by Hello Doktor | Sep 6, 2018 | Gaya hidup, Kesihatan
Dakwaan kafein menyebabkan ketagihan mungkin benar pada suatu sudut dan mungkin juga tidak benar pada sudut yang lain.
Apakah sumber kafein?
Sebelum bercakap tentang ketagihan, tentulah anda sudah tahu daripada mana kafein boleh didapatkan. Sumber utama yang dimaklumi adalah kopi dan teh. Walau bagaimanapun, terdapat juga sumber lain yang kerap diambil oleh masyarakat.
Ini termasuk minuman berkarbonat, air coklat dan gula-gula kopi. Malah, kopi yang dinyahkafein (decaffeinated coffee) pun masih tidak sepenuhnya bebas daripada kafein. Ia juga terkandung dalam ubat-ubatan tertentu seperti ubat tahan sakit, ubat demam serta pil diet.
Kafein itu sendiri adalah sejenis ubat tahan sakit dan mampu meningkatkan keberkesanan ubat tahan sakit. Mengambil kopi bersama panadol adalah efektif dalam mengurangkan sakit kepala.
Ketagihan kafein?
Kafein berfungsi sebagai perangsang kepada sistem saraf pusat (central nervous system). Ia memberikan tenaga, fokus dan perasaan sejahtera. Apabila seseorang itu sudah terbiasa dengan rangsangan ini, badannya akan berasa sedikit perubahan jika dia berhenti merangsang otaknya.
Kesan jika seseorang berhenti mengambil kafein secara tiba-tiba mempunyai beberapa simptom seperti:
- Sakit kepala
- Letih badan
- Kegelisahan
- Mudah marah
- Mood kurang baik
- Sukar memberikan perhatian atau fokus
Apa yang berlaku adalah hampir sama dengan ketagihan alkohol atau dadah di mana berlaku simptom-simptom tertentu yang disebut sebagai simptom penarikan apabila berhenti mengambil bahan atau minuman tersebut secara tiba-tiba.
Walau bagaimanapun, simptom dan kesan yang dialami oleh pengguna kafein adalah lebih ringan. Ia tidak sampai membawa kesan yang berbahaya seperti membunuh atau mencuri seperti yang berlaku kepada penagih dadah. Jadi, istilah ketagih mungkin kurang tepat. Sebaliknya istilah kebergantungan lebih sesuai.
Bagaimana ingin berhenti mengambilnya?
Anda mungkin ingin berhenti mengambil kafein atas sebab-sebab tertentu sama ada ingin mengurangkan pengambilan gula atau bimbang dengan keadaan kesihatan anda seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Anda boleh cuba cara berikut:
- Banyakkan minum air.
- Gantikan minuman berkafein anda dengan minuman tidak berkafein. Contohnya, jika kebiasaannya anda mengambil 3 cawan kopi sehari, gantikan satu atau dua cawan dengan air susu atau lemon. Kemudian, kurangkan secara berperingkat.
- Banyakkan bersenam. Ia adalah perangsang semula jadi bagi tubuh anda.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: Muhamad Firdaus Rahim
by Hello Doktor | Sep 4, 2018 | Gaya hidup, Kesihatan
Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah pembunuh ‘senyap’. Menurut MyHealth, 5.8 juta penduduk Malaysia mempunyai tekanan darah tinggi dan hanya 2.2 juta mendapat rawatan tetap. Kebanyakan orang yang menghidap hipertensi tidak sedar bahawa masalah ini. Penyakit hipertensi yang tidak dirawat akan meningkatkan risiko komplikasi tanpa mengira usia.
Benarkah tidur mempengaruhi tekanan darah?
Terdapat hubungan jelas antara jumlah tidur seseorang dengan risiko tekanan darah tinggi. Dalam satu kajian, para penyelidik mendapati bahawa mereka yang tidur kurang dari enam jam pada waktu malam adalah 20% lebih mungkin mempunyai hipertensi. Keadaan ini boleh dielakkan dengan mendapatkan jumlah tidur yang disyorkan setiap malam.
Dalam kajian lain, penyelidik mendapati bahawa orang yang hanya tidur enam jam pada waktu malam mempunyai tekanan darah yang lebih tinggi pada hari yang berikutnya berbanding dengan mereka yang mendapat tidur malam yang baik. Kekurangan tidur yang berterusan boleh menambahkan kesannya. Tanpa tidur yang betul bagi mencergaskan semula tubuh boleh menyebabkan diri anda tertekan tanpa menyedarinya sehingga ia sudah terlambat.
Jika anda mengalami tidur apnea (keadaan terhentinya pernafasan beberapa ketika), hipertensi boleh menambahkan sakit kepala. Tidur apnes ini biasanya disebabkan oleh belakang tekak yang melegakan dan mengehadkan aliran udara ke dalam badan. Bagi mereka yang menghidap tidur apnea ini lebih berisiko mengalami tekanan darah tinggi.
Apabila anda mengalami hipertensi bersama tidur apnea, oksigen mengalir melalui tubuh sangat berkurang. Tidur apnea boleh meningkatkan tekanan darah dengan mengurangkan oksigen yang anda dapatkan. Semakin tinggi tekanan darah, semakin berisiko anda menghidap masalah kesihatan yang serius seperti kegagalan jantung kongestif dan strok.
Bagaimana mengatasi hipertensi dengan tidur?
Pilih tilam yang selesa
Jika anda berasa terhuyung-hayang (groggy) dan sakit pada waktu pagi, ia berkemungkinan salah satu tanda anda perlu menukarkan tilam anda. Pilih tilam yang betul untuk gaya tidur anda bagi memastikan anda selesa. Kurang gangguan pada tengah malam bermakna lebih banyak masa anda mendapat tidur yang baik dan nyenyak. Tubuh anda akan memulihkan (rejuvenate) daripada tugasan harian dan tekanan serta membolehkan anda tidur lebih lama sepanjang malam tanpa gangguan.
Amalkan tabiat tidur yang sihat
Sebelum anda tidur, terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menjadikan malam anda lebih berjaya. Makan makan lebih ringan membolehkan tubuh anda mencerna makanan dan mengelakkan rangsangan tenaga yang tidak perlu sebelum anda menutup mata anda.
Biarkan diri anda 30 minit sebelum tidur untuk berhenti melihat peranti anda. Cahaya biru yang dipancarkan dari skrin ini mendorong otak anda untuk terus terjaga kerana cahaya ini meniru cahaya matahari. Bersantai dengan buku, mandian hangat, atau aktiviti malam lain akan membiarkan otak anda tahu bahawa sudah tiba masanya untuk tidur.
Sebaik sahaja anda berada di tempat tidur, anda perlu memberi tumpuan kepada tidur untuk menguatkan penyatuan minda antara katil anda dan menjadi letih. Melakukannya setiap malam boleh membantu menjadikannya lebih mudah untuk tidur daripada menonton TV atau menatal (scrolling) media sosial.
Tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan kesukaran untuk berdepan dengan aktiviti harian. Kekurangan tidur yang berterusan boleh memberi implikasi besar untuk kesihatan anda, termasuk tekanan darah tinggi. Hipertensi boleh diurus, tetapi hanya jika anda membuat perubahan yang betul dalam hidup anda. Malahan, tidur adalah keutamaan dalam merawat tubuh dengan baik dan melawan risiko hipertensi.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: Farah Aziz
by Hello Doktor | Ogo 30, 2018 | Kesihatan
Strok merupakan salah satu punca kematian utama di Malaysia dan juga di peringkat global. Gaya hidup moden yang kurang aktif serta pemakanan yang tinggi lemak adalah antara penyebab kepada bilangan kes yang tinggi.
Keadaan kesihatan ini perlu dicegah sebelum serangan berlaku. Hal ini demikian kerana apabila serangan telah berlaku, proses pemulihan memakan masa yang lama dan sesetengah pesakit mungkin tidak akan pulih seperti normal.
Terdapat beberapa keadaan kesihatan yang mungkin kelihatan seperti strok tetapi sebenarnya tidak.
1. Sawan
Sawan berlaku apabila aktiviti elektrik dalam otak terganggu. Jadi, pelbagai jenis simptom boleh berlaku. Antara simptom-simptom tersebut, sebahagiannya kelihatan seperti strok. Hal ini termasuk kebas, rasa semut-semut serta lemah pada lengan dan kaki.
Selepas serangan sawan, anda boleh mengalami Tood’s paralysis di mana sebahagian atau keseluruhan badan menjadi lemah.
2. Migrain
Meskipun rasa sakit kepala daripada serangan migrain itu sendiri sudah cukup membuatkan anda ke hospital, ia bukan sekadar itu sahaja. Migrain juga mungkin berlaku bersama-sama gangguan penglihatan, serta rasa semut-semut dan kebas pada lengan dan kaki. Percakapan juga mungkin terganggu.
3. Kadar gula darah rendah atau tinggi
Gangguan pada kadar gula boleh memberikan keadaan seperti strok. Kewarasan boleh terganggu. Badan juga akan berada dalam keadaan tidak stabil dan menghadapi kesukaran untuk bergerak. Mata pula menjadi kabur dan badan menjadi lemah.
4. Bell’s palsy
Keadaan ini berlaku disebabkan kecederaan pada urat saraf yang mengawal otot muka. Kesannya, sebahagian daripada muka akan menjadi lumpuh, mata tertutup, mulut senget dan percakapan terjejas. Biasanya, ia akan kembali normal selepas beberapa minggu. Kadangkala, rawatan tertentu mungkin diperlukan seperti steroid dan terapi otot muka.
5. Multiple sclerosis
Ia adalah sejenis penyakit autoimun di mana sistem ketahanan badan menyerang sel-sel urat saraf (neuron) dalam otak dan urat saraf tunjang. Simptom yang mungkin berlaku adalah pelbagai termasuk kebas, rasa semut-semut, lumpuh kaki dan lengan serta gangguan penglihatan. Ia mungkin kelihatan seperti strok.
Apa pun mungkin keadaannya, sila dapatkan bantuan perubatan dengan segera di pusat kesihatan berdekatan anda.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: Muhamad Firdaus Rahim
by Hello Doktor | Ogo 21, 2018 | Kesihatan
Penyusuan susu ibu diketahui dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan dan kematian dalam kalangan bayi. Mengikut kajian, bayi yang diberikan susu ibu sejak lahir kurang menghidap penyakit pada tahun pertama hayat mereka. Malah, bayi yang menyusu badan juga kurang berisiko mendapat penyakit seperti cirit-birit, pneumonia, bronchitis, sembelit, jangkitan saluran kencing, ekzema dan masalah malnutrisi.
Malnutrisi atau kekurangan zat makanan adalah masalah yang lazim dialami oleh kanak-kanak. Namun, kebanyakan ibu bapa kurang sedar akan bahaya malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan nutrisi dianggarkan berkait dengan 2.7 juta kematian kanak-kanak setahun atau 45 peratus daripada semua penyebab kematian kanak-kanak. Melihat kepada angka ini, tentunya ibu bapa perlu membuka mata dan mencari jalan bagi menangani masalah malnutrisi yang semakin pincang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Bagaimana penyusuan susu ibu boleh membendung malnutrisi kanak-kanak?
WHO dan Tabung Kanak-kanak Negara (UNICEF) menganggarkan lebih 800 ribu nyawa kanak-kanak di bawah usia lima tahun dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya penyusuan susu ibu diberikan secara optimal. Hal ini kerana, pemberian pemakanan yang optimal amat penting semasa dua tahun pertama hayat kanak-kanak bagi mengurangkan morbiditi dan kematian, mengurangkan risiko penyakit kronik, serta menggalakkan perkembangan dan tumbesaran yang sihat.
Konsultansi Pakar WHO telah mempertimbangkan bukti-bukti saintifik dan membuat kesimpulan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi bayi sejak lahir sehingga 6 bulan memberi pelbagai faedah kepada bayi dan ibu. Pertubuhan ini juga menyarankan supaya penyusuan pertama dijalankan dalam tempoh satu jam pertama selepas bayi dilahirkan. Pengenalan kepada makanan pejal bermula semasa usia bayi enam bulan namun, amat disarankan supaya ibu meneruskan pemberian susu badan kepada si manja sehingga usia bayi dua tahun.
Apa yang ada dalam susu ibu?
Bermula lahir sehingga usia bayi enam bulan, ibu perlu menyusukan bayi secara eksklusif kerana susu ibu sudah cukup lengkap dan menepati keperluan nutrisi bayi. Eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu badan sahaja dan tidak diberikan makanan atau minuman lain termasuk air. Penyusuan eksklusif ini memberi banyak manfaat kepada bayi dan ibu, termasuklah menyediakan perlindungan kepada jangkitan gastrousus.
Ibu baru bersalin disarankan untuk mula menyusukan bayi dalam tempoh satu jam selepas kelahiran bayi. Hal ini kerana, susu pertama yang keluar pada ibu adalah yang terbaik untuk si manja. Susu yang dikenali sebagai kolostrum ini telah mula dihasilkan pada hujung tempoh kehamilan dan merupakan makanan yang sempurna untuk bayi kerana mempunyai 400 jenis nutrien, hormon dan kuasa untuk melawan penyakit. Malah, susu semula jadi ini juga mempunyai pelbagai ramuan penting untuk kesihatan bayi yang tidak boleh diperolehi dari mana-mana susu formula yang terdapat di pasaran. Penyusuan awal ini dapat melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan dan mengurangkan risiko kematian bayi baru lahir. Risiko kematian ini boleh terjadi disebabkan cirit-birit dan jangkitan lain yang boleh berlaku kepada bayi yang tidak diberikan susu badan sepenuhnya ataupun yang tidak diberikan susu ibu langsung.
Susu ibu juga merupakan sumber penting tenaga dan nutrien bagi bayi yang berusia 6-23 bulan. Susu ibu menawarkan separuh atau lebih tenaga yang diperlukan oleh bayi berusia 6-12 bulan, dan satu pertiga keperluan tenaga untuk bayi 12-24 bulan. Susu ibu ini juga menjadi sumber kritikal tenaga dan nutrien semasa sakit, dan mengurangkan kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.
Justeru, pemberian susu ibu yang optimum merupakan pencegahan awal kepada masalah malnutrisi kanak-kanak, selain memberikan kesan positif sepanjang hayat terhadap kanak-kanak dan ibu.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: Nurul Nazrah
by Hello Doktor | Ogo 20, 2018 | Kesihatan
Jangan rasa terasing jika anda mempunyai anak Sindrom Down. Di Malaysia, ia berlaku dalam setiap 1 daripada 950 kelahiran, lebih kurang sekitar 30,000 bayi. Anda bukan keseorangan. Sindrom ini merupakan antara gangguan genetik paling kerap berlaku di dunia.
Tiada siapa yang boleh menafikan cabaran dalam membesarkan anak istimewa ini. Namun, ia adalah tidak mustahil. Mari kita lihat panduan atau tip yang boleh dipelajari dalam membesarkan anak Sindrom Down.
1. Itu adalah anak anda
Anda bukannya melahirkan bayi “Sindrom Down”, tetapi anak anda sendiri. Bayi tersebut adalah insan luar biasa yang akan menjadi teman dan tempat anda mencurahkan kasih sayang. Anda tidak perlu untuk menyanyangi Sindrom Down untuk menyanyangi anak anda. Cukuplah dengan fakta bahawa itu adalah anak anda untuk melahirkan rasa cinta dan jangan hiraukan label yang diberikan.
2. Anak anda akan membesar seperti bayi lain
Perkara paling penting adalah tidak membandingkan anak anda dengan anak-anak lain yang sebaya dengannya. Anak anda membesar dengan caranya tersendiri yang unik. Perbezaan tersebut adalah normal baginya.
Fokuskan pada apa yang telah berjaya dilakukan olehnya. Memang sedikit lambat tapi akhirnya dia akan mencapainya juga.
3. Terdapat banyak bantuan dan kemudahan
Jangan bimbang. Banyak cara yang tersedia untuk membantu anak anda. Sesetengah sekolah awam menyediakan kelas pendidikan khas untuk anak-anak istimewa. Selain itu, terdapat juga Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terletak di daerah-daerah seluruh negara.
Banyak juga komuniti yang berkongsi dan membela nasib penghidap sindrom Down. Ini termasuk:
4. Cari kecantikan pada anak anda
Buang jauh-jauh stereotaip anda terhadap anak Sindrom Down. Mereka sebenarnya sangat cantik dan comel serta menghiburkan hati. Senyumannya yang manis mampu menghilangkan keletihan anda. Jari pendeknya begitu comel dan lembut apabila dipegang. Anda hanya perlu cari kecantikan tersebut.
5. Jadikan kekecewaan sebagai motivasi untuk memperbaiki cara didikan anda
Sudah tentu akan ada episod putus asa dan kecewa apabila segalanya seolah-olah tidak menjadi. Berbanding terus dihumban rasa kecewa, jadikan ia sebagai motivasi untuk lebih kreatif dalam mendidik mereka. Cuba tingkatkan ilmu dan skil anda melalui pembacaan, kursus dan latihan.
6. Diagnosis tersebut bukanlah segala-galanya dalam hidup
Hidup ini jauh lebih luas. Ada masa anda gembira dan tersenyum, ada masa juga anda bersedih dan menangis. Semua itu mungkin tidak ada kaitan pun dengan diagnosis, ujian atau isu tentang anak anda. Jangan biarkan hidup anda dikuasai oleh kata-kata orang. Anda akan menemui terlalu banyak sebab untuk terus bergembira dengan apa yang anda miliki.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan.
Oleh: Muhamad Firdaus Rahim
by Hello Doktor | Ogo 17, 2018 | Kesihatan
Pencemaran udara mengakibatkan pelbagai penyakit utama dan dan kes kematian global. Terbaru, terdapat satu kajian yang mendedahkan 3.2 juta kes baru diabetes jenis 2 pada tahun 2016 adalah disebabkan pencemaran udara.
Bahan zarah kecil (PM 2.5) diketahui dapat meningkatkan risiko penyakit jantung, penyakit paru-paru, penyakit buah pinggang dan penyakit tidak berjangkit (NCDs) lain. Para pengkaji kini menyatakan terdapat bukti kukuh mengenai kaitan di antara pencemaran udara dan penyakit diabetes jenis 2.
Walaupun terdapat kajian terdahulu mengenai kaitan di antara penyakit tersebut dan pencemaran udara, kajian terbaru daripada Amerika Syarikat tersebut menjadi kajian rintis pertama yang bersifat kuantitatif dengan memberi dapatan bahawa dengan menyedut udara yang tercemar dapat meningkatkan risiko 1 daripada 7 atau 14 peratus kes diabetes jenis 2 pada tahun 2016.
Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Lancet Planetary Health, mendapati terdapat peningkatan risiko terhadap diabetes walaupun pada kadar pencemaran udara yang selamat sepertimana yang diaudit oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). “Kajian kami mendapati terdapat kaitan signifikan di antara pencemaran udara dan diabetes di peringkat global,” memetik kata-kata Ziyad Al-Aly, salah seorang ahli kajian tersebut dan penolong professor dalam bidang perubatan di Washington University.
“Kami mendapati terdapat peningkatan risiko, walaupun pada tahap pencemaran udara yang terkawal berdasarkan standard Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA) dan WHO. Ini sangat mustahak kerana terdapat kumpulan pelobi industri yang menyatakan tahap pencemaran sedia ada sekarang terlalu ketat dan penanda aras harus diturun sedikit. Manakala bukti yang kami dapati pula menyatakan sebaliknya, penanda aras tahap pencemaran udara sekarang tidak mencukupi dan perlu diketatkan lagi.”
Penyakit yang semakin berkembang
Diabetes merupakan penyakit yang berkembang pesat — terdapat lebih kurang 422 juta orang telah didiagnosis dengan penyakit diabetes pada tahun 2014. Peningkatan ini sangat ketara berbanding 108 juta orang pada tahun 1980, menyaksikan negara-negara pendapatan rendah dan pertengahan mengalami peningkatan yang dramatik.
Penyakit diabetes jenis 2 adalah sering dihidapi, yang berlaku apabila badan gagal menghasilkan insulin secukupnya untuk memastikan tahap glukosa dalam darah berada pada tahap normal, atau kemungkinan besar insulin tidak berfungsi sebaiknya.
Obesiti, diet yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal merupakan faktor risiko utama terhadap diabetes jenis 2. Pencemaran udara dianggap mencetuskan keradangan dan mengurangkan pengeluaran insulin.
Untuk kajian tersebut, pengkaji daripada Washington University School of Medicine dan Veterans Affairs St. Louis Healthcare System di Missouri membuat analisis terhadap kesan pencemaran udara ke atas 1.7 juta veteran tentera Amerika yang tidak mempunyai sejarah diabetes dengan memantau keadaan kesihatan mereka secara purata untuk 8 tahun dan 6 bulan.
Mereka membangunkan model untuk menilai risiko diabetes dan data yang digunakan dari kajian Beban Penyakit Global untuk membantu menganggarkan kes diabetes tahunan dan kerugian tahun-tahun kehidupan sihat akibat pencemaran udara.
Pengkaji menganggarkan bahawa pencemaran udara secara global menyumbang kepada 3.2 juta kes baru diabetes dan kehilangan 8.2 juta tahun hidup yang sihat akibat pencemaran pada tahun 2016.
Secara keseluruhan, kajian tersebut turut mendapati negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana pencemaran udara adalah satu masalah yang menekan — mempunyai risiko diabetes akibat pencemaran udara lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat dan negara-negara kaya lain.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh Voiz Malaysia atas keizinan. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Oleh: Shahrul Izwan Naser