‘Nak buat duit cepat memang ada banyak cara…’

‘Nak buat duit cepat memang ada banyak cara…’

'Nak buat duit cepat memang ada banyak cara...'

Nadia Azam | 28 Feb 2017

Kini kebebasan membawa lebih daripada seribu erti buat pelakon Tony Eusoff.

Selepas apa yang dilaluinya, harapan Tony kini adalah ingin mengawal masa depan sendiri dengan merealisasikan impian yang pernah suatu ketika dulu dipandang remeh.

Selepas bebas daripada hukuman penjara, kini Tony mempunyai beberapa perancangan yang ingin dicapai dalam tempoh kira-kira lima tahun dari sekarang.

Namun pengalaman juga mengajarnya, untuk menjadi seorang yang berjaya memang bukanlah mudah, malah tiada jalan pintas untuk mengecapi apa yang diidamkan.

“Saya bukan dari golongan senang, banyak rintangan perlu dilalui tetapi semuanya akan diteruskan jika niat itu dirasakan betul dan ikhlas.

“Kalau nak buat duit cara cepat memang banyak namun kaedah itu bukan saja tidak baik, malah tidak halal. Jadi biarlah saya ambil masa lebih lama untuk berjaya.

“Boleh saja mencuri – misalnya – atau mendapatkan sesuatu projek dengan memberi rasuah tetapi ia akan memudaratkan orang lain yang sepatutnya lebih layak mendapat peluang itu,” katanya ketika hadir ke pejabat Malaysiakini baru-baru ini.

Tony atau nama penuhnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 39, gejala rasuah bukanlah perkara baru di negara ini malah wujud dalam segenap bidang.

Pada 12 Mac tahun lalu, pelakon teater P Ramlee The Musical itu ditahan di Tuas, Singapura, ketika memasuki republik itu bagi menjalani penggambaran drama seram The Hush.

Selepas dibicarakan, dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan memiliki dadah terkawal kelas A mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura.

Selepas menjalani hukuman lima bulan 10 hari, Tony dibebaskan dari penjara Singapura pada 1 Oktober kerana berkelakuan baik.

Kata Tony, sebaik melangkah keluar dari penjara, perkara pertama hinggap di fikirannya adalah menyusun strategi bagi meluaskan karier. Untuk itu, Tony ingin mencabar dirinya mencuba sesuatu yang baru.

“Sejak awal berlakon pada 2004, saya sudah pasang impian untuk bergelar penerbit filem atau pementasan teater dan muzikal.

“Namun, pada 10 tahun pertama, semua perancangan sering tertangguh kerana tidak cukup serius, selain sentiasa beranggapan esok masih ada.

“Sekarang saya sudah tak boleh membazir masa lagi.

“Saya ada pilihan sama ada kekal dalam industri seni sepenuh masa atau mencuba bidang baru dengan berniaga.

“Cuma saya perlu bijak membahagi masa kerana ketika walaupun impian berniaga tercapai, saya rasa saya masih perlu teruskan aktiviti berlakon,” katanya.

Share this

‘Absent Without Leave’ ditayang percuma di internet

‘Absent Without Leave’ ditayang percuma di internet

'Absent Without Leave' ditayang percuma di internet

Filem dokumentari Absent Without Leave yang diharamkan tayangannya di Malaysia kerana didakwa berunsur komunis, kini boleh ditonton di atas talian.

“Ia satu kesalahan untuk menayangkan filem itu di pawagam Malaysia.

“Oleh itu, kami ambil keputusan agar filem itu boleh ditayang secara percuma di Internet – hanya untuk penonton Malaysia – pada 28 Februari sehingga 5 Mac,” kata penerbit, Hummingbird di laman Facebook.

Filem arahan Lau Kek Huat itu memaparkan perjalanan menjejaki sejarah keluarganya, termasuk peranan bapanya dalam pemberontakan komunis.

Mereka yang ingin menonton filem itu diminta untuk klik pada halaman acara yang diwujudkan oleh syarikat produksi itu di Facebook.

Mereka kemudian akan menghantar pautan untuk menonton filem itu secara percuma, selagi penonton masih berada di Malaysia.

Screenshot dari ‘Absent Without Leave’ Official Trailer

Leave Without Absent, sebelum ini bertanding pada Festival Filem Busan dan memenangi Audience Choice Award dalam Festival Filem Antarabangsa Singapura.

Di Singapura, ia dikategorikan sebagai ‘NC16 – kandungan matang’ untuk penonton berusia 16 dan ke atas.

Lau sebelum ini menerima Anugerah Filem Pendek Terbaik dan Anugerah Pengarah Terbaik oleh Taiwan Golden Harvest Festival.

Filem-filem lain yang berkaitan pemberontakan komunis seperti The Last Communist dan The New Village turut dihalang daripada ditayang di pawagam Malaysia.

Bagaimanapun, The Last Communist, yang merupakan filem arahan Amir Muhammad, juga boleh ditonton menerusi atas talian.

Shila: Elak jika mudarat, sokong kalau manfaat

Shila: Elak jika mudarat, sokong kalau manfaat

Shila: Elak jika mudarat, sokong kalau manfaat

Al-Abror Mohd Yusuf | 22 Feb 2017

Pedulilah apa yang dipolemikkan orang ramai, bagi Shila Amzah, dia tetap dengan pendiriannya bahawa apa saja yang membawa kebaikan, ia wajar diberi peluang.

Shila penyanyi Melayu yang bertapak di China sebelum isu “China” menjadi agak sensitif dalam politik di Malaysia. Ia sekadar menambah kebimbangan terhadap kecurigaan antara kaum di sini.

Namun Shila ada pandangan tersendiri.

“Sesiapa saja yang boleh bawa kebaikan, faedah dan manfaat kepada rakyat dan negara, kita patut sokong.”

Shila berkunjung ke pejabat portal ini di Petaling Jaya baru-baru ini.

Penyanyi yang mempunyai ramai peminat di kalangan orang Cina di seluruh dunia itu memberitahu dia juga berpendapat semua orang ada pilihan.

“Kalau kita berdepan dengan dua mudarat, kita pilihlah mudarat yang lebih kecil.”

Shila memang agak berhati-hati menjawab soalan yang diajukan kepadanya. Biasalah, sebagai artis biasanya mereka jarang mengulas mengenai politik atau perkembangan semasa di luar dunia hiburan.

Tapi itulah. Tempat yang dikunjunginya ialah Malaysiakini.

Usah saling menyalahkan

Dan Shila sebenarnya tidak menghampakan. Dia bersikap terbuka dan bersedia berkongsi pandangan secara dewasa.

Ditanya bagaimana pandagannya selepas bergiat aktif di China, Shila enggan keterlaluan. Merendah diri, Shila berkata, dia baru lima tahun di negara Tembok Besar itu.

“Lima tahun belum cukup untuk saya menceritakan realiti di China,” katanya yang mula mencipta nama di peringkat antarabagsa melalui pertandingan Asian Wave d China pada 2012.

Tahun lalu pula dia menghasilkan album The Journey.

Daripada saling menyalahkan antara satu sama lain, kata Shila, 26, lebih baik semua pihak berusaha memperbaiki diri masing-masing.

“Jadilah orang yang lebih baik, perbaiki diri sendiri dan bersama-sama kita jadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.”

Sementara itu mengenai perancangan masa depannya, Shila berkata, dia mengidamkan membina kerjaya di Jepun dan Korea Selatan pula.

Katanya, biarlah artis lain jika mereka mahu memandang ke Barat.

Alasan Shila, muzik di negara impiannya – terutama Korea Selatan – mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia.

Sama seperti strateginya menambat hati peminat China, muzik K-pop juga diyakini dapat melebarkan lagi ’empayar’ Shila – bukan saja di Korea Selatan malah di negara lain secara tidak langsung.

Begitu pun Shila tetap tidak lupa untuk memperkenalkan Malaysia. Malah susuk dirinya sendiri ketika beraksi di atas pentas adalah mewakil negara.

“Bagi saya, sebelum kita nak orang suka kepada negara kita, elok kita buat sesuatu yang membolehkan mereka suka.”

Kongsikan

China ajar Shila jadi lebih dewasa

China ajar Shila jadi lebih dewasa

China ajar Shila jadi lebih dewasa

Al-Abror Mohd Yusuf | 21 Feb 2017

Barangkali kata-kata bestari yang menyarankan kita belajar hingga ke China itu yang dipegang Shila Amzah ketika dia memutuskan untuk meneroka pasaran di negara tembok besar itu.

Dan ternyata langkahnya berbaloi.

Menjadi penyanyi Melayu yang bertudung tidak menghalang Shila membina pengaruh di negara berkenaan, khususnya di Shanghai.

Di sana dia menjadi kegemaran peminat yang mempunyai latar belakang budaya dan bahasa yang berbeza.

Selain mendapat tempat di hati peminat, ada juga pengalaman bermakna diperolehinya. Ia mengajar Shila mengenai kesungguhan, profesionalisme dan etika kerja.

“Cara mereka bekerja, berfikir – memang lain. Suasana itu juga mengajar saya supaya tegas dan keluar dari zon selesa.”

Shila, 26, berkunjung ke pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya baru-baru ini. Ia adalah sebahagian daripada jadual yang diatur sebelum dia terbang semula ke China.

Terkejut dan bimbang

Menurut Shila, pasukan pengurusannya di China mengajarnya supaya tegas dan tidak mengalah ketika berurusan dengan mana-mana pihak jika ia memang berhak.

“Saya dinasihat supaya sentiasa tegas, jika tidak, kepala kita kena ‘pijak’ pula.”

Namun yang menarik ketegasan itu tidak menyebabkan peminat atau penganjur menjauhkan diri. Barangkali itu antara sifat profesionalisme yang diamalkan orang China.

Pernah suatu hari ketika Shila sedang makan, ada peminat mahu merakam gambarnya namun dihalang dengan tegas oleh pegawai pengurusannya.

Mengakui agak terkejut dan bimbang peminat terbabit berkecil hati, Shila memberitahu kakitangan berkenaan, kurang manis peminat diperlakukan begitu.

“Tetapi mereka bertegas untuk mengawal keadaan mengikut keperluan, dan peminat itu pula tidaklah marah atau berkecil hati sebaliknya memahami.”

Semua buat sendiri

Begitu juga apabila Shila memberitahu sebagai seorang muslimah, dia perlu menjaga jarak antara dirinya dengan mana-mana lelaki bukan mahram.

Permintaan itu diterima dengan terbuka. Malah, kata Shila, apabila dia bergambar dengan lelaki lain misalnya, mereka akan menjarakkan diri sehingga pada ketika tertentu, jaraknya memang benar-benar jauh.

Namun apabila bercakap mengenai realiti di Malaysia, Shila segera akur. Keadaan di China tidak boleh dibandingkan dengan negara ini.

Di sini, kata anak sulung penyanyi ND Lala itu, keadaan masih belum sampai ke tahap sebegitu.

Dan untuk tiba ke keadaan sama dialaminya di China ketika ini, masa bertahun-tahun diperlukan.

Sementara itu menceritakan perkembangan terbarunya, Shila berkata, dia sedang menyiapkan album lagu-lagu Melayu yang dijangka dipasarkan tahun ini.

Cuma peminatnya terpaksa menunggu lagi kerana buat masa ini, kata Shila, proses berkenaan baru siap kira-kira 50 peratus.

“Mengambil masa sikit, sebab semua saya buat sendiri.”

Selain mencipta irama dan menulis lirik, Shila sendiri akan menerbitkan album berkenaan. Ia adalah tugasan yang perlu dilaksanakannya selain menguruskan persembahan atau memenuhi undangan di sana sini.

Justeru, dapat difahami mengapa Shila – yang boleh menyanyi dalam 10 bahasa – mengambil masa agak lama.

Kongsikan