Pangrok Sulap: Kebebasan bersuara kami disekat

Pangrok Sulap: Kebebasan bersuara kami disekat

Pangrok Sulap: Kebebasan bersuara kami disekat

Nadia Azam | 14 March 2017

Isu karya badan kolektif seni berpangkalan di Sabah, Pangrok Sulap diturunkan dari dinding pameran di Kuala Lumpur disifatkan sebagai contoh sekatan bersuara terhadap golongan seniman.

Bagi seorang anggota kumpulan terbabit Jerome Manjat, tindakan itu memang layak dianggap demikian setelah “karya yang tidak bersalah” itu hilang untuk dipamerkan kepada umum.

“Ya, kami anggap itu sekatan kebebasan bersuara,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini.

Kelmarin, menerusi status di Facebook, Pangrok Sulap meluahkan kekecewaan mereka apabila “Sabah Tanah Air-ku” dikeluarkan daripada pameran kerana dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.

Photo: Marco Ferrarese

Ukiran kayu bertajuk “Sabah tanah air-ku” itu dispekulasi menjadi mangsa susulan mesejnya dikatakan “sensitif” kerana menyentuh isu sosial dan politik tanah air.

Sebagai tanda protes, mereka mengambil keputusan menarik semua karya daripada pameran “Escape from the Sea” anjuran Yayasan Jepun di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Kami, Pangrok Sulap menarik diri sepenuhnya dari pameran kerana membantah penapisan karya seni dan artis,” menurut kenyataan mereka.

Sabah Tanah Air-ku” sempat menghiasi dinding pameran selama dua hari sebelum diturunkan pada 26 Februari lalu.

Ruang bahan seni itu dijadikan tempat tayangan video yang memaparkan proses percetakan karya berkenaan di tempat itu.

Pameran dari 24 Februari hingga 23 April depan itu adalah sebahagian daripada program pembangunan kurator Yayasan Jepun.

Selain dipamerkan di Bangsar, sekeping karya Pangrok Sulap turut digantung di Balai Seni Visual Negara (BSVN) tanpa halangan.

Karya itu mengetengahkan mesej keharmonian pelbagai kaum, kejayaan dan kebanggaan ikon Sabah.

Malaysiakini telah cuba menghubungi penganjur, termasuk mengunjungi tempat pameran sejak minggu lalu namun belum membuahkan hasil.

Bintang Chelsea pilih main di Persib Bandung

Bintang Chelsea pilih main di Persib Bandung

Bintang Chelsea pilih main di Persib Bandung

14 March 2017

Selepas sekadar menyaksikan kelibatnya di kaca televisyen ketika Liga Perdana Inggeris berlangsung, rupa-rupanya Michael Essien kini sedang meneruskan kerjaya di negara jiran – Indonesia.

Bekas bintang Chelsea itu sudah menyertai pasukan Persib Bandung yang bersaing dalam Liga Super Indonesia.

Persib Twitter

Selepas meninggalkan The Blueas, pemain kelahiran Ghana itu berkhidmat di Real Madrid secara pinjaman selama satu musim sebelum ke AC Milan (Itali) dan Panathinaikos (Greece).

Sementara itu, pengesahan kehadiran Essien ke Persib Bandung dikhabarkan melalui Twitter rasmi kelab itu.

“Wilujeng sumping! Michael Essien resmi jadi sebahagian keluarga besar Persib,” tulis akaun @persib.

Akuan Twitter itu juga memaklumkan Essien akan menggunakan jersi bernombor lima bersama kelab berkenaan.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai gajinya bersama pasukan gergasi Indonesia itu.

Media Indonesia melaporkan, bekas pemain Lyon itu juga sudah berada di Jakarta sejak akhir minggu, sekali gus menguatkan tanggapan dia akan bergabung dengan Persib.

Terdahulu, kehadiran pemain itu sudah tular di media sosial dengan kemunculan gambar-gambarnya berada di sebuah pusat beli-belah di Senayan, Jakarta Selatan.

Perjalanan karier Essien di Eropah ternyata kurang lancar selepas hubungan antara Essien dan Panathinaikos tidak berjalan dengan baik. Dia hanya bertahan satu musim di kelab itu.

Essien bergabung dengan Panathinaikos sejak Jun 2015. Namun, pemain tengah berusia 34 tahun itu gagal memenuhi harapan kelab susulan kecederaan panjang dialaminya.

Susulan itu, Panathinaikos memecat Essien pada musim panas 2016 walaupun masih mempunyai kontrak sehingga dua musim akan datang.

Namun, rekod paling cemerlangnya adalah ketika bersama Chelsea. Dia berjaya membantu pasukan meraih trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-juara.

Mat salih ‘Mat Dan’ nikah gadis Melayu

Mat salih ‘Mat Dan’ nikah gadis Melayu

Mat salih 'Mat Dan' nikah gadis Melayu

14 March 2017

Selebriti TV keturunan British yang fasih dengan loghat Terengganu, Mat Dan selamat melangsungkan pernikahan dengan gadis Melayu dalam satu majlis di Bukit Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Difahamkan majlis serba sederhana itu berlangsung di sebelah malam tanpa kehadiran pihak media atas permintaan keluarga kedua-dua pihak.

Namun beberapa gambar majlis pernikahan itu tersebar di laman sosial Facebook sejurus kemudian.

Terdahulu, pada sebelah siangnya, satu majlis pertunangan antara Mat Dan, 28, dengan pasangannya telah berlangsung.

Berita mengenainya tersiar selepas tersebar gambar ibu Mat Dan menyarungkan cincin ke jari seorang gadis bertudung, berbaju kurung warna biru.

Difahamkan, majlis pertunangan itu dilangsungkan jam 10 pagi dan hanya dihadiri keluarga dan sahabat terdekat pasangan itu.

Menurut kenalan Mat Dan, nama sebenar Kareef Daniel Abdullah, “Identiti gadis pilihan hati Mat Dan juga tidak dapat didedahkan ketika ini atas permintaan keluarganya”.

Mat Dan kini merupakan hos beberapa rancangan TV tempatan bercorak pengembaraan seperti ‘Haramain Backpackers’ dan ‘Mat Dan Kaki Jalan’.

Program itu disampaikannya dalam loghat Melayu Terengganu.

Minat mengembara pemuda dari Bristol, England ini, membawanya ke Thailand, Laos dan kemudian ke Pulau Perhentian, Terengganu pada 2009 dan seterusnya ke Pulau Kapas.

Sehingga kini, beliau sudah tinggal di Malaysia kira-kira tujuh tahun.

– Bernama

Beauty and the Beast lulus, babak gay dipotong

Beauty and the Beast lulus, babak gay dipotong

Beauty and the Beast lulus, babak gay dipotong

14 March 2017

Filem Beauty and the Beast akan ditayangkan di panggung-panggung wayang negara ini dengan sedikit potongan pada babak berkaitan gay.

“Filem ini diluluskan bawah klasifikasi PG13, bimbingan ibu bapa, dengan sedikit potongan,” Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF) Abdul Halim Abdul Hamid dipetik sebagai berkata oleh The Star Online.

Nike cipta tudung khas atlet muslimah

Nike cipta tudung khas atlet muslimah

Nike cipta tudung khas atlet muslimah

9 March 2017

Untuk kali pertama, Nike kini menawarkan produk yang dianggap sesuai dipakai atlet Muslimah yang selama ini dihantui kekangan pakaian patuh syariah.

Tudung khusus untuk atlet Muslimah itu akan dilancarkan pada awal tahun depan, sekali gus menjadikan Nike sebagai pengeluar pertama yang menawarkan tudung kepada ahli sukan, kata syarikat itu dalam kenyataan rasminya.

Berfungsi sebagai penutup aurat wanita di bahagian kepala, tudung tersebut akan dipasarkan dengan jenama ‘Nike Pro Hijab‘ dengan reka bentuk membolehkan penggunanya mengekalkan prestasi di atas gelanggang.

Produk itu dihasilkan menggunakan bahan poliester yang ringan dan direka bentuk dengan lubang-lubang halus supaya tidak menyerap haba, serta cepat kering.

“Tempoh setahun diperlukan untuk mencipta produk ini dengan dorongan untuk kembali membawa misi Nike iaitu semua orang boleh menjadi atlet,” kata kenyataan tersebut.

Untuk mempromosi Nike Pro Hijab, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menggunakan beberapa atlet beragama Islam sebagai model. Antaranya Amna Al Haddad, Manal Rostom dan Zahra Lari.

Usaha Nike itu juga bertitik tolak daripada aduan beberapa atlet wanita muslim kepada syarikat itu mengenai kesukaran mereka untuk memakai tudung sesuai ketika beraksi.

Apa pandangan awak?