Menyapa lalat, Birkin di kanvas Hamir Soib

Menyapa lalat, Birkin di kanvas Hamir Soib

Menyapa lalat, Birkin di kanvas Hamir Soib

Al-Abror Mohd Yusuf, 12 April 2017

Apa ada pada lalat dan beg tangan wanita?

Jika anda berminat, bertanyalah kepada Hamir Soib apabila dia mula berpameran pada minggu terakhir April ini di galeri Segaris Art Centre, Publika, Kuala Lumpur.

Sering tampil dengan lukisan-lukisan bersaiz besar, kali ini Hamir, 48, menawarkan sesuatu yang baru – lukisan lebih kecil. Namun di sebalik ukuran yang kecil itu terselindung mesej-mesej besar pada pameran Small Works berkenaan.

Paling penting, tentang lalat itulah.

“Lukisan utama untuk pameran ini ialah siri lalat. Nampak saiz memang kecil tapi mesej yang dibawa di dalamnya adalah besar-besar.

“Lukisan-lukisan lain adalah sebagai pengiring kepada siri lalat,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Gudang baru-baru ini.

Gudang ialah studio untuk Hamir melukis. Bangunan tanpa bekalan air paip dan elektrik itu – sengaja ia dibina begitu – terletak di Kuang, Selangor.

Ketika Malaysiakini bertemu Hamir, siri lalat itu belum siap sepenuhnya. Masih ada yang belum memuaskan hatinya. Satu daripada aspek yang masih diteliti Hamir ialah mendapatkan warna badan lalat yang benar-benar memuaskan hati.

“The most influential figure in Malaysia art scene. When it flies people listen” – itu ayat yang tertera pada satu daripada 10 keping lukisan lalat berkenaan.

“Sebenarnya ada banyak lalat dalam dunia seni. Cuba kita fikir mengapa ada banyak lalat? Sebab ada ‘makanan’, ada banyak ‘bangkai’.

“Mungkin SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) patut masuk siasat mengapa ada banyak lalat,” katanya yang sudah 30 tahun terlibat dalam dunia seni.

Elok kalau marah

Sebenarnya karya yang ‘lantang’ bukanlah asing untuk Hamir. Menjadi sebahagian daripada kumpulan pelukis Matahati, hasil kreativiti anak kelahiran Muar, Johor itu memang selalu membawa suara yang berterus terang.

Lukisannya seperti Tak Ada Beza (2002), Sepat Oh Sepat (2006) Hijab Muslimah (2014), dan Wasted Energy mungkin boleh membantu seseorang memahami pola pendekatan diambil Hamir.

Masalah ‘lalat’ kata Hamir bukanlah terhad pada dunia seni lukis saja, malah turut berlaku pada aspek lain.

Kemudian ada pula siri beg tengan wanita. Pada satu sisi Gudang itu, berbaris lukisan beg tangan dengan pelbagai warna dan jenis.

Secara umum, lukisan itu juga ‘nakal’ pada mata seseorang yang peka kepada perkembangan semasa dalam negara.

Tapi jangan cepat pula menghukum atau curiga.

Kata Hamir, 48, tidak ada apa motif pun ketika dia melukis siri beg tangan wanita itu.

“Ia boleh membantu saya memulakan perbualan dengan kenalan baru, misalnya ketika mereka datang melihat pameran. Saya boleh mulakan perbualan dengan menegur beg mereka,” katanya.

Dengan menekuni lukisan beg-beg tangan wanita, kata Hamir, baru dia tahu label seperi Birkin, Hermes dan sebagainya yag bernilai ratusan ribu ringgit.

“Saya tak berniat nak sindir sesiapa pun,” katanya mengenai kira-kira 20 keping lukisan beg tangan wanita itu.

Demikianlah Hamir. Walaupun mungkin akan mengundang marah dia tetap tenang. Malah kalau ada yang marah, Hamir lebih puas.

“Kalau ada orang marah, maksudnya, mesej yang nak disampaikan itu berjaya. Kalau orang tengok lukisan tu biasa saja, gelak-gelak, mungkin mesej saya tak sampai,” katanya.

Secara keseluruhan akan ada kira-kira 100 lukisan dipamerkan di Segaris Art Centre mulai 25 April hingga 21 Mei ini. Sebahagiannya adalah lukisan yang sudah siap dan berada dalam simpanan pengumpul.

Lukisan paling jauh yang ‘dipanggil semula’ oleh Hamir untuk pameran Small Works itu ialah dari Singapura.

VOX Insan

Abam Bocey sudah tiada

Abam Bocey sudah tiada

Peminat industri hiburan hari ini dikejutkan dengan berita pemergian pelawak Abam Bocey yang meninggal dunia di kediamannya di Gombak pagi tadi.Perkara itu disahkan oleh adiknya Ali Puteh, yang juga merupakan seorang pelawak.“Al-Fatihah abang,” katanya menerusi...

Gadis Wuhan rintih belas kasihan

Gadis Wuhan rintih belas kasihan

ULASAN l Saya seorang gadis Wuhan yang tinggal di Hong Kong. Buat masa sekarang, semua keluarga terdekat saya dikurung di kampung halaman, iaitu di pusat epidemik ini.Setiap hari, saya bimbang mengenai keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan mental mereka. Mereka...

Walau dikecam, Shikin juara bagi kucing, anjing terbiar

Walau dikecam, Shikin juara bagi kucing, anjing terbiar

Walau dikecam, Shikin juara bagi kucing, anjing terbiar

30 March 2017
Walaupun menerima banyak kecaman daripada masyarakat sekeliling, ia tidak mematahkan semangat Norashikin Ahmad untuk terus menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada kira-kira 150 ekor kucing dan 50 anjing terbiar.

Kisah Norashikin, 24 atau lebih dikenali sebagai Shikin mula mendapat perhatian netizen apabila gambarnya menyelamatkan seekor anjing yang terjatuh dalam sebuah longkang, menjadi tular beberapa minggu lalu.

Shikin membina sebuah pusat perlindungan berhampiran rumahnya di Alor Gajah, Melaka dan di situlah dia membelai haiwan-haiwan berkenaan dengan penuh kasih sayang.

Menceritakan rutin hariannya kepada Malaysiakini, Shikin bangun seawal jam 4 pagi untuk membantu ibunya yang berniaga nasi lemak sebelum membersihkan dan memberikan makanan kepada haiwan peliharaannya.

Sepanjang terlibat menjaga haiwan berkenaan sejak tiga tahun lalu, Shikin mengakui menerima pelbagai sindiran dan cemuhan daripada orang kampung. Malah mereka juga cuba memboikot gerai ibunya.

“Dia (orang kampung) kata, Orang Melayu tak boleh pegang anjing sebab haram. Macam mana pegang anjing tapi pegang makanan. Saya cakap dekat mak saya, tak apa. Rezeki bukan mereka yang bagi. Rezeki Tuhan yang bagi, saya tak perlu takut,” katanya.

Menurut Shikin, hubungan dengan ibunya juga pernah tegang pada awalnya sehingga beliau pernah ‘dihalau’ keluar dari rumah. Namun selepas diberi penjelasan oleh kakaknya, ibunya lama kelamaan mula memahami kebaikan yang dilakukan.

Shikin berkata dia menjadikan bapanya sebagai contoh dan inspirasi untuk menyayangi haiwan jalanan.

“Walaupun anjing ke, kucing ke, apa-apa binatang pun kalau kita berkemampuan untuk tolong, kita kena tolong. Itulah pesan ayah saya, jangan kita nampak (haiwan jalanan) tapi kita buat tak reti. Saya pegang apa yang ayah pernah cakap,” katanya dalam satu temu bual dengan KiniTV.

Menurut Shikin, beliau berulang kali mengubahsuai pusat perlindungan tersebut bagi membesarkannya dan menempatkan haiwan-haiwan berkenaan.

Selain kerja-kerja pengubahsuaian dan makanan haiwan yang mencecah kos RM3,000 sebulan, Shikin berkata dia juga perlu menampung kos rawatan haiwan yang tinggi.

Setiap hari, Shikin membawa beberapa ekor kucing dan anjingnya ke klinik haiwan dan jarang mempunyai wang cukup untuk menjelaskan bil rawatan sehingga terpaksa berhutang sebanyak RM10,000.

Mujur, pihak klinik membenarkan beliau melewatkan bayaran secara beransur-ansur.

Shikin menubuhkan Shikin Team Animal Rescue (STAR) di Facebook dan dari situ mendapat sumbangan daripada pencinta haiwan bagi menampung kos rawatan berkenaan.

Islam menekankan kasih sayang

Bagi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Dr Maszlee Malik, Islam adalah agama yang menganjurkan kasih sayang kepada semua makhluk.

Namun beliau kesal kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang kurang menekankan aspek kemanusiaan.

“Dalam masyarakat Melayu Islam, kita kurang menekankan aspek kemanusiaan dan manusiawi. Konsep al-Rahman, al-Rahim yang setiap kali kita baca ketika sembahyang dan makan.

“Malangnya kehidupan umat Islam hari ini kurang al-Rahman dan al- Rahim iaitu sifat pengasih dan penyayang. Atas semut yang kecil pun nabi tak bagi dibunuh, apatah lagi binatang lain,” jelasnya.

Bagaimanapun Dr Maszlee berkata beliau bukanlah mahu menggalakkan orang Melayu membela anjing sewenang-wenangnya, tetapi memadai menerapkan nilai simpati dan perikemanusiaan kepada haiwan.

Katanya, individu yang melakukan usaha dan kebaikan kepada haiwan dengan membuat pusat perlindungan seperti Shikin tidak seharusnya dipandang serong.

“Kita lihat usaha murni dia berdasarkan ajaran Islam yang pernah ditunjukkan. Jadi kena ubah, kembali kepada sejarah umat Islam yang panjang dan kembali kepada ajaran Islam yang pengasih dan penyayang,” katanya.

Selain itu beliau juga menggalakkan golongan berkemampuan memberi sumbangan kepada individu seperti Shikin untuk menguruskan pusat perlindungan haiwannya.

Rakyat M’sia masih kabur jenayah pedofil

Rakyat M’sia masih kabur jenayah pedofil

Rakyat M'sia masih kabur jenayah pedofil

Rizal Mansor | 21 March 2017

Negara ini pernah dikejutkan dengan kisah tangkapan seorang penjenayah pedofil warga asing beberapa tahun lepas di United Kingdom (UK) sekembalinya beliau dari lawatan di Malaysia.

Sebelum itu, dalam kes berasingan, seorang pelajar dari Malaysia juga telah ditahan oleh pihak berkuasa negara itu kerana didakwa memiliki beribu-ribu imej lucah kanak-kanak bawah umur.

Gambar dari dailymail.com.uk

Kisah Richard Huckle pada satu ketika dahulu menggemparkan negara.

Mana mungkin seorang pemuda yang dilihat normal dan kerap kali terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan mempunyai tabiat songsang dan melakukan jenayah pedofil.

Richard Huckle dikatakan telah agak lama berada di Malaysia dan bergaul rapat dengan komuniti di kawasan beliau menetap di negara ini.

Beliau dijatuhi hukuman penjara selama 22 tahun di mahkamah London selepas mengakui 71 pertuduhan melakukan jenayah penderaan seksual terhadap kanak -kanak di Malaysia dan Cambodia.

Pelajar dari Malaysia itu pula dikenakan hukuman penjara selama 5 tahun selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan menghasil dan mengedarkan 30 ribu imej dan video lucah kanak-kanak di bawah umur.

Walaupun tidak melakukan jenayah pedofil secara langsung, namun pemilikan bahan-bahan seperti itu boleh memberi isyarat atau ‘signal’ kecenderungan dalam melakukannya.

Tindakan mengedarkan imej-imej seperti itu secara meluas pula seolah-olah menjadi punca kepada pertambahan kes jenayah pedofil.

Gambar dari mynewshub

Gambar dari mynewshub

Merujuk kepada kedua-dua kes di atas, jenayah pedofil adalah satu kesalahan yang sangat serius untuk sebuah negara maju seperti UK.

Timbul persoalan mengapa kesalahan kedua-dua individu ini hanya berjaya dikesan oleh pihak penyiasat dari luar negara.

Adakah kerana perkara seperti ini menjadi ‘taboo’ kepada masyarakat negara kita dan akhirnya jenayah pedofil tidak dilaporkan.

Kesedaran masyarakat negara ini mengenai jenayah pedofil perlu ditingkatkan.

Mungkin masih timbul kekeliruan bagaimana perlakuan-perlakuan yang boleh dikategorikan sebagai jenayah pedofil atau tindak-tanduk individu yang menjurus ke arah itu.

Seperti dalam kes Richard Huckle dan pelajar pintar Malaysia itu, sesiapa pun tidak menjangka individu berpewatakan baik boleh mempunyai kecenderungan songsang seperti ini.

Usaha mendidik masyarakat perlu dilakukan dengan serius.

Di pihak kerajaan pula, kerjasama dengan pihak berkuasa dari luar dalam menangani jenayah pedofil juga penting untuk diwujudkan bagi memastikan matlamat ini tercapai melalui perkongsian kaedah-kaedah siasatan dan pemantauan tertentu berdasarkan pengalaman mereka.

Pangrok Sulap: Kebebasan bersuara kami disekat

Pangrok Sulap: Kebebasan bersuara kami disekat

Pangrok Sulap: Kebebasan bersuara kami disekat

Nadia Azam | 14 March 2017

Isu karya badan kolektif seni berpangkalan di Sabah, Pangrok Sulap diturunkan dari dinding pameran di Kuala Lumpur disifatkan sebagai contoh sekatan bersuara terhadap golongan seniman.

Bagi seorang anggota kumpulan terbabit Jerome Manjat, tindakan itu memang layak dianggap demikian setelah “karya yang tidak bersalah” itu hilang untuk dipamerkan kepada umum.

“Ya, kami anggap itu sekatan kebebasan bersuara,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini.

Kelmarin, menerusi status di Facebook, Pangrok Sulap meluahkan kekecewaan mereka apabila “Sabah Tanah Air-ku” dikeluarkan daripada pameran kerana dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.

Photo: Marco Ferrarese

Ukiran kayu bertajuk “Sabah tanah air-ku” itu dispekulasi menjadi mangsa susulan mesejnya dikatakan “sensitif” kerana menyentuh isu sosial dan politik tanah air.

Sebagai tanda protes, mereka mengambil keputusan menarik semua karya daripada pameran “Escape from the Sea” anjuran Yayasan Jepun di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Kami, Pangrok Sulap menarik diri sepenuhnya dari pameran kerana membantah penapisan karya seni dan artis,” menurut kenyataan mereka.

Sabah Tanah Air-ku” sempat menghiasi dinding pameran selama dua hari sebelum diturunkan pada 26 Februari lalu.

Ruang bahan seni itu dijadikan tempat tayangan video yang memaparkan proses percetakan karya berkenaan di tempat itu.

Pameran dari 24 Februari hingga 23 April depan itu adalah sebahagian daripada program pembangunan kurator Yayasan Jepun.

Selain dipamerkan di Bangsar, sekeping karya Pangrok Sulap turut digantung di Balai Seni Visual Negara (BSVN) tanpa halangan.

Karya itu mengetengahkan mesej keharmonian pelbagai kaum, kejayaan dan kebanggaan ikon Sabah.

Malaysiakini telah cuba menghubungi penganjur, termasuk mengunjungi tempat pameran sejak minggu lalu namun belum membuahkan hasil.

Yuna: Wanita harus berani kejar cita-cita

Yuna: Wanita harus berani kejar cita-cita

Yuna: Wanita harus berani kejar cita-cita

Nadia Azam | 8 Mar 2017

Usah risaukan kritikan kalau hendak berjaya kerana seorang wanita mampu mengubah kehidupan berbekalkan percaya kepada diri.

Sebagai penyanyi yang sedang menempa nama di persada antarabangsa, Yuna mungkin tidak terlepas daripada mengalami pengalaman sama.

Justeru, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai menggalakkan wanita agar tidak tunduk kepada cemuhan yang sekadar bertujuan untuk melemahkan mereka.

“Saya mahu wanita masa kini berani untuk mengejar cita- cita tanpa risaukan kritikan orang lain,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini.

Pesanan Yuna itu ditujukan khas buat golongan wanita sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada hari ini.

Menurut penyanyi Crush itu, wanita perlu menjadi insan yang sentiasa positif selain kuat dalam mendepani sebarang cabaran.

Oleh itu, katanya jangan jadi seorang yang mudah terpengaruh dengan perkara membawa keburukan.

“Wanita sememangnya istimewa kerana kita dikurniakan sifat kasih sayang dan sabar. Jadi jangan jadikan dunia luar berikan kesan negatif kepada sifat ini dan tukar kita menjadi seorang yang negatif,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Yuna dijemput sebagai selebriti untuk menjayakan kempen Mercedes-Benz sempena Hari Wanita Sedunia.

Menerusi kempen itu, sebuah filem pendek the Female Bond bertemakan seni dan wanita akan dilancarkan esok.

“Saya menjadi sebahagian daripada kempen hebat dengan @shesmercedes. Saya seronok kerana dapat mengekpresikan keindahan dan kuasa wanita di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Yuna berkata, kini dia sedang bersiap sedia untuk menjayakan Festival Lovelifest yang akan diadakan pada 11 Mac depan.

“Ini merupakan festival pertama YRR events jadi saya harap semuanya akan berjalan dgn lancar dan ramai peminat peminat akan hadir.

“Selain saya, Hujan, Oh Chentaku Masdo, Aizat, OAG, Najwa, dan ramai lagi akan melakukan persembahan di Lovelifest,” katanya.

Kongsikan

Artis warnakan badan seperti dewi balas ugutan

Artis warnakan badan seperti dewi balas ugutan

Artis warnakan badan seperti dewi balas ugutan

Geraldine Tong | 6 March 2017
English version available中文版

Kemarahan adalah perkara pertama dirasakan artis Ruby Subramaniam apabila dia membaca ugutan kumpulan yang mahu menyembur cat aerosol terhadap wanita yang berpakaian ‘tidak sesuai’ pada acara Thaipusam.

Beliau mengumpulkan kawan-kawan yang dikenalinya, yang juga bersikap vokal terhadap kumpulan berkenaan dan mencadangkan projek seni bertajuk “Tubuh ini kepunyaanku”, di mana dia mengecat badan wanita untuk melambangkan dewi Hindu.

“Ia bermula pada mulanya sebagai sesuatu yang menyeronokkan (bagi kumpulan itu).

“Jika anda akan menyembur cat kepada kami, saya juga boleh mengecat badan wanita kerana sekurang-kurangnya ia akan menjadi lebih cantik,” kata Ruby kepada Malaysiakini dalam satu temu bual di Talent Lounge di Damansara semalam.

Sudah tentu dia marah apabila pertama kali mendengar berita itu, kata artis berusia 28 tahun itu.

Sebagai seorang yang telah menghadiri Thaipusam sejak kecil, dia berkata dia telah melihat dan mengalami banyak isu semasa acara itu.

Bukan sahaja terdapat orang-orang yang sedang mabuk dan bermain muzik bukan keagamaan dengan kuat, Ruby mendedahkan bahawa dia telah dicabul kehormatannya di Batu Caves semasa acara Thaipusam ketika remajanya.

“Wanita telah berdiam diri selama ini, bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang mereka telah lakukan kepada kami, tetapi tiba-tiba sekarang kulit badan kami mengganggu kamu?” Soalnya.

Kongsikan cerita Ruby!