MPL: PRG Eagles raih kemenangan pertama yang besar

MPL: PRG Eagles raih kemenangan pertama yang besar

MPL: PRG Eagles raih kemenangan pertama yang besar

PRG Eagles kutip kemenangan pertama selepas mengalahkan Penang Stallions sebanyak 70 mata, 126-56.

Dalam aksi yang agak hambar minggu lalu apabila tumpas dalam tangan dua pasukan teratas, Farmco Touch Up dan KL Dragons BA, Eagles memberi nafas baru untuk perlawanan yang lebih baik minggu ini.

Patrick Sanders dari Eagles mendahului kutipan mata dengan 26 mata, 9 rebound dan 5 assist manakala Anthony McClain dan Heng Yee Tong pula mendapat 21 dan 14 mata masing-masing.

Walaupun Eagles dicabar pada awal suku pertama yang hanya mendahului Stallions dengan 3 mata (31-28), gandingan dua pemain import Eagles Anthony McClain dan Patrick Sanders menguasai keseluruhan suku kedua dan Stallions hanya setakat mendapat 12 mata.

PRG Eagles tamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 24 mata berbanding Penang Stallions, 64-40.

 

Patrick Sanders (Eagles) terus menggasak Stallions masuk ke suku ketiga dan membenamkan pasukan lawan dengan jaringan tiga mata bertubi-tubi.

Pada tiga minit terakhir dalam suku tersebut, Sanders telah mendapat 8 kali jaringan tiga mata daripada 11 percubaan. Eagles terus mengawal mudah gelanggang dengan mendahului Stallions sebanyak 45 mata, 91-46 sejurus selepas barisan pemain Eagles ditukarkan dengan pemain tempatan.

Lim Yang Jie (Stallions) terpaksa direhatkan selepas mendapat lima foul dan Heng Yee Tong (Eagles) menamatkan suku ketiga dengan kelebihan 51 mata, 100-49. Stallions hanya mendapat 9 mata jaringan berbanding Eagles yang menjaringkan 36 mata.

Stallions cuba perbaiki suku ketiga dan Eagles terus mendapatkan lebih banyak jaringan mendekati perbezaan mata sebanyak 60 mata dalam suku keempat. Kurangnya pengalaman dalam liga bola keranjang ini untuk Stallions ketara tetapi peluang beraksi dalam liga ini baik untuk pembangunan secara amnya.

Gambar dan artikel oleh Norman Goh

MPL: Addy lonjak kemenangan untuk Dragons

MPL: Addy lonjak kemenangan untuk Dragons

MPL: Addy lonjak kemenangan untuk Dragons

Dengan ketinggian hanya 165 sentimeter, itu bukannya satu alasan buat Addy Tung untuk melengkapkan tiga kemenangan untuk Dragons mengatasi PRG Eagles.

KL Dragons mengakhiri siri perlawanan Malaysia Pro League (MPL) minggu ini mengalahkan PRG Eagles 74-71 lantas menyapu bersih ketiga-tiga perlawanan. Dragons mengalahkan Farmco Touch Up dan Verve Club sebelum ini.

Eagles yang tampak agresif untuk cuba memperbaiki perlawanan yang kurang memuaskan sebelum ini terpaksa akur dengan Dragons yang menunjukkan aksi yang mantap dalam gelanggang.

Sungguhpun Dragons mendahului Eagles sejauh 10 mata pada akhir suku ketiga, bibit-bibit akhir sebelum tamat perlawanan menjadi sengit apabila Heng Yee Tong (Eagles) mengikat mata pada 68-68 melalui jaringan tiga mata pada dua minit terakhir.

Kawalan pertahanan yang utuh dan juga prestasi Addy Tung memberikan Dragons peluang yang cerah menamatkan perlawanan dengan kemenangan. Addy berjaya menjaringkan tiga mata dan juga dua jaringan penalti pada minit terakhir.

“Saya berasa sungguh gementar ketika cuba mendapatkan jaringan penalti selepas jaringan tiga mata. Tekanan itu tetap ada tetapi keseronokan memadamkan segala perasaan kurang yakin sepanjang minggu ini,” kata Addy

Eagles kuasai awal perlawanan

Eagles yang kecundang dalam perlawanan semalam dengan Farmco semalam cuba untuk mendapatkan kemenangan dalam siri perlawanan minggu ini. Dragons yang bermula agak lambat dalam penguasaan gelanggang didahului Eagles sebanyak 5 mata, 6-11 pada pertengahan suku.

Ramai pemain muda Dragons cuba mengikat mata sebelum wisel penamat suku pertama hanya ketinggalan satu mata di belakang Eagles, 13-14.

Sekembalinya dalam gelanggang, Eagles cuba mengembalikan pendahuluan awal dalam suku kedua dicabar dengan lima pemain utama Dragons yang terdiri daripada Daniel Eves, John Ng, Kyle Toth, Izran Edika dan Addy Tung.

Walaupun Dragons masih di belakang Eagles sebanyak enam mata 17-23, gandingan John Ng dan Daniel Eves yang membenamkan jaringan 3 mata mengikat mata 25-25 pada empat minit sebelum wisel separuh masa dibunyikan.

Eagles terus menyerang bertubi-tubi di perimeter dalam gandingan Ma Chee Kheun dan Chin Zhi Shin. Pemain muda Ong Wei Yong lengkapkan strategi serangan terhadap Dragons dengan jaringan 3 mata pada dua minit akhir, 31-33. Minit akhir sebelum wisel penamat, pemain tengah Eagles Anthony McClain gagal sempurnakan tugas beliau dan hanya mendapat dua mata dalam suku ini. Dragons mengambil kesempatan ini menggunakan serangan luar terutamanya dari John Ng.

Addy cuba mendapatkan jaringan posesi akhir sebelum suku kedua terakhir tersilap langkah dan turnover bola pantas dikembalikan dalam tangan Eagles oleh Ma Chee Kheun. Ma cuba menjaringkan layup pada 6 saat akhir gagal dan mendapatkan rebound untuk Heng Yee Tong menamatkan suku kedua dengan jaringan tiga mata buzzer. Eagles masih menguasai separuh masa pertama dengan kelebihan 4 mata, 32-36.

Dragons menyahut balik dengan serangan agresif

Dragons memulakan suku ketiga dengan lebih agresif, terutamanya dari pemain tempatan muda Phan Wee Chen dengan jaringan sebanyak 6 mata.

Hampir keseluruhan suku ketiga didominasi oleh pemain tempatan Dragons yang menunjukkan aksi yang mantap dan mengelirukan pertahanan lawan.

Dragons mengorak langkah awal dan mendahului Eagles sebanyak 10 mata, 60-50 pada dua minit terakhir suku ketiga. Eagles pula ketinggalan sebanyak 7 mata dalam suku ketiga, 60-53.

Pada permulaan suku terakhir, Dragons tidak mampu mengekang serangan Eagles dan hanya mendapat satu mata pada empat minit pertama berbanding Eagles yang mendapat 4. Jurulatih Dragons Chris Thomas lantas menukar kelima-lima pemain dalam gelanggang kepada lima pemain tempatan: Phan Wee Chen, Wan Chee Yuen, Mohd Shadzwan, Syahrul Ridzuan dan Foong Ming Joe. Phan bergerak tangkas dan menjaringkan 3 mata sejurus masuk dalam gelanggang.

Dalam empat minit terakhir perlawanan, Eagles masih ketinggalan empat mata di belakang Dragons, 66-62. Kedua-dua pasukan masih cuba menguasai gelanggang hingga saat terakhir. Wan Chee Yuen terpaksa ‘direhatkan pada tiga minit terakhir kerana masalah foul.

Heng Yee Tong (Eagles) mengikat mata lagi dengan jaringan tiga mata pada dua minit terakhir, 68-68. Dragons kelihatan agak gelisah dengan masalah foul dalam minit terakhir ketika kedua-dua pasukan masih sengit selepas jaringan free throw 69-68.

McClain kembalikan pendahuluan untuk Eagles pada 39.6 saat dengan jaringan layup, 69-70.

Hala tuju perlawanan berubah sejurus selepas time out oleh Dragons melihat Addy Tung mendapat jaringan tiga mata hasil daripada assist oleh Kyle Toth dalam masa empat saat, 72-71.

Dragons kembali mendahului sebanyak satu mata dalam 28 saat akhir di hadapan Eagles manakala Ong Wei Yong juga mendapat lima foul dan dikeluarkan dari gelanggang pada 9 saat akhir.

Addy Tung menjarakkan lagi kutipan mata untuk Dragons selepas melengkapkan dua jaringan penalti, 74-71 dan Yee Tong cuba memanjangkan perlawanan ke masa tambahan pada 8 saat akhir melalui jaringan tiga mata tidak kesampaian apabila ditempias oleh Izran Edika.

Statistik perlawanan:

KL Dragons BA

  • Daniel Eves (18 mata, 10 rebounds)
  • John Ng (13 mata, 2 rebounds, 2 assist)
  • Addy Tung (9 mata, 4 rebounds, 4 assists, 3 steals)

PRG Eagles

  • Anthony McClain (15 mata, 13 rebounds, 5 steals)
  • Yiek Chai Teck (14 mata, 4 rebounds)
  • Heng Yee Tong (12 mata, 3 assists)

 

Berikut adalah keputusan perlawanan Malaysia Pro League:

13 Oktober 2017 (Jumaat)

  • KL Dragons vs Farmco Touch Up (81-67)
  • Penang Stallions vs Verve Club (75-99)

14 Oktober 2017 (Sabtu)

  • Kings Pinas Asia vs Penang Stallions (99-106)
  • Farmco Touch Up vs PRG Eagles (75-56)
  • Verve Club vs KL Dragons (57-71)

15 Oktober 2017 (Ahad)

  • KL Dragons vs PRG Eagles (74-71)
  • Farmco Touch Up vs Kings Pinas Asia (126-64)

Gambar dan artikel oleh Norman Goh

MPL: Kemenangan pertama buat KL Dragons

MPL: Kemenangan pertama buat KL Dragons

MPL: Kemenangan pertama buat KL Dragons

KL Dragons merekodkan kemenangan pertama dalam perlawanan sulung dalam Liga Profesional Malaysia (MPL) bola keranjang dengan 14 mata, 81-67.

Pada awalnya, Farmco Touch Up yang diwar-warkan mempunyai kelebihan berbanding pasukan Dragons yang baru sahaja melengkapkan pasukan mereka seminggu lalu tumpas dalam tangan lawan.

Sekembalinya liga profesional bola keranjang di arena kebangsaan, perlawanan pertama sejurus selepas Sukan Sea yang lalu mula melihat langkah baru dalam pembangunan sukan ini.

Penolong jurulatih Dragons Adrian Wong menyifatkan kemenangan ini suatu dorongan yang cukup memberangsangkan untuk perlawanan pertama mereka.

“Kita beraksi cukup baik dan tidak memberikan tekanan kepada pemain Dragons. Mereka memberikan pertahanan dan juga serangan yang mantap.

“Sukar untuk kita mengawal Sam (Deguara), kita agak bernasib baik dapat mengurangkan pungutan mata beliau. Pertahanan kita belum memadai tetapi pemain kita memberikan yang terbaik,” kata Wong.

Wong juga memberitahu beberapa pemain muda menunjukkan potensi yang baik dan berpeluang dipilih dalam barisan pemain untuk Asean Basketball League (ABL).

Daniel Eves dan Kyle Matthew Toth menjaringkan 30 dan 18 mata untuk Dragons, ketua pasukan John Ng dan Addy Tung menyumbangkan 10 dan 8 mata.

Untuk Farmco pula, Samuel Deguara mendahului dengan 24 mata, 17 rebounds dan 5 block manakala Chris Kuete mendapat 21 mata dan 12 rebound.

Farmco Touch Up memberikan saingan yang agak sengit, terutamanya pemain import Samuel Deguara dari Malta dengan ketinggian 2.26 meter menguasai perimeter dalaman. Seiring dengan pemain veteran Malaysia, Guganeswaran Batumalai yang juga pernah menyarung jersi Dragons sebelum persaraan beliau pada tahun 2014.

Walaupun berdepan Farmco yang mempunyai kelebihan ketinggian berbanding KL Dragons, kembalinya John Ng sebagai ketua pasukan Dragons juga menyerikan liga kali ini dan mengejar penguasaan kembali pada 5 minit pertama, 11-8.

Samuel Deguara tetap utuh di perimeter dalam dengan jaringan 7 mata dan mengakhiri suku pertama hasil jaringan pemain muda Malaysia Loh Ken Yen pada saat akhir. Farmco mendahului Dragons sebanyak 4 mata, 14-18.

Kalau Dragons ketinggalan pada awalnya, mereka kembali menguasai suku kedua dan membenamkan 7 mata pada dua minit pertama daripada Daniel Eves dan Kyle Toth. Tidak kurang hebatnya gandingan Syahrul Rosli dan Phan Wee Chen yang turut memberikan kawalan bola yang mantap di gelanggang.

Daniel Eves terus memberikan aksi yang baik dengan jaringan luar perimeter, lantas menjaringkan lima kali jaringan 3 mata dalam suku ini. Dragons jauh meninggalkan Farmco yang sukar mencari jaringan dari dalam, mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan enam mata, 45-39. Dragons memungut 31 mata dalam sukuk kedua, Farmco hanya mendapat 21.

Dragons memperbaharui peratusan mata dari 22.7 ke 43.9 peratus manakala Farmco pula dengan 43 peratus. Farmco semakin ketinggalan dalam suku kedua akibat turnover yang banyak 7, memberikan banyak peluang kepada Dragons.

Farmco terus ketinggalan mata dalam suku ketiga setelah Daniel Eves menjaringkan mata pada tiga minit akhir. Walaupun Dragons memperlahankan ritma perlawanan, mereka masih menguasai gelanggang dengan baik dan mengakhiri suku ini dengan 64-57.

Ketinggian bukan halangan untuk Addy

Walaupun serba kekurangan dengan ketinggian beliau berbanding ramai pemain lain, Addy Tung yang pernah beraksi bersama Westports Malaysia Dragons pada 2015, beliau turut memberikan aksi yang mantap menandingi pemain lain.

“Kita harus bersedia bermula pada awalnya. Kemenangan ini hasil usaha bersama sebagai satu kumpulan, agak menakjubkan juga kita dapat mengalahkan Farmco.

“Saya tidak terkata-kata dan peluang bermain dengan masa yang lebih banyak dalam liga ini memberikan semangat untuk mengalahkan pihak lawan,” kata pemain yang berusia 28 tahun itu.

KL Dragons akan bertemu Verve Club esok pada 8.30 malam.

Gambar dan artikel oleh Norman Goh

ABL: Dragons tidak kesampaian tundukkan Slingers

ABL: Dragons tidak kesampaian tundukkan Slingers

Westports Malaysia Dragons tidak kesampaian menundukkan Singapore Slingers dalam perlawanan kedua dalam liga Asean Basketball League (ABL) dan tumpas di tangan pasukan Singapura itu dengan hanya lima mata, 76-81.

Percubaan Dragons kali ini sangat jauh berbeza berbanding dengan perlawanan pertama yang diadakan November lalu di Singapura dan pada ketika itu, Dragons dikalahkan oleh Slingers hampir 20 mata.

Bagi ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas merasakan ini merupakan proses pada hala tuju yang betul untuk pasukan Malaysia.

 

“Jika dibandingkan dengan perlawanan November lalu jika anda masih ingat, apakah yang ada rasakan dari segi perbezaan prestasi Dragons kali ini?”

“Saya sangat mementingkan proses yang perlu dilalui oleh setiap pemain dalam Dragons, dan kami masih antara pemain yang paling muda dalam liga ini. Walaupun keputusan kali ini tidak memadai untuk Dragons tetapi saya tetap yakin, kami akan menjadi lebih gah sepanjang musim ini,” kata Thomas.

Untuk Dragons, Skylar Spencer menjaringkan 19 mata dan 15 rebound, Marcus Melvin mendapat 17 mata dan 11 rebound, manakala pemain tempatan Teo Kok Hou menyumbangkan 12 mata.

Dragons bermula perlawanan dengan serangan demi serangan yang lebih mantap berbanding dulu. Pada awal suku pertama, Slingers merebut penguasaan gelanggang dengan Dragons, namun dengan pertahanan yang lebih efektif, Slingers sukar mencari jejaknya.

Pasukan Malaysia mula meninggalkan jurang mata berbanding Slingers pada penghujungnya dan lontaran tiga mata Teo Kok Hou menamatkan suku pertama dengan perbezaan enam mata, 27-21.

Slingers kembali memimpin serangan balas untuk menguasai separuh masa pertama dalam permulaan suku kedua, menjaringkan 11 mata untuk kembali di hadapan. Namun, Dragons tidak berganjak dan akhiri separuh masa pertama dengan dunk oleh Skylar Spencer, 39-39.

Pada dua minit yang terakhir, Dragons hanya ketinggalan 70-73 selepas jaringan tiga mata oleh Freddie Goldstein. Aksi kejar-mengejar dalam persaingan sengit ini jelas menunjukkan perubahan prestasi yang amat berbeza untuk Dragons.

Walaupun pada 12 saat terakhir apabila Slingers sudah jauh di hadapan dengan 71-79, Dragons tetap tidak berputus asa. Marcus Melvin dan Skylar Spencer berasak-asak mencari posisinya dan berjaya menjaringkan tiga mata dan dua mata, 76-79.

Nasib tidak menyebelahi Dragons kali ini apabila dikalahkan di gelanggang sendiri dalam siri pertama Piala Straits.

Freddie Goldstein hampir mendapat mata tetapi bola yang dilontar hanya sekadar melintasi jaring pada saat terakhir.

“Bagi saya, kelemahan utama kekalahan ini adalah point guard. Termasuklah saya sendiri dan Freddie. Kami tidak mengawal pergerakan bola dengan baik pada pertengahan perlawanan.

“Keseluruhannya, kami telah menjangkaui prestasi dulu tetapi Dragons boleh mengatasi Slingers. Pada Ahad ini, Dragons perlu mengkaji semula kesilapan kali ini dan mencari strategi untuk menghadkan Justin Howard dalam gelanggang,” kata Teo Kok Hou kepada wartawan selepas perlawanan.

Malaysia Dragons akan berangkat ke Singapura pada Ahad ini untuk pertemuan kali ketiga dengan Singapore Slingers pada pukul 4 petang di OCBC Arena.