Tayangan Beauty and The Beast ditangguh

Tayangan Beauty and The Beast ditangguh

Tayangan Beauty and The Beast ditangguh

14 March 2017

Tarikh penayangan filem terbaru keluaran Disney, Beauty and The Beast, yang telah mencetuskan kontroversi di beberapa buah negara telah ditangguhkan tayangannya di pawagam-pawagam tempatan.

Filem berkenaan pada asalnya dijadual ditayangkan pada 16 Mac, tetapi ditangguhkan disebabkan oleh ‘semakan dalaman’, kata pengedar filem The Walt Disney Co (Malaysia) Sdn Bhd dalam satu kiriman e-mel.

“Tarikh tayang filem ditangguhkan dan kami sedang mengkaji tarikh tayangan baru,” kata seorang jurucakap Walt Disney Malaysia kepada Malaysiakini.

Tiada sebab lanjut diberikan berhubung perkara itu dan tiada tarikh baru tayangan dinyatakan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati jadual tayangan bagi filem itu dikeluarkan daripada aplikasi mudah alih oleh pawagam-pawagam utama.

Tidak jelas mengapa tarikh tayangan filem itu ditangguhkan tetapi dipercayai ia ada kaitan dengan watak gay dalam filem berkenaan.

Dibintangi Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens sebagai The Beast dan Luke Evans sebagai Gaston, Beauty And The Beast adalah penghasilan semula filem animasi klasik Disney, yang menjadi filem animasi pertama dicalonkan untuk filem Terbaik Oscar pada 1991.

Filem ini telah mencetuskan kontroversi selepas pengarahnya Bill Condon berkata bahawa Le Fou, yang dilakonkan oleh Josh Gad, membawakan watak gay dalam filem tersebut.

Akibatnya, Rusia mengenakan sekatan ke atas filem itu dan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dilarang daripada menontonnya.

Sebuah pawagam pandu lalu di Alabama, Amerika Syarikat, juga mengharamkan filem itu daripada ditayangkan kerana watak gay.

MP Rusia mahu Beauty and The Beast diharam

MP Rusia mahu Beauty and The Beast diharam

MP Rusia mahu Beauty and The Beast diharam

7 March 2017

Anggota parlimen Rusia mahu undang-undang dikaji semula terhadap versi terbaru keluaran Disney, Beauty and The Beast ekoran dakwaan filem berkenaan menyelitkan unsur-unsur seks sesama jenis.

Vitaly V. Milonov menegaskan pendiriannya selepas mengumpulkan beberapa laporan media dan aduan dibuat oleh ibu bapa walaupun belum pernah menyaksikan filem diarahkan Bill Condon itu.

Menurut jurucakap Ilya Yevstigneyev, Milonov dalam suratnya kepada Kementerian Kebudayaan Rusia berkata, terdapat sebuah “adegan seksual luar tabii” dipaparkan dalam filem kanak-kanak itu.

“Dalam kes ini, masyarakat tidak boleh hanya berdiam diri ke atas isi kandungan ditawarkan oleh pengedar sedangkan mereka ini berselindung di bawah kisah dongeng kanak-kanak. Ini adalah dengan jelas, terang-terangan, propaganda dosa dan hubungan seksual sumbang,” kata Malinov.

Milonov adalah individu bertanggungjawab sebagai penggerak yang mengharamkan pengedaran “propaganda homoseksual” terhadap kanak-kanak.

Beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil memandangkan jadual penayangan filem itu dikeluarkan pada musim cuti sekolah di Rusia.

“Tugas kita adalah untuk menghentikan filem muzikal ini daripada ditayangkan di pawagam atau menggunakan cara lain,” katanya.

Filem itu dibarisi oleh aktres Emma Watson yang memegang watak Belle, Dan Stevans (Beast), Luke Evans (Gaston) dan Le Fou dimainkan oleh Josh Gad – karakter homoseksual yang menyukai Gaston.

Bagaimanapun, Condon berbangga apabila dalam satu temubual bersama majalah Britain mendedahkan ini adalah versi pertama Disney yang berbuat demikian iaitu mengetengahkan karakter gay.

Minggu lalu, sebuah teater pandu-lalu di luar bandar Alabama juga enggan menayangkan filem berkenaan dengan menggunakan hujah yang sama.

Namun, setakat ini tiada maklum balas dikeluarkan oleh menteri kebudayaan Rusia mahupun Disney.