Kempen beli barangan Malaysia
Rakyat Malaysia haruslah mengubah mentaliti dan sikap mengagungkan barangan buatan luar memandangkan kualiti produk dan perkhidmatan buatan tempatan setanding malah ada antaranya lebih baik berbanding produk luar negara.
Selain itu, harga yang ditawarkan jauh lebih rendah dan berpatutan tanpa menjejaskan kualiti yang dijamin setaraf dengan piawaian antarbangsa.
Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata, kerajaan menyusun pelbagai inisiatif dalam usaha memberi kesedaran selain mendedahkan pengguna terhadap kualiti barangan tempatan antaranya melalui penganjuran Karnival Jualan Mega yang diadakan setiap tahun.
“Momentum kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) terus dipertingkatkan bagi menggalakkan pembelian barangan buatan tempatan dalam kalangan rakyat negara ini dan selain karnival tahunan, fokus utama adalah melalui penganjuran ekspo.
“Selain itu, kerajaan turut melaksanakan program berimpak tinggi seperti sambutan Hari Francais, Hari Penjaja Kebangsaan, Hari Pengguna Kebangsaan, program Jualan Terus dari Kilang dan program Jom Beli Barang Raya. Platform ini membolehkan interaksi dua hala antara pengguna dan penjual serta bertindak sebagai medan percubaan produk bagi pembeli.
“Rangkaian program disusun untuk tujuan promosi dan amatlah bertepatan dengan objektif kerajaan yang berusaha memasarkan rangkaian produk buatan tempatan kepada pengguna selain mereka mampu amati dan menilai sendiri.”katanya.
Dalam masa sama, Ismainur Hadi menyeru para pengusaha untuk meningkatkan lagi kualiti produk dari segi rasa, ketahanan, keunikan, pembungkusan hinggalah kepada penjenamaan supaya lebih kompetitif dan menarik untuk bersaing di pasaran.
Bagi mencapai matlamat ini, Ismainur Hadi menambah, kerajaan sejak tahun 2010 telah menjalankan langkah promosi melalui pengiklanan di media elektronik dan media cetak. Kaedah ini dilihat lebih inklusif selain dapat melebarkan jangkauan pelanggan dengan gabungan strategik program promosi sedia ada seperti ekspo dan karnival.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai KBBM, Ismainur Hadi berkata, ia bukanlah satu langkah baru kerana insiatif ini telah dilancarkan sejak tahun 1984 dengan nama Kempen Beli Barangan Malaysia.
“Pada tahun 2009, selaras dengan krisis kewangan global, KBBM diperkenalkan kembali hasil penjenamaan semula daripada program terdahulu dengan objektif sama iaitu menggalakkan pengguna membeli barangan buatan tempatan.
“Usaha ini secara tidak langsung membantu merangsang pendapatan domestik negara dan pada masa sama turut membantu pengusaha tempatan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat lebih tinggi,”katanya.
Menurutnya, langkah ini penting memandangkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara dan dijangka bakal menyumbang kepada 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.
Ismainur Hadi menjelaskan, segala usaha dilakukan tidak akan berhasil sekiranya sikap masyarakat sendiri masih berada di takuk lama.
“Justeru saya menyeru orang ramai untuk turut serta dalam program promosi yang dianjurkan dan bersikap lebih terbuka dalam membeli barangan buatan tempatan. Sokongan ini mampu meningkatkan keupayaan pengusaha tempatan untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi yang selama ini didominasi oleh negara luar.” katanya.
‘Barangan Malaysia’ adalah definisi yang merujuk kepada produk yang dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangnya 51 peratus bahan atau kandungan tempatan.
Selain itu, produk yang dikeluarkan hendaklah melibatkan aktiviti proses pengilangan dan dikeluarkan oleh syarikat milik warganegara Malaysia yang juga pemilik sesebuah jenama tersebut.
Terdapat 10 kategori produk yang boleh diketengahkan dan dianggap sebagai barangan Malaysia iaitu makanan dan minuman, pakaian dan aksesori, perabot dan kelengkapan rumah, barangan elektrik dan komputer, produk pelancongan, kosmetik dan makanan kesihatan, automotif, produk kraftangan, perbankan dan insuran serta telco.