan adalah kakitangan bertaraf sepenuh masa, dan kakitangan berkenaan tidak dikenakan sebarang bayaran sebagai balasan kepada pembayaran hutang PTPTN yang dijelaskan pihak majikan.

Lebih menarik lagi, tiada amaun minimum atau maksimum ditetapkan untuk layak menikmati insentif ini. Majikan layak menikmati pelepasan cukai ke atas sebarang jumlah bayaran balik yang dijelaskan sama ada bayaran ansuran setiap bulan atau penyelesaian penuh dalam tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019.

Nikmati insentif yang sama

Menerusi insentif ini juga, majikan akan mendapat pelepasan cukai sama seperti jumlah bayaran balik yang telah dibuat.

Sekiranya majikan membuat pembayaran balik PTPTN sebanyak RM50,000 untuk kakitangan mereka, maka majikan juga layak menerima nilai pelepasan cukai yang sama. Ini akan menguntungkan majikan dan juga kakitangannya.

Ia juga satu bentuk pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat oleh majikan dan juga syarikat kerana sebelum ini kerajaaan melalui PTPTN memberi bantuan pinjaman kepada pelajar untuk menghasilkan modal insan terbaik bagi menyediakan mereka untuk pasaran pekerjaan.

Mekanisme

Majikan boleh membuat bayaran balik bagi pihak kakitangan melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my (Portal Majikan Online) bermula 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019. 

Majikan kemudian boleh mencetak resit sebaik sahaja bayaran selesai dibuat melalui Portal PTPTN. Di samping itu, PTPTN juga akan mengeluarkan penyata bayaran hutang PTPTN pada awal 2020. 

Namun, terdapat beberapa kategori majikan tidak layak menikmati insentif ini. Mereka adalah peminjam PTPTN yang menjalankan perniagaan sendiri dan merupakan majikan kepada perniagaan tersebut. 

Di samping itu, insentif ini hanya diberikan kepada majikan yang membantu kakitangan membuat bayaran balik hutang PTPTN. Majikan yang membayar kakitangan yang merupakan pasangan, anak, cucu dan adik-beradik sendiri juga tidak layak menikmati insentif ini.

Bagi pihak kakitangan, mereka boleh membuat aduan kepada PTPTN sekiranya majikan mengarahkan mereka untuk membuat bayaran terhadap bayaran balik yang telah dibuat.

Laporan tersebut akan dipanjangkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk siasatan dan majikan yang didapati membuat tuntutan palsu untuk mendapat potongan cukai adalah melakukan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Rebut peluang

PTPTN menawarkan insentif buat julung-julung kalinya kepada majikan pada tahun ini. Justeru, setiap majikan perlu merebut peluang ini untuk membantu meningkatkan semangat dan motivasi kakitangan mereka.

Di Amerika Syarikat, pembayaran hutang pendidikan tinggi oleh majikan adalah salah satu di antara manfaat tempat kerja yang digunakan untuk menarik dan mengekalkan kakitangan daripada golongan millenial.

Kakitangan membuat pembayaran balik pinjaman pendidikan mereka seperti biasa sementara majikan akan turut sama membantu melunaskan hutang tersebut.

Kaedah ini didapati mempercepatkan lagi proses melangsaikan pinjaman. Ia juga lebih menarik di mata kakitangan dan bakal kakitangan berbanding tawaran gaji yang tinggi semata-mata.

 Di antara majikan yang menawarkan manfaat ini adalah firma perakaunan PriceWaterhouseCoopers, syarikat teknologi NVIDIA, dan firma undang-undang Orrick, Herrington & Sutcliffe.

Di Malaysia, ada sesetengah majikan memberikan bonus tahunan, insentif melancong, atau kenaikan gaji sebagai ganjaran kepada prestasi kakitangan yang memberangsangkan. Untuk tahun ini, mereka boleh melakukan sedikit kelainan dengan membantu membayar hutang PTPTN kakitangan mereka. Secara tidak langsung, ia membantu kakitangan mengurangkan beban hutang mereka, di samping majikan juga mendapat pelepasan cukai. 

Ia juga dapat meningkatkan imej majikan sekali gus menarik bakat-bakat yang lebih berpotensi untuk bekerja di organisasi mereka.

Majikan yang ingin memanfaatkan peluang ini untuk faedah kepada kakitangan dan perniagaan mereka boleh melayari portal rasmi PTPTN di Portal Majikan Online.

8,468 views