Kisah Benar Pemilik Sarkas Dijadikan Filem Muzikal
Ismail Karipap pelawak lama yang dilupa
Ismail Karipap pelawak lama yang dilupa
Tidak seperti anggapan sesetengah orang, rupa-rupanya sebahagian pelawak veteran tetap bersikap terbuka dan ‘ramah’ dengan jenaka-jenaka daripada bakat baru di negara ini.
Jika minggu lalu AR Badul berpendapat sesuatu jenaka yang dipersembahkan mesti mengikut peredaran zaman, seorang lagi pelawak otai juga berpendirian sama.
Juara Bakat TV 1981, Ismail Karipap, mengambil sikap yang serupa.
Katanya, pelawak era kini mempunyai cara tersendiri untuk membuat penonton ketawa, dan suasana itu berbeza dengan zaman beliau.
Ditemui di rumahnya di Sungai Tungku, Teluk Intan, Ismail berkata pada era 1980-an pelawak biasanya menghiburkan orang ramai dengan cerita-cerita ‘bohong’ – merujuk kepada kisah rekaan semata-mata – dan lucu.
“Sekarang ni saya nampak lawak-lawak yang ada banyak macam mengenakan orang, mengenakan kawan-kawan,” katanya kepada Malaysiakini.
Ismail, 73, lahir di Kuala Kangsar namun menetap di kawasan kampung dikelilingi sawah padi bersebelahan Sungai Manik itu sejak dia berusia 15 tahun.
Sebelumnya dia penah dikenali dengan nama Ismail Dodol kerana menjual dodol. Kemudian apabila dia menjual karipap, ‘nama mesranya’ bertukar kepada Ismail Karipap.
Trofi pulang semula
Dia memang banyak cerita dan celoteh. Semasa berbual dengannnya, ada saja kisah lucu yang dikongsikan dan sebahagiannya pernah dipersembahkan di pentas.
Namanya mula dikenali ramai melalui stesen radio di Perak. Biasanya Ismail muncul berpasangan dan antara pelawak yang pernah ‘berduet’ dengannya ialah Allahyarham Maidin.
Namun ketika berpasangan dengan seorang pekerja Telekom Malaysia – Shaharuddin Sulaiman atau Uncle – mereka melakar sejarah sendiri apabila dinobatkan sebagai juara Bakat TV 1981 – sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Suatu ketika dulu pertandingan berkenaan memang berprestij. Ada banyak nama dilahirkan oleh Bakat TV itu walaupun ia tidak diadakan setiap tahun.
Antara pelawak yang dilahirkan program itu ialah Badul sendiri, selain Allahyarham Mr Os dan Maidin.
Sebagai juara pada 1981 itu, mereka menerima hadiah sebuah trofi dan wang berjumlah RM2,000.
“Duit tu kami bahagi, dapatlah RM1,000 seorang. Sebahagian daripada duit tu saya beli baju.
“Trofi pulak kena pulangkan,” katanya sambil ketawa.
Ditanya tentang habuan mewah diterima peserta pertandingan lawak atau seni hari ini, Ismail berkata, ada juga rasa sedikit terkilan di dadanya.
Namun, katanya, dia boleh memahami realiti itu. Sekarang, katanya, ada penaja yang mampu menawarkan wang bernilai puluhan atau ratusan ribu ringgit sebagai hadiah pertandingan lawak.
“Dulu zaman kami jauh berbeza,” katanya.
Bersama Uncle, Ismail membuat banyak persembahan tetapi hampir semuanya di radio atau jemputan majlis keramaian.
Seingat Ismail, hanya dia kali dia dijemput muncul untuk persembahan televisyen.
Jauh berjalan banyak cerita
Ketika berusia lebih tujuh dekad, Ismail masih bekerja – kerjaya yang dilakukannya sejak sekian lama – iaitu menjadi pemandu van.
Pekerjaan itu sebenarnya banyak juga memberi jasa kepada Ismail. Semasa memandu dia boleh berfikir untuk mencari idea-idea baru.
Menjadi pemandu juga membawa Ismail ke banyak tempat. Seperti kata orang tua-tua, jauh perjalanan banyak pengalaman. Sebahagian daripada ‘pengalaman’ itulah yang menjadi cerita dalam persembahan lawaknya.
Misalnya, satu daripada cerita yang ‘penting’ ialah asal-usul nama karipap, dialog antara kepala dan badan kereta api, serta cara-cara mengenal pangkat anggota tentera berdasarkan cara mereka menari.
Bakat Ismail bukanlah melawak saja. Dia juga boleh bermain dram dan menyanyi. Sepanjang tempoh aktif di pentas hiburan, dia pernah mengadakan persembahan dengan ramai artis terkenal termasuk Ramlah Ram, Rohana Jalil dan Ayati Tasrib.
Berbual dengan Ismail Karipap – atau nama penuhnya Ismail Mohd Said – memang melekakan. Selain kisah hidupnya, dia juga banyak idea untuk melawak.
Tapi itulah. Ada sedikit lagi yang terkilan, namun bukan Ismail yang menyatakannya, tetapi anaknya, Zainuddin.
“Rasanya ramai orang sekarang tak tahu ada pelawak bernama Ismail Karipap ni. Kalau cari di Internet pun, atau di YouTube, rasanya tak ada.
“RTM pun tak tayang program-program lama macam Bakat TV dulu,” katanya.
Bercakap mengenai bapanya, Zainuddin berkata, sehingga kini Ismail Karipap masih berminat – dan bersemangat – untuk menghiburkan orang rama jika diberi ruang.
“Tetapi kadang-kadang orang lain kurang faham, salah anggap dan sebagainya sebab dia sudah berusia. Keadaan itu kadang-kadang menyebabkan semacam ada tekanan pada dia,” katanya.
Selain itu Ismail dan Zainuddin juga berharap khazanah lama yang tersimpan di arkib RTM – bukan saja Bakat TV 1981, malah yang lain-lain juga – supaya menjadi kenang-kenangan kepada generasi hari ini.
VOX Hiburan
Skandal Pelopor Dunia Sarkas
Anugerah Instafamous 2017 Hurr.tv
Anugerah ini bersempena dengan ulang tahun pertama tertubuhnya Hurr.Tv yang berkonsepkan kotemporari.
Ikon Muslim: Hafiz Hamidun tetap rasa kerdil
Biarpun kali kedua namanya termasuk dalam senarai 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia.